Pengendali Penang FC, Tomas Trucha mengakui di sidang media, barisan pertahanan melakukan tugas yang bagus mengawal jentera serangan lawan yang jauh lebih baik walaupun mereka bermain lebih terbuka.
Berbanding aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu, Penang FC telah turun dengan lebih fokus membuka perlawanan dengan kemasukkan dua pemain, Faiz Mazlan dan Danial Ashraf di jentera tengah.
Begitupun, jentera serangan skuad Hang Tuah yang dibarisi penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun, Sony Norde, Adriano dan Emmanuel Otti dilihat gagal menterjemahkan sesuatu untuk tiga mata.
Liga Super: Rangkaian 4 Serangan Import Melaka United Gagal ‘Kekah’ Penang
Penang masih tidak dapat menurunkan tiga pemain import mereka – dua digantung perlawanan iaitu Endrick dos Santos dan Casagrande serta Christian Rontini yang mengalami kecederaan ketika aksi pra-musim.
Itupun, Melaka United yang berkunjung ke laman lawan tampak masih gagal untuk menang ke atas mereka.
Minit ke-27, Danial Ashraf mengegarkan Stadium Bandaraya dengan jaringan pembukaan menerusi rembatan sudut sukar selepas menerima lorongan baik oleh Faiz Mazlan yang menemuinya di dalam kotak penalti.
Empat minit sebelum babak pertama berakhir, kapten Harimau Kumbang, Latiff Suhaimi menghadiahkan jaringan penyamaan buat Melaka United selepas sepakan penjuru yang diambil Sony Norde telah tertanduk masuk ke gawangnya sendiri berpunca daripada kekalutan di depan pintu gawang Penang ketika itu.
“Apa yang boleh dikatakan, jentera serangan Melaka United sangat bagus. Mereka ada Ifedayo [Olusegun], [Sony] Norde, Adriano dan [Emmanuel] Otti. Mereka adalah barisan pemain serangan yang bagus.
“Saya rasa barisan pertahanan kami melakukan tugas dengan baik. Kami langsung tidak berikan mereka peluang untuk meledak gol. Babak pertama, kami bermain mengikut perangan sebelum perlawanan.
“Kami mahukan penguasaan bola, lebih tenang dan mencipta peluang menerusi situasi bola mati. Babak kedua kami mahukan pemain gantian mengubah perlawanan. Tetapi kami gagal mengawal bahagian tengah walaupun ingin menekan lawan dengan pemain-pemain ‘fresh leg’. Ini tidak berlaku pada hari ini.
Tomas Trucha di sidang media sejurus perlawanan
Penang akan berdepan Bukit Tambun FC pada Jumaat ini dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk mereka kembali menyusun pemain selepas melihat dua aksi pertama liga.