Felda United Kumpul Sumbangan Bantu Barisan Hadapan Dan Warga Felda Yang Terjejas

Felda United

Mengambil tanggungjawab sebagai sebuah pasukan bola sepak yang prihatin kepada negara, Felda United telah mewujudkan satu iniasitif dengan mengadakan kutipan sumbangan dalam membantu Kerajaan Malaysia dan pihak yang memerlukan dalam mendepani cabaran menghadapi pandemik wabak coronavirus (COVID-19).

Kutipan sumbangan yang telah pun bermula sejak 25 Mac lepas dan akan berakhir pada 31 Mac itu melibatkan pengurusan pasukan, pegawai-pegawai kejurulatihan, pemain-pemain serta penaja-penaja Felda United.

Namun selepas Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selama dua minggu lagi, kutipan sumbangan juga berkemungkinan akan dianjak lagi sehingga 7 April 2020.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman ketika dihubungi oleh SemuanyaBOLA menjelaskan, kutipan sumbangan tersebut telah diilhamkan sendiri oleh Presiden Felda United, Encik Anuar Malek

“Hasrat beliau adalah untuk membantu Kementerian Kesihatan dan anggota keselamatan terutamanya bagi golongan barisan hadapan yang berkorban dan bertugas menangani wabak Covid-19 selain membantu meringankan individu-individu yang terkesan khususnya warga Felda.

“Sumbangan ini akan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu kepada petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, anggota keselamatan serta individu atau keluarga yang terkesan dengan wabak ini khususnya dalam kalangan warga Felda.” katanya.

Tambah Afizal lagi, sumbangan ini juga dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan di bawah naungan Felda seperti Koperasi Permodalan Felda (KPF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Puspanita dan lain-lain.

“Keseluruhan sumbangan akan dikumpul apabila tempoh kutipan berakhir dan akan diserahkan kepada FELDA untuk diserahkan secara rasmi kepada mereka yang telah dinyatakan. Semoga dengan inisiatif sumbangan ini secara langsung dapat membantu mereka yang memerlukan.” kata Afizal lagi.

Sementara itu, ketua pasukan Felda United, Jasazrin Jamaludin menjelaskan kutipan sumbangan tersebut merupakan satu usaha yang bagus dengan keadaan yang kritikal pada waktu ini.

“Yang penting adalah untuk membantu keluarga Felda yang kurang berkemampuan. Walaupun tidak ditetapkan kepada kami jumlah tertentu, tetapi semua pemain telah memberikan sumbangan seikhlas hati mereka.”

Diharapkan pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang lain juga dapat mencontohi Felda United dalam membuat kebaikan bagi membantu pihak-pihak yang memerlukan.

Kredit Foto: Felda United FC

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Felda United:

Leave a Reply