Penampilan pemain muda berusia 19 tahun, Eduardo Camavinga membantu Real Madrid layak ke final UEFA Champions League (UCL) baru-baru ini menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.
Apa tidaknya. Hanya enam tahun lalu, Camavinga – sepertimana barisan pemain muda negara daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) – turut serta beraksi di dalam satu kejohanan remaja, Elite Cup Cote D’Azur 2016.
Aksi cemerlang Camavinga sepanjang Elite Cup Cote D’Azur 2016 membuatkan dirinya terpilih untuk berada di dalam kesebelasan terbaik pilihan kejohanan tersebut.
Harapan peminat
Membuatkan ramai peminat bola sepak tempatan turut teruja pada masa itu adalah kerana dua pemain AMD, iaitu kapten pasukan dan pemain tengah, Alias Alan dan penjaga gol Sikh Izhan Sikh Azman turut berada di dalam kesebelasan utama tersebut.
Sekurang-kurangnya pada ketika itu ramai percaya barisan pemain generasi pertama AMD mampu berdiri sama tinggi dengan produk-produk akademi Eropah yang lain.
Sudah pasti harapan peminat bola sepak tempatan ialah untuk melihat pemain berdarah Malaysia turut beraksi di liga terbaik eropah pada masa hadapan.
Enam tahun telah berlalu, Camavinga kini adalah antara bintang utama Real Madrid yang sudah memiliki pingat La Liga.
Sikh Izhan pula adalah penjaga gol skuad B-23 negara, dan merupakan penjaga gol ketiga Selangor.
Nama Alias yang merupakan kapten skuad AMD di kejohanan Elite Cup Cote D’Azur 2016 pula agak tenggelam. Sebelum ini beliau pernah beraksi bersama skuad Piala Belia Selangor.
Satu perkara yang pasti, kedua-dua pemain bukan pemain kesebelasan utama skuad Merah Kuning itu pada musim ini.
Timbul persoalan, apakah perkara yang membantutkan perkembangan pemain-pemain muda negara.
Adakah ia disebabkan bola sepak sebenarnya bukan sukan yang dibudayakan di negara ini? Atau adakah struktur pembangunan bola sepak negara yang lemah menyebabkan pemain muda sukar bersaing di tahap tertinggi, walaupun di peringkat domestik?
Ada juga teori mengatakan keterujaan kelab tempatan bergantung harap kepada pemain import menyebabkan peluang pemain muda terus tertutup. Sejauh mana dakwaan ini?
Jangan bandingkan dengan Camavinga
Untuk berjaya di Eropah pada usia muda sebenarnya bukan perkara yang mudah.
Di Premier League misalnya, 97% pemain akademi gagal mendapatkan kontrak profesional dan beraksi bersama skuad utama kelab masing-masing.
“Dulu Sama Level Pemain NFDP’ – Camavinga Kini Cemerlang Bantu Real Madrid Ke Final UCLhttps://t.co/y2erL63ZpA
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 5, 2022
Bekas Ketua Pencari Bakat (Head of Talent) FA England, Richard Allen pula pernah mendedahkan hanya 0.5% pemain muda yang menyertai akademi bola sepak sejak berusia 9 tahun meneruskan karier profesional bersama kelab-kelab di Eropah.
Hakikatnya pemain-pemain seperti Camavinga, Erling Haaland, Kylian Mbappe, Jude Bellingham atau Cesc Fabregas pada usia mudanya sebenarnya adalah bakat istimewa dan tidak boleh dibandingkan dengan pemain-pemain muda negara.
Arif Aiman: Manifestasi Terbaik Cara JDT
Tetapi itu tidak bermakna kelab-kelab di Liga Malaysia tidak berkemampuan untuk membangunkan pemain muda dengan cara tersendiri – sesuai dengan landskap semasa bola sepak tanah air.
Arif misalnya adalah manifestasi nyata bagaimana seorang pemain muda boleh dibangunkan di dalam persekitaran bola sepak tempatan secara realistik.
Arif kini dianggap sebagai ‘wonder kid’ terbaru Liga Malaysia. Nama beliau mulai menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan selepas dua musim menakjubkan bersama JDT.
Enam tahun lalu, nama Aiman tidak segah seperti Alias, Sikh Izhan atau pun Luqman Hakim Shamsuddin.
Tetapi kini nama beliau mulai menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan, dan diangkat sebagai wira JDT selepas aksi cemerlangnya membantu JDT melepasi saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Jadi bagaimana JDT membangunkan bakat Arif yang baharu mececah usia 20 tahun itu?
Kelab dan persekitaran sesuai
Bakat Arif sebenarnya mulai dicungkil ketika menyertai program rancangan realiti MyKids musim 2011/2012, sebelum pemain itu diserap untuk menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) untuk meneruskan pembangunan bakat secara lebih tersusun.
Malah Arif juga merupakan sebahagian daripada anggota skuad Bawah-13 NFDP yang muncul juara Piala Iber Cup Costa Del Sol di Sepanyol pada 2015 bersama-sama generasi pertama NFDP yang lain seperti Luqman (KV Kortrijk) dan Sikh Izhan (Selangor) di bawah kendalian Lim Teong Kim.
