FIFA: Pahang Ada 45 Hari Untuk Bayar RM4.9 Juta Kepada Sumareh

fifa-pahang-sumareh-tunggakan-gaji

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar RM4.9 juta kepada Mohamadou Sumareh.

Ia berikutan aduan Sumareh kepada FIFA atas sebab tunggakan gajinya ketika beraksi bersama mereka. Pemain naturalisasi pertama negara itu ketika ini dikhabarkan bakal menjadi pemain baharu juara Liga Super tujuh kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas melalui masalah bersama Pahang yang kini dikenali sebagai Sri Pahang FC, Sumareh menghilangkan diri dan tidak hadir ke sesi latihan pada Ogos tahun lalu.

Pada September, Sumareh muncul dengan kenyataan yang Pahang telah melanggar kontrak sejak tiga tahun lalu dan ia sudah cuba disampaikannya, namun setiap kali beliau cuba berjumpa dengan pihak pengurusan, tiada respon diberikan.

Pemain berusia 25 tahun itu juga memaklumkan telah menghantar sendiri surat sama ada melalui pos ataupun secara serahan tangan ke pejabat. “Tiada siapa respon kepada saya, tiada siapa ajak duduk untuk berbincang,” ujarnya ketika itu.

Dan beliau berani untuk mempertahankan tindakannya kerana ada bukti dengan kenyataan, “Saya bersedia mempertahankan diri jika kes ini dibawa ke FIFA.”

FIFA akhirnya mengarahkan Pahang untuk membayar RM4.9 juta kepada Sumareh. Berdasarkan maklumat daripada New Straits Times, kontraknya ada menetapkan kenaikkan RM20,362, setahun setelah memasuki musim kedua bersama Tok Gajah.

Inilah maksudnya masalah gajinya sudah berlarutan selama tiga musim. Sejak mula menyertai Pahang pada 2017, tiada perubahan kepada tangga gajinya seperti yang termaktub dalam kontrak. Jadi, Pahang bukan sahaja lewat membayar gaji tetapi juga telah melanggar kontrak dengan Sumareh bermula sepatutnya pada musim 2018.

PBNP pernah mengakui mengenai berlaku kelewatan dalam pembayaran gaji pemain itu adalah disebabkan transaksi ke bank di luar negara. Kata Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang ketika itu, “Saya menafikan kalau dakwaan kata tak bayar gaji, kalau betul tentu akan ramai lagi pemain bangkit kata tak bayar gaji.”

“Isunya ketika itu dia pulang ke negara asal  dan memohon supaya gajinya di bayar ke akaun negara luar. Jadi, ia ambil proses yang agak lewat sikitlah,” ujarnya.

Selepas meninggalkan Pahang, Sumareh telah tampil sementara bersama sebuah kelab yang beraksi di Thai League 1, Police Tero FC dan telah diturunkan dalam empat perlawanan dan meraih 111 minit permainan bersama kelab tersebut.

Pahang ada 10 hari untuk meminta kepada FIFA alasan mengenai keputusan yang telah dikeluarkan tersebut dan juga 45 hari untuk menyelesaikan pembayaran tersebut.

Mereka juga boleh membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara sukan jika alasan yang dikemukakan oleh FIFA tidak cukup kuat untuk menghukum mereka.

Kegagalan untuk menyelesaikannya boleh menyebabkan Pahang berdepan denda halangan perpindahan pemain di jendela perpindahan dan pemotongan mata.

KREDIT FEATURED IMAGE: foto-net / Kurt Schorrer

Baca lagi artikel mengenai Mohamadou Sumareh dan Sri Pahang:

Sumareh Digantung Dua Tahun, Tak Boleh Main Lagi Di Pahang

Benarkah Mohamadou Sumareh ‘Hilangkan Diri’ Seperti Di Pahang?

Selangor Sahkan Tak Berminat Dapatkan Mohammadou Sumareh

Leave a Reply