Gol Forestieri Beri 3 Mata Penting Buat JDT, Rekod Tanpa Kalah Negeri Sembilan Lebur

Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menyambung semula tugasan Liga Super mereka selepas berjuang dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan bertemu Negeri Sembilan di Paroi.

Tugasan domestik yang pertama selepas beberapa ketika itu berakhir dengan kejayaan apabila skuad Benjamin Mora memperoleh tiga mata penuh setelah menang 1-0.

Walaupun tampil tanpa penjaring terbanyak mereka iaitu Herold Goulon, nyata Negeri Sembilan berjaya memberi cabaran besar buat pelawat sepanjang permainan berlangsung terutama sekali di bahagian pertahanan.

JDT pula menurunkan dua penyerang berbisa mereka dalam perlawanan tersebut iaitu Bergson da Silva serta Fernando Forestieri dan nyata beberapa kali kedua pemain ini memberi bahaya buat barisan pertahanan tuan rumah yang dibarisi oleh pemain tempatan.

Pada perlawanan tersebut jelas JDT lebih menguasai permainan terutama di bahagian tengah dengan saling bertukar-tukar hantaran pendek serta mencipta peluang untuk mencari gol pendahuluan.

Manakala anak-anak buah K. Devan pula tidak terlalu bertahan sahaja. Sesekali mereka turut mencipta peluang menerusi Matheus Alves serta Zaquan Adha untuk memberi cabaran buat barisan pertahanan JDT.

Tanpa kelibat Natxo Insa, nyata JDT agak sukar untuk mengawal tempo perlawanan mereka dan sesekali terbawa-bawa dengan intensiti yang dipamerkan skuad Jang terutama sekali di separuh masa pertama.

Selain perlawanan di atas padang, kelibat dua pengendali pasukan iaitu Mora dan Devan yang sering berbalah di tepi padang sehingga terpaksa ditenangkan oleh pembantu pengadil untuk mengelakkan ‘perang mulut’ kedua jurulatih lebih lama.

Di separuh masa kedua, JDT meningkatkan asakan untuk memburu gol yang diingini mereka dan memaksa lawan lebih banyak berada di kawasan sendiri bagi menyerap asakan bertali arus pelawat.

Pemain muda berbakat iaitu Arif Aiman hampir meledak gol pertama buat JDT setelah pemain tersebut berjaya mendapat peluang terbuka menerusi situasi berdepan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi sebelum rembatan beliau berjaya ditepis keluar pada minit ke-65.

Negeri Sembilan juga wajar menyalahkan diri sendiri apabila rembatan pemain import mereka iaitu Kossi Adetu gagal disempurnakan dalam bentuk gol walaupun hanya berhadapan Farizal Marlias setelah menerima umpanan cantik daripada A. Selvan pada minit ke-99.

Gol yang dicari pelawat akhirnya menjelma sebelum wisel penamat dibunyikan apabila Forestieri berjaya melepaskan rembatan jarak jauh untuk menewaskan Syihan dan seterusnya menjamin kemenangan buat JDT di Paroi.

Menerusi kemenangan tersebut, JDT kini kembali melonjak di persada liga dengan mengumpul 15 mata keseluruhan walaupun masih kurang tiga lagi perlawanan.

Negeri Sembilan akhirnya terpaksa mengakui rekod tanpa kalah mereka lebur juga di tangan pasukan JDT setelah tampil enam perlawanan sebelum itu tanpa keciciran mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN