Dari Kampung Selinsing Ke Trolak Utara, Roslan Jamaluddin Jadi Kebanggaan Hoki Negara

Roslan Jamaluddin

Bagi peminat sukan hoki tanah air, kelibat Roslan Jamaluddin akan sentiasa diingati sebagai antara penjaga gol terbaik yang pernah dilahirkan oleh skuad hoki kebangsaan.

Memiliki kelebihan tindak balas pantas serta begitu tenang dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi lawan, Roslan yang kini berusia 42 tahun telah berjaya membuat 253 penampilan bersama pasukan negara bermula 1998 hingga 2015.

17 tahun ‘menghambakan’ diri bersama skuad kebangsaan dan masih mampu beraksi dalam saingan Piala Razak 2019 sudah cukup untuk memperlihatkan betapa cintanya anak kelahiran Kampung Selingsing, Perak ini terhadap sukan hoki.

Embed from Getty Images

Penghijrahan yang mencetuskan permulaan kisah hebat

Mungkin ramai yang mengetahui Roslan adalah kebanggaan Felda Trolak Utara, ya kenyataan tersebut memang benar tetapi beliau sebenarnya berasal dari Kampung Selinsing, Simpang Empat Semanggol.

Keluarga beliau perlu berpindah selepas permohonan arwah bapanya untuk menjadi peneroka telah diterima dan ditempatkan ke Felda Trolak Utara. Dari situlah bermulanya bibit-bibit awal pembabitan beliau dalam sukan hoki.

Hal ini kerana Sekolah Kebangsaan Trolak Utara, tempat Roslan mendapat pendidikan awal adalah antara sekolah yang sangat serius dalam pembangunan sukan hoki di daerah Batang Padang.

Ketika itu skuad hoki sekolah tersebut dibimbing oleh Ismail Mat Zan yang juga merupakan salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Trolak Utara. Selain itu, beliau turut bertanggungjawab dalam mengendalikan pasukan bola baling dan bola sepak.

Bermula sebagai ‘outfield player’

Umum mengetahui bahawa Roslan Jamaluddin adalah seorang penjaga gol hoki yang cukup disegani tetapi beliau mempunyai kisah tersendiri yang mungkin tidak ramai mengetahuinya.

Memasuki darjah tiga, Roslan sudah mula menyertai pasukan hoki Sekolah Kebangsaan Trolak Utara dan beraksi sebagai ‘outfield player’. Bakatnya sebagai penjaga gol pada ketika itu lebih dapat disaksikan dalam bola baling.

Beliau sendiri mengakui bahawa dirinya bukanlah pemain yang baik sebagai seorang ‘outfield player’ dalam hoki.

Hanya mewakili sekolah dan daerah bagi sukan hoki, tetapi tidak buat bola baling apabila Roslan terpilih untuk mewakili Perak dalam saingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 12 tahun sehingga muncul naib juara kejohanan tersebut.

Segalanya berubah dengan sekelip mata

Rezeki mungkin tidak berpihak kepadanya apabila Roslan gagak untuk mendapat tempat ke SMK Anderson (sekolah terkenal dengan hoki di Perak) berbanding enam orang rakannya yang berjaya ke sana bermula tingkatan satu.

Disebabkan itu, beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai dan meneruskan minatnya dalam sukan hoki.

Segalanya berubah dengan sekelip mata apabila SMK Sungkai kehilangan dua penjaga gol dalam satu masa apabila seorang berpindah ke sekolah vokasional manakala seorang lagi memilih untuk ke SMK Trolak.

Seperti mendapat informasi tentang Roslan yang tangkas sebagai penjaga gol bola baling daripada Ismail Mat Zan, jurulatih SMK Sungkai pada ketika itu, Cikgu Kulasingam pantas menjadikan beliau sebagai penjaga gol yang baharu.

Embed from Getty Images

Tugasan pertama Roslan sebagai penjaga gol hoki adalah dalam kejohanan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani, Bidor.

Roslan Jamaluddin pantas membuktikan kehebatannya dengan beraksi baik dalam membantu SMK Sungkai menjuarai kejohanan tersebut.

Kecemerlangan yang ditampilkan Roslan telah membawanya ke peringkat daerah dan skuad bawah 15 tahun Perak. Langkah pertama yang sudah pun menunjukkan hasil yang tidak langsung diduga oleh Roslan ketika itu.

Lebih manis, pembabitannya bersama skuad MSSM Perak buat pertama kali dalam sukan hoki turut menyaksikan negeri kelahirannya itu muncul juara.

Terus melangkah hebat

Selepas daripada langkah hebat yang diambil Roslan sebagai ‘outfield player’ ke penjaga gol, beliau sudah tidak lagi memandang ke belakang dan mencipta banyak kejayaan peribadi buat dirinya.

Kelebihan yang dikurniakan itu terus dimanfaatkan sebaik mungkin sekaligus menjadikan sebagai seorang penjaga gol yang amat berpotensi pada usia mudanya.

