Baru-baru ini dimaklumkan yang penyerang baharu Sri Pahang FC, Sergio Aguero akan dipinjamkan ke pasukan lain, walaupun beliau baru sahaja tiba di Kuantan.
Penyertaannya bersama Sri Pahang adalah sebelum pelantikan pengendali baharu, Thomas Dooley. Tempatnya akan diambil alih oleh penyerang berpengalaman daripada Ukraine, Yevhen Bokhashvili yang datang dari Liga 1 Indonesia, PSS Sleman.
Mungkinkah beliau tidak menepati selera pengendali tersebut? Mengapa beliau tidak langsung diberikan peluang dan perlu dipinjamkan ke pasukan lain musim ini?
Bercakap kepada The Star, Thomas Dooley menjelaskan mengenai situasi kekok yang berlaku terhadap urusan Sergio Aguero bersama Sri Pahang. Katanya, “Saya rasa lebih baik buatnya untuk mendapat minit permainan bersama dengan pasukan lain.”
“Dia sentiasa beri yang terbaik dalam sesi latihan dan menerima setiap cabaran yang diberi. Saya akan gunakannya selepas beliau dinaturalisasikan,” tambahnya.
Melihat kepada jawapan pengendali berasal dari Amerika Syarikat itu, mungkin tahap permainan Sergio Aguero hanya setara dengan pemain tempatan sahaja, malah pengendali itu lebih rela menunggu untuk beliau menjadi pemain tempatan.
“Hanya memanaskan bangku simpanan bersama Pahang tidak akan membantu perkembangannya. Saya mahu dia menyertai pasukan di Liga Premier untuk meraih minit permainan dan kembali semula dengan lebih baik pada musim 2022,” ujarnya.
“Ini yang terbaik buatnya dan kami,” tegas pengendali yang merupakan antara lagenda bola sepak Amerika Syarikat itu lagi mengenai situasi penyerang tersebut.
Mengulas mengenai Yevhen Bokhashvili yang dikatakan antara playmaker dan penyerang terbaik di Indonesia, Thomas Dooley mengharapkan apa yang akan diberikan oleh pemain itu nanti menepati tahap yang diinginkan di Liga Super.
“Bokhashvili memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa dan pernah beraksi di saingan tertinggi di Ukraine dan Indonesia. Harapnya dia akan mencapai tahap yang kita inginkan untuk bermain di Liga Super,” ulasnya mengenai Bokhashvili.
Sehingga kini, masih belum diumumkan ke mana destinasi Sergio Aguero nanti dan kontraknya di Sri Pahang adalah untuk dua musim. Ke mana hala tuju beliau nanti?
KREDIT FEATURED IMAGE: INSTAGRAM SERGIO AGUERO
Baca lagi artikel lain mengenai Sergio Aguero dan Sri Pahang:
Sergio Aguero, Lee Tuck Sah Bergelar Pemain Import Baharu Pahang
Adakah Thomas Dooley Bawa Sistem Data Analisis Ke Sri Pahang?
FIFA: Pahang Ada 45 Hari Untuk Bayar RM4.9 Juta Kepada Sumareh