TOP 5 YOUNGEST DEBUTANT IN #MSL20
1️⃣ Arif Aiman @ariifaiman
Game debut: JDT vs FELDA UTD (LS4)
Age on debut (Y/M/D): 17Y, 10M, 10D
Game time: 5mins#MSL20 #OptaJ pic.twitter.com/Yqd71wyFbk— OptaJ (@OptaJ_Analytics) September 4, 2020
Berbanding pemain lain seusia beliau pada ketika itu, Arif memilih untuk meninggalkan AMD pada penghujung 2018 untuk menyertai akademi bola sepak JDT dengan harapan mendapatkan peluang lebih banyak beraksi dengan sebuah organisasi yang bergelar kelab bola sepak profesional.
Tidak ada siapa – walaupun JDT sekali pun – berani memberi jaminan Arif akan berjaya dengan perubahan besar yang diambilnya itu.
Tetapi Arif sedar JDT adalah sebuah kelab yang boleh dijadikan platform dan tempat untuk bergelar pemain profesional.
Beliau juga menyedari tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan usaha keras, dan itulah yang dibuktikan oleh anak muda ini bersama JDT sejak dua tahun lalu.
Kita boleh simpulkan, JDT adalah sebuah kelab yang memiliki struktur tersusun untuk mereka yang berani bergelar pemain profesional. Arif tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu.
Singkirkan Cabrera
Adakah persepsi kehadiran pemain import menghadkan peluang pemain tempatan untuk turun beraksi dalam sesebuah pasukan di Liga Malaysia adalah benar?
Musim lalu peluang Arif untuk membuktikan dirinya mampu bersaing dengan yang terbaik untuk berada di dalam kesebelasan utama JDT tiba selepas kecederaan yang dialami pemain import, Gonzalo Cabrera.
Tersenarainya Arif dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi menentang Nagoya Grampus di pertandingan ACL pada musim lalu membuktikan sebaliknya.
Beliau bermain dengan cemerlang di posisi dan koridor yang biasanya digerakkan oleh Cabrera.
Bukan sahaja mengetepikan Cabrera, malah sejak daripada itu Arif sentiasa menjadi pemain pilihan utama Mora di posisi sayap berbanding pemain yang lebih berpengalaman seperti Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Sejak daripada itu, Arif dilabel sebagai ‘Revolusi Harimau Selatan’ oleh Mora.
Visi TMJ
Untuk menjadi pemain yang berjaya di JDT, Arif juga sedar apa yang perlu dilakukannya.
Di JDT aspek teknikal pemain bukan satu-satunya perkara yang menjadi perhatian untuk dibangunkan. Tetapi untuk pemain muda seperti Arif, JDT turut membangunkan mentaliti pemain – yang berjaya membentuk kesungguhan dan usaha tidak mengenal penat lelah – untuk menjadi seorang pemain profesional yang lebih holistik.
Mengimbau karier awal pemain itu di JDT, Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards pernah berkongsi dengan The Guardian perjalanan Arif bersama kelab itu.
“Di dalam skuad utama [JDT] terdapat empat pemain [muda] yang mengikuti latihan bersama skuad utama dan tiga daripada mereka beraksi secara kerap, seperti Arif Aiman,” kata Alistair dalam satu artikel oleh The Guardian pada bulan lalu.
“Dia adalah pemain termuda daripada kumpulan itu dan merupakan bakat menakjubkan. Beliau berussia 19 tahun. Kami membawa beliau masuk pada usia 15 atau 16 ketika dia masih bersama NFDP, tetapi beliau sekadar beraksi bersama pasukan kedua sahaja.
“Jadi kami bawa beliau masuk dan menyertai skuad B-19, dan kemudian JDT II. Dipendekkan cerita, beliau adalah antara pemain paling menyerlah pada musim lalu, dan usianya hanya 19 tahun.
“Itulah yang kami lakukannya di sini [JDT] dan semua ini adalah hasil semua kerja keras dan visi daripada TMJ.”
Dengan kata lain, JDT di bawah kepimpinan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) telah berjaya mewujudkan persekitaran sebuah kelab yang benar-benar memiliki struktur untuk seorang pemain profesional untuk terus melangkah ke hadapan.
Kemudian, ia terpulang kepada pemain untuk menjadikan persekitaran tersebut sebagai pemangkin kepada pembangunan karier masing-masing.
Dengan cara yang betul, semua boleh dilakukan
Berdasarkan kejayaan karier Arif bersama JDT setakat ini, ada beberapa perkara yang boleh kita simpulkan.
Pertama, ia bukan mengenai berapa ramaikah pemain muda berbakat sesebuah kelab boleh harus miliki. Apa yang penting kelab tahu bagaimana untuk memberi jalan kepada pemain-pemain ini ke saingan peringkat tertinggi agar kerjaya profesional pemain boleh berkembang.
Kedua, sesebuah kelab juga harus memiliki struktur yang betul sebagai sebuah kelab profesional untuk menghasilkan pemain yang benar-benar profesional.
Sesebuah kelab tidak akan mampu menghasilkan pemain profesional yang berjaya jika diurus secara amatur.
Ketiga, pemain tidak perlu berhijrah semata-mata untuk menbangunkan bakat mereka. Sekiranya berlaku penghijrahan ke Eropah misalnya, ia harus kerana merit dan melalui proses yang betul – dan bertujuan untuk mengembangkan karier, bukan semata-mata mencari pengalaman.