Felda United Pertaruh Pemain Berusia 17 Tahun Di Liga Super

Ketika kebanyakan pemain-pemain bola sepak seusia dengannya masih mengintai tempat untuk beraksi dalam saingan Piala Belia atau Piala Presiden, Norazwan Mohd Amir sudah pun mengesahkan kedudukannya dalam skuad utama Felda United yang akan beraksi di saingan Liga Super pada musim ini.

Pemain berusia 17 tahun yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini merupakan produk akademi The Fighters yang beraksi dalam Piala Belia pada musim lepas. Beliau juga merupakan cucu peneroka Felda Jengka 10.

Dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur pada Selasa dan kelab Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng FC pada Sabtu, pemain remaja itu diturunkan pada separuh masa kedua dan rata-rata penonton yang hadir ke stadium memuji pesembahannya.

Ketika ditemubual oleh SemuanyaBOLA, pemain yang beraksi di posisi sayap tersebut mengakui beliau teruja dapat menembusi skuad utama dan bakal bermain dalam saingan liga elit pada musim ini.

“Saya berbangga dapat bersama pasukan [utama]. Untuk musim 2020, saya akan berusaha keras dan akan berlatih lebih banyak lagi untuk menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya berterima kasih kepada ketua jurulatih [Nidzam] kerana memberi kepercayaan kepada pemain-pemain muda untuk bermain.

“Untuk musim ini jika saya dapat bermain dalam tujuh atau lapan perlawanan [dalam skuad utama] pun dah cukup baik. Untuk mendapat lebih banyak pendedahan dan pengalaman, saya juga berharap dapat beraksi dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.”

Sementara itu, Ketua Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil yang ditemui selepas perlawanan di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjelaskan beliau memilih Norazwan kerana pemain muda itu mempunyai beberapa kelebihan.

“Kawalan bolanya baik, dia mempunyai kelajuan untuk memecut dan lebih utama dia ada keberanian untuk berdepan dengan pemain lawan yang lebih berpengalaman.

“Ianya penting untuk pemain-pemain muda seperti ini diberi peluang bermain. Jika mereka melakukan kesilapan, saya tak kisah sebab untuk belajar sesuatu mereka akan buat silap. Jadi pada masa akan datang mereka akan jadi pemain yang baik,” katanya lagi.

Keberanian Nidzam untuk membentuk pemain-pemain muda harus dipuji dan diharapkan jika kaedah seperti ini dilaksanakan semua pasukan, negara kita akan terus dibekalkan dengan pemain-pemain muda berbakat besar boleh diserap untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Leave a Reply