Maksud 11 Slang Yang Orang Pantai Timur Pakai Dalam Bola Sepak

Dalam artikel kali ini, kami ingin memperkenalkan 11 slang atau slanga Pantai Timur yang biasanya digunakan oleh orang negeri Pantai Timur dalam bola sepak.

Beberapa istilah ini mungkin jarang didengari oleh telinga pemain Pantai Barat. Jadi mari kita kenali slang yang orang Pantai Timur guna dalam bola sepak.

1. Ebo

Istilah ini merujuk kepada kesalahan biasa di mana bola terkena tangan atau pun lengan. Ebo merujuk kepada perkataan bahasa Inggeris iaitu elbow yang bermaksud lengan.

2. Pawal

Istilah pawal ini merujuk kepada seseorang pemain yang telah dikasari oleh pemain lawan. Pawal merujuk kepada perkataan foul.

3. Goli

Istilah ini merujuk kepada posisi penjaga gol.

Pada zaman dahulu kerap digunakan istilah goalie namun bola sepak moden hari ini lebih kepada panggilan keeper atau penjaga gol.

4. Paghah kadah/slek 

Istilah ini merujuk kepada bentesan tidak kira sama ada terjahan bersih atau terjahan keras, ianya membawa erti yang sama.

Selain paghah, istilah seperti kadah atau pun slek turut membawa erti yang sama iaitu bentesan.

5. Buko

Istilah buko ini membawa maksud buka atau open.

Buko sering kali didengari ketika perancang memegang bola mereka akan menjerit istilah ini untuk memberi arahan kepada rakan sepasukan bagi mencari ruang kosong  supaya hantaran boleh dilakukan.

6. Awal

Istilah awal ini juga sering kali digunakan oleh para pemain bagi mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memegang bola terlalu lama.

Dengan kata lain ia bermaksud early pass, simple pass simple play.

7. Main arok

Istilah arok di sini bukan bermaksud arak yang merupakan minuman keras atau beralkohol tetapi diambil daripada kata dasar berarak.

Arok lebih bermaksud kepada bermain untuk mendominasi bola ataupun bermain secara ball possesion.

8. So maka

Istilah ini sangat digemari oleh pemain yang mempunyai kepakaran dalam melakukan sepakan dan rembatan.

‘So maka’ memberi maksud padu, deras dan tepat. Dalam erti kata lain, pemain itu mempunyai teknik sepakan yang bagus.

9. Lacar

Lacar bermaksud lancar. Dalam hal ini ianya digunakan untuk memberi isyarat kepada gerakan serangan balas pantas.

Taktikal ‘gelembung buaya’ atau long ball sinonim dengan panggilan lacar ini.

10. Atas orat

Istilah ini membawa maksud atas garisan. Istilah orat atau urat itu sendiri adalah bermaksud garisan.

Istilah atas orat digunakan tidak kira sama ada garisan tepi padang atau garisan gol.

11. Ngolek

Istilah ini sangat popular untuk mengambarkan bekas penyerang prolifik Kelantan iaitu Muhammad Ghaddar.

Keyakinan yang tinggi membolehkan beliau mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super setakat ini walaupun kadangkala ia meresahkan para penyokong dengan aksi ngolek yang agak keterlaluan dan kadangkala terlalu mementingkan diri.

Ngolek ini bermaksud gelecek. Selain ngolek, perkataan gotel juga digunakan untuk merujuk kepada perkataan gelecek.

Kesimpulan

Sebenarnya banyak lagi istilah- istilah yang unik dalam permainan bola sepak ini.

Namun untuk perkongsian kali ini, kami hanya memetik beberapa istilah yang popular digunakan di Pantai Timur tidak kira sama ada di ceruk kampung hinggalah ke peringkat utama seperti Liga Super misalnya.

Nota editor: Artikel ini merupakan tulisan saudara Shafarul Azlin yang merupakan peminat bola sepak tempatan. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantarkan artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected]

Baca juga artikel kami yang lain mengenai bola sepak Pantai Timur:

Leave a Reply