7 Jenis Ball Header Dan Contoh Pemainnya

Kemahiran seseorang ball header seringkali dikaitkan dengan ketinggian pemain. Menurut kata orang, semakin tinggi seseorang pemain, semakin pandailah dia menanduk bola. Tetapi dalam bola sepak, realitinya tak seringkas itu.

Amirizwan Taj, contohnya, mungkin berketinggian 185cm. Tetapi kemahiran menanduk bolanya tak sehebat ball header yang lebih pendek daripadanya seperti Bambang Pamungkas (171 cm) atau Tim Cahill (178 cm).

Jadi kriteria apa sebenarnya yang mendefinisikan seseorang pemain sebagai ‘penanduk bola’ yang bagus?

Kriteria ball header

Untuk menjadi penanduk bola yang bagus, terdapat 3 kriteria fizikal dan teknikal yang perlu diambil kira. Pendapat ini turut dipersetujui oleh Michael Cox (pakar taktikal bola sepak) dalam artikelnya pada tahun 2012:

(1) Ketinggian

Mempunyai ketinggian semata-mata tak menjamin anda boleh mencabar pemain lain menanduk bola. Tetapi pemain tinggi boleh menanduk bola tanpa melompat tinggi seperti pemain pendek.

(2) Lompatan

Kebolehan melompat dengan tinggi juga penting. Ada 2 aspek yang perlu dikuasai dalam kebolehan fizikal ini:

  • ketinggian lompatan dan
  • kebolehan melompat pada masa yang betul.

(3) Tandukan

Teknik menanduk dengan betul juga penting. Ada 3 aspek yang perlu dikuasai dalam teknik ini:

  • kebolehan mengarahkan kepala ke arah yang betul
  • kebolehan menanduk pada masa yang betul DAN
  • kemahiran menanduk ke arah yang tepat

Ada sesetengah pemain yang sudah menguasai 3 kriteria ini. Ada juga pemain yang hanya menguasai 1-2 kriteria sahaja. Jadi kita boleh kelaskan semua penanduk bola kepada 7 jenis seperti dalam diagram Venn di bawah:

Jenis A

Gambar oleh Kamarul Akhir/ www. asiana.my

Pemain dalam kategori ini mempunyai fizikal ketinggian yang bagus (melebihi 183 cm atau 6 kaki). Tetapi tidak pandai melompat dengan tinggi dan mempunyai teknik tandukan yang lemah.

Tetapi mereka masih boleh menanduk bola; selalunya melalui hantaran lintang yang tinggi (float crosses). Dari segi permainan, mereka lebih gemar menerima bola di kaki.

Contoh: Peter Crouch, Amiridzwan Taj, Afiq Azmi, Izzaq Faris Ramlan

Jenis B

Kredit: asiana.my

Pemain kategori B tidak mempunyai ketinggian dan teknik tandukan yang bagus untuk menjaringkan gol. Tetapi apa yang pasti, mereka boleh melompat dengan tinggi.

Pemain ini kebiasaannya mempunyai otot betis yang bagus yang membolehkan mereka melompat tinggi walaupun pendek.

Contoh: Gary Medel, Khairul Helmi Johari, Alexis Sanchez

Jenis C

Tak tinggi dan tak mempunyai kebolehan melompat tinggi yang membolehkannya bersaing dengan pemain gergasi, tetapi boleh menanduk bola dengan bagus jika diberi ruang.

Kebanyakan pemain jenis C ini merupakan penyerang jenis poacher.

Contoh: Michael Owen, Filippo Inzaghi, Liew Kit Kong, Safee Sali

Jenis D

Pemain ini mempunyai ketinggian dan kebolehan melompat yang bagus. Tetapi jarang menjaringkan gol tandukan kerana teknik tandukan mereka belum cukup padu.

Kebanyakan pertahanan tengah Eropah berada dalam kategori ini. Mereka boleh diharap untuk mengeluarkan bola sejauh mungkin dengan kepalanya, tetapi mungkin menghadapi kesukaran jika disuruh menanduk ke sasaran yang spesifik.

Contoh: Thierry Henry, Pierre-Emerick Aubameyang, Afif Amiruddin

Jenis E

Sumber: USA Today

Pemain ini terkenal kerana – disebalik ketinggian mereka yang sederhana – mereka masih boleh memenangi perebutan bola di udara (aeriel duels). Ini kerana mereka mempunyai kebolehan melompat dan teknik tandukan yang cemerlang.

Contoh: Tim Cahill, Fabio Cannavaro, Bambang Pamungkas, Bobby Gonzales

Jenis F

Tinggi dan pandai menanduk bola, tetapi tidak atletik.

Mereka tidak boleh melompat dengan tinggi tetapi masih boleh menjadi pertahanan tengah atau penyerang kerana tinggi dan ada teknik menanduk bola yang bagus.

Contoh: Per Mertesacker, Jan Koller, Nikola Zigic, Marouanne Fellaini, Dramane Traore

Jenis G

Mempunyai ketinggian yang bagus, atletik dan teknik tandukan yang bagus, ball header jenis G ini adalah pemain idaman setiap pasukan.

Contoh: Didier Drogba, Zlatan Ibrahimovic, Cristiano Ronaldo, Emmanuel Adebayor, Zainal Abidin Hassan

Aplikasi jenis-jenis ball header dalam taktikal pasukan

Seperti yang kami terangkan di atas, pemain yang berlainan jenis memerlukan taktikal yang berbeza.

Contohnya jika anda menggunakan pemain jenis A atau F sebagai pertahanan tengah pasukan, anda mesti memasangkannya dengan seorang pemain yang lebih mobil dan lincah – seperti pemain jenis B, D atau E.

Pasangan pertahanan yang ampuh biasanya menggunakan formula ini.

Contohnya Malaysia era 70 dan 80-an (Santokh Singh & Soh Chin Aun), Itali era lewat 90-an (Fabio Cannavaro & Alessandro Nesta) dan JDT era-2015 (Marcos Antonio & Aidil Zafuan).

Jika anda menggunakan pemain A atau F sebagai penyerang, pastikan pemain sayap (atau bek sisi) anda bekalkan mereka dengan hantaran lintang tinggi (deep, float crosses) ke kawasan far post.

Jika anda menggunakan pemain B atau E sebagai penyerang pula, pastikan pemain sayap (atau bek sisi) anda bekalkan mereka dengan hantaran lintang rendah yang laju (driven crosses) ke kawasan near post.

Rumusan

Artikel ini ditulis dengan tujuan untuk mengajak pembaca menyangkal sterotaip bahawa ‘pemain tinggi secara semulajadinya bagus di udara’.

Kami juga ingin mengajak pembaca untuk memahami dinamik fisiologi pemain-pemain dan bagaimana pemahaman terhadap aspek ini mampu membantu persembahan pasukan di atas padang.

Pemain yang tinggi tak semestinya bagus di udara. Manakala pemain yang pendek pula tak semestinya tak bagus di udara.

Leave a Reply