Kualiti Skuad Muda Felda United Tarik Minat TMCB Jadi Penaja Utama

Keberanian Felda United untuk menyenaraikan pemain-pemain muda bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia merupakan salah satu faktor utama bagi Tanah Melayu Capital Berhad (TMCB) untuk tampil selaku penaja platinum untuk tempoh tiga tahun bermula musim ini.

Ditubuhkan sejak 2015, TMCB adalah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sewaan dan pinjaman produk kepada perniagaan kecil dan juga syarikat-syarikat komersial.

Musim 2020 menyaksikan skuad The Fighters telah menyenaraikan 60 peratus anak-anak warga peneroka FELDA di dalam skuad utama dengan 12 pemain adalah terdiri daripada mereka yang berusia di bawah 23 tahun (B-23).

Selain itu, bagi pasukan pembangunan seperti skuad Piala Presiden (B-21), Piala Belia (B-19) dan akademi, ianya dibarisi oleh 100 peratus anak-anak peneroka FELDA.

Ketua Pegawai Eksekutif TMCB, Syed Azaudin bin Syed Ahmad ketika ditemubual Semuanya BOLA menjelaskan, penajaan kepada Felda United bermula 2020 hingga 2022 ini adalah sebahagian daripada rancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang TMCB dalam membantu pembangunan sukan tanah air.

“TMCB melihat kerjasama bersama FELDA United yang mewakili komuniti FELDA sebagai satu usahasama yang tidak terhad kepada sukan bolasepak tetapi pembangunan masyarakat.

“Kerjasama di diantara TMCB dan Felda United tidak terhad kepada di dalam padang, tetapi juga diluar. TMCB melihat potensi masa hadapan FELDA United yang positif melalui bakat pemain-pemain yang agak muda.”

Azaudin juga berharap pasukan tersebut mampu memberi saingan yang baik kepada pasukan-pasukan di Liga Malaysia disamping dapat meneruskan kesinambungan dengan pembentukan pasukan yang mantap untuk tahun seterusnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Felda United, Dato’ Dr. Shamsul Anwar Sulaiman pula berharap dengan pengurusan yang profesional, Felda United perlu mengeksplorasi penggunaan sains sukan dan teknologi yang canggih.

“Felda United akan terus memperluaskan program akar umbi dan mencungkil bakat-bakat baru di semua 11 wilayah yang terdiri daripada 317 rancangan FELDA di seluruh negara bagi membangunkan anak cucu peneroka ini dengan kaedah latihan moden.

“Dengan cara ini, diharapkan pada satu hari nanti, pasukan utama Felda United akan dibarisi oleh anak-anak muda FELDA yang berkaliber dan berdaya saing.”

Tidak mahu ketinggalan berbanding pasukan-pasukan lain, Felda United juga telah melancarkan jersi rasmi pasukannya yang akan digunakan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Penyokong Felda United boleh dapatkan jersi tersebut di The Fighters Outlet.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Felda United:

Leave a Reply