Beliau dipanggil beraksi untuk pasukan negara dalam Kejohanan Remaja Dunia 1995 di Rawalpindi, Pakistan yang ketika itu dibimbing oleh Colin Sta Maria. Dalam pada itu, Roslan hampir mengganggotai pasukan SUKMA Perak 1994 pada usia 16 tahun

Di peringkat domestik pula, Roslan pernah beraksi bersama pasukan seperti PKNP, SMK Anderson dan Olak dalam kempen Liga Hoki Remaja Kebangsaan. Antara pencapaian menariknya adalah dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan sewaktu menyarung jersi SMK Anderson.

Pelbagai kesusahan dilalui oleh beliau dan rakan sepasukannya dengan cukup tenang. Pernah apabila beraksi untuk pasukan Olak yang berpangkalan di Klang, Roslan dan rakan sepasukannya bekerja sambilan di Western Digital, Kelana Jaya. Itulah pengrobanan yang dicurahkan sebelum mengecapi kemahsyuran sebagai pemain bertaraf dunia.

Selepas itu beliau sudah mula mendapat perhatian jurulatih skuad kebangsaan, Volker Knapp dan pernah dipanggil untuk menyertai latihan yang memaksanya berhenti daripada kerja di Western Digital itu.

Kehadiran Paul Lissek bawa tuah

Roslan yang sememangnya menyimpan hajat besar untuk menyarung jersi skuad hoki negara mendapat peluang untuk membuktikan sesuatu apabila pengendali baharu kelahiran Jerman, Paul Lissek tertarik melihat aksi kemampuan beliau ketika beraksi.

Beliau dipanggil untuk menyertai skuad Sukan Komanwel dan ujian pertamanya bersama skaud senior adalah ketika perlawanan test di Korea Selatan. Di negara ‘K-Pop’ itu, Roslan telah mendapat kaps antarabangsa pertamanya. Sungguh hebat untuk diperkatakan kerana hanya pada usia 20 tahun, beliau sudah mendapat kepercayaan jurulatih.

Beraksi dengan cukup baik ketika ‘sesi penilaian’ itu telah menyaksikan Lissek meletakkan Roslan sebagai penjaga gol utama bagi menghadapi Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Kisah yang sama seperti pertama kali beliau diberikan tanggungjawab menjaga gawang buat pertama kali ketika di bangku persekolahan, Roslan sekali lagi menampilkan kekentalannya dalam menghadapi tekanan serangan pasukan lawan dengan cukup baik.

Hanya bolos lima jaringan daripada lima perlawanan sehingga ke aksi separuh akhir, Roslan akhirnya gagal untuk mengekang kehebatan Australia yang menang 4-0 pada aksi final untuk menyaksikan skuad ngeara meraih pingat perak. Satu pencapaian yang cukup hebat dilakarkan.

Embed from Getty Images

Roslan Jamaluddin turut menyertai skuad negara menghadapi Sukan Olimpik 2000 di mana Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-11 daripada 12 pasukan bertanding. Pada ketika itu Roslan bertindak sebagai ‘backup’ kepada penjaga gol utama, Nasihin Nubli Ibrahim.

Saingan Piala Dunia 2002 di Bukit Jalil menyaksikan khidmat Roslan kembali ditagih sebagai penjaga gol utama. Skuad negara menamatkan kempen di tempat kelapan daripada 16 pasukan yang bersaing.

Di pentas Sukan Asia pula, Roslan berjaya mendapatkan satu pingat perak dan satu gangsa pada edisi 2002 di Busan dan 2010 di Guangzhou. Pencapaian di Sukan SEA tidak perlulah untuk diperkatakan kerana kita terlalu gah dalam temasya tersebut.

Selepas Sukan Asia 2006, Roslan sudah tidak lagi dipanggil untuk membarisi skuad kebangsaan tetapi beliau kembali pada tahun 2009 dan menjadi kepada ‘backup’ kepada seorang lagi penjaga gol ulung negara, S. Kumar.

World Hockey League 2015 yang merupakan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 adalah pentas terakhir Roslan di pentas antarabangsa dan sejurus selepas kejohanan itu beliau mengumumkan persaraannya.

Terjun ke bidang kejurulatihan

Roslan bersama anak didiknya, Farah Ayuni Yahya. Kredit foto: Farah Ayuni

Setahun selepas persaraannya, Roslan Jamaluddin terus ditawarkan sebagai ketua jurulatih penjaga gol wanita negara. Pada permulaannya beliau berasakan sedikit sukar untuk menyesuaikan diri sebagai jurulatih kerana terlalu lama bergelar pemain.

Namun, selepas tujuh hingga lapan lapan bulan selepas itu semuanya sudah berjaya dihadapi dengan cukup baik buat beliau.

Anak didiknya di kem skuad wanita kebangsaan, Farah Ayuni Yahya dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik Asia bagi tahun 2016 dan 2018. Pemain tersebut juga beraksi cemerlang bersama pasukan East Grinstead di England.

Rumusan

Terlalu banyak perkara untuk dikongsikan mengenai insan yang bernama Roslan Jamaluddin ini.

Siapa sangka, dari seorang anak kampung yang mencipta sendiri kayu hoki hanya dengan menggunakan kayu ubi dan bolanya pula dengan getah sekerap ketika di zaman kanak-kanaknya, beliau pernah menjadi kebanggaan negara di pentas dunia.

Kredit foto: Stanley Chou/ALLSPORT

Leave a Reply