Terpaksa Lupakan Bola Sepak, Tengku Ahmad Tajuddin Bangkit ‘Takluk’ Dunia Hoki

Tengku Ahmad Tajuddin

Tengku Ahmad Tajuddin bin Tengku Abdul Jalil merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah sukan hoki tanah air. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa pemain kelahiran Kangar, Perlis ini sebagai figura hebat hoki negara berbekalkan sumbangan serta kualiti hebat dijelmakannya di atas padang.

Tiap kali beraksi, sudah pasti ada sahaja gerakan lincah dengan larian pantas dan visi menarik ditampilkan Tengku Ahmad Tajuddin dalam usaha untuk membantu skuad negara meraih kejayaan dalam kejohanan disertai.

Mungkin ramai mengenali Tengku Ahmad Tajuddin sebagai antara pemain hoki terulung negara sebaris legenda-legenda lain, tetapi pemain berusia 35 tahun ini sebenarnya seorang yang begitu lincah beraksi dalam sukan bola sepak.

Malah, Tengku Ahmad Tajuddin sememangnya meminati sukan paling popular tersebut dan beliau melangkah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada mulanya untuk bergelar pemain bola sepak profesional.

Hijrah yang cukup bermakna

Bercakap kepada wakil Semuanya BOLA, Tengku Ahmad Tajuddin mendedahkan segalanya bermula apabila pada satu ketika, beliau telah diberikan pilihan untuk memilih sukan lain setelah dirinya digugurkan daripada projek bola sepak sekolah tersebut. Pilihannya hanya dua iaitu memilih sukan lain atau beliau terpaksa pulang ke kampung dengan penuh kekecewaan.

Berbekal keupayaannya mampu beraksi dengan cemerlang dalam sukan hoki, Tengku Ahmad Tajuddin membuat keputusan untuk memberikan fokus terhadap sukan tersebut dan kemampuan beliau sebenarnya telah awal mencuri tumpuan jurulatih di SSBJ, Encik Kon yang pernah menyaksikan kelibatnya dalam satu kejohanan hoki bawah 15 tahun di Negeri Sembilan.

Lebih menarik, ketika itu pemain bertubuh kecil tetapi memiliki teknik berkelas dunia ini baharu sahaja berusia 12 tahun [darjah enam]. Kesempatan itu diberikan jurulatih untuk memberikan pendedahan kepadanya untuk membuktikan potensi sebenar beliau dalam sukan hoki.

Dengan peluang kedua yang diberikan SSBJ, beliau tidak lagi memandang ke belakang dan terus bekerja keras untuk membuktikan kemampuannya. Pada usia 18 tahun [2004], Tengku Ahmad Tajuddin  sudah mula memperkuatkan skuad hoki remaja kebangsaan.

Setahun kemudian, Tengku turut menganggotai skuad remaja kebangsaan beraksi di Piala Dunia Remaja 2005 di Rotterdam, Belanda di mana beliau berjaya menjaringkan satu gol ketika aksi klasifikasi tempat ke-9/10 bertemu England, namun Malaysia tunduk 2-3 pada perlawanan tersebut.

Pada tahun yang sama, beliau telah diserapkan ke skuad senior dan dari situ bermulalah kisah cemerlang karier Tengku Ahmad Tajuddin sehingga ke hari ini.

Pencapaian hebat dalam karier

Hampir 16 tahun ‘menghambakan diri’ dalam sukan yang kini terus menjadi kecintaannya, Tengku telah mengecapi nikmat selaku pemenang pingat Perak bagi temasya Sukan Asia 2010 dan 2018, muncul naib juara Piala Sultan Azlah Shah 2007, 2013 dan 2014, pingat gangsa Sukan Komanwel 2006 di Melbourne dan layak ke Piala Dunia sebanyak dua kali [2014 dan 2018].

Di pentas domestik pula, sudah pasti terlalu banyak kejayaan diraihnya dan yang terbaharu ketika membantu UniKL meraih kejuaraan ‘treble’ dalam saingan Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB 2020. Beliau mula beraksi di pentas Liga Hoki Malaysia adalah ketika berusia 16 tahun apabila beraksi bersama Sapura.

Selain itu, khidmat Tengku Ahmad Tajuddin telah menarik minat pasukan dari luar negara untuk mendapatkan sentuhannya seperti Hilversum Hockey Club [Liga Divisyen 2 Belanda], Uddingston Hockey Club [Scotland], Mohammadien Sports Club [Bangladesh], Khalsa Hockey Club [Hong Kong] dan Al-Nasr Club dari Oman.

Tiada sesalan tinggalkan bola sepak untuk hoki

Meskipun mengakui bola sepak memang merupakan minatnya sejak berada di Sekolah Kebangsaan Seri Perlis, Tengku mengakui tiada apa yang hendak disesalkannya susulan terpaksa melupakan sukan tersebut.

”Memang sejak dari kecil saya meminati bola sepak tetapi sekiranya saya lihat kembali apa yang saya sudah lalui untuk 15 tahun terdahulu ini termasuklah dari segi pencapaian individu atau berpasukan, tiada apa sangat yang perlu saya kesalkan.”

”Cuma yang paling saya ralat pada ketika ini apabila tak dapat nak membantu pasukan hoki negara untu layak ke Sukan Olimpik. Hanya itu sahaja.”

Usaha tidak akan mengkhianati hasil

Penghijrahan yang nyata memberikan seribu satu rahmat buat Tengku di mana keputusan yang diambil berkat kesungguhan dan kegigihan serta doa daripada keluarga, guru-gurunya, rakan-rakan serta peminat telah menjadikannya sebagai antara pemain hoki terbaik dalam sejarah hoki moden.

Dengan kelebihan yang disifatkan oleh peminat sebagai kurniaan semula jadi cukup hebat dimilikinya, Tengku Ahmad Tajuddin menggunakan kesempatan tersebut untuk membuktikan, usaha dan kerja keras bakal menjanjikan kemanisan buat seseorang pemain.

Jelaslah, ‘usaha tidak akan mengkhianati hasil’!

Kredit featured image: Facebook Hokita

Baca artikel lain dari kami mengenai sukan hoki:

Dari Kampung Selinsing Ke Trolak Utara, Roslan Jamaluddin Jadi Kebanggaan Hoki Negara

5 Perkara Daripada Pasukan Hoki Yang Pasukan Bola Sepak Kita Boleh Jadikan Inspirasi

Piala Razak 2020: Perak Julang Mahkota Ke-10 Selepas Tundukkan Terengganu

One Comment

Leave a Reply