Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Selain Terengganu, Pasukan Mana Yang Pernah Muncul Semula Selepas Semusim Tersingkir?

Selamat kembali ke saingan Liga Super diucapkan kepada Kuala Lumpur dan Terengganu. Selepas hampir semusim bertarung untuk dua slot yang ditawarkan, akhirnya kedua-dua pasukan tersebut berjaya merealisasikan impian untuk kembali ke liga utama negara.

Dengan pengesahan tersebut, dua lagi pasukan yang turut bersaing sengit iaitu Negeri Sembilan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) akhirnya terpaksa berpuas hati meraih kedudukan ke-3 dan ke-4 liga.

Dengan berbaki satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur dan Terengganu kini dalam pertarungan penentuan kejuaraan Liga Premier 2017 yang dijangkakan akan dimuktamadkan sebulan daripada sekarang.

Terengganu yang turun pangkat ke Liga Premier pada penghujung musim lalu hanya memerlukan satu musim sahaja untuk kembali ke Liga Super. Pastinya, Irfan Bakti adalah antara watak penting yang berjaya membawa Terengganu untuk meraih slot tersebut.

Pada 2016, di bawah kendalian Mike Mulvey, Terengganu berada di kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya meraih 19 mata daripada 22 perlawanan. Ianya bukanlah rekod terburuk dalam sepuluh musim terakhir untuk pasukan yang menghuni dasar ke Liga Premier.

Berikut merupakan senarai ranking mata 10 pasukan tercorot Liga Super untuk 10 musim terakhir (2006-2016):

  • PDRM (2009) : 3 mata
  • Kuala Lumpur (2012): 5 mata
  • Melaka (2006): 9 mata
  • Pulau Pinang (2010): 10 mata
  • Perlis (2011): 10 mata
  • Sime Darby (2015): 10 mata
  • Negeri Sembilan (2013): 10 mata
  • Sarawak (2007): 14 mata
  • PKNS FC (2014): 18 mata
  • Terengganu (2016): 19 mata

Berdasarkan ranking ini, ternyata Terengganu bukanlah pasukan yang lemah pada musim 2016, namun persaingan majoriti pasukan pada musim tersebut boleh dikatakan seimbang, dengan perbezaan mata yang kecil daripada kedudukan ke-4 sehingga ke dasar liga.

Dan mungkin atas faktor itulah, Terengganu tiada masalah untuk membuat kemunculan semula ke Liga Super selepas hanya semusim beraksi di Liga Premier, selain daripada faktor keberkesanan kepimpinan Irfan Bakti.

Ayuh kita soroti tiga pasukan yang pernah membuat kemunculan semula selepas semusim diturunkan pangkat. Ianya sedikit sukar untuk dijelaskan kerana perubahan struktur dan format liga yang kerap kali dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Namun kami di Semuanya BOLA akan cuba untuk merungkai sedikit sebanyak berkaitan topik ini.

Pahang

Skuad Pahang Pada Musim 2011. Foto: 2121studio.

Di akhir musim Liga Super 2011, Pahang berada di kedudukan kedua tercorot daripada 14 pasukan bertanding, dan telah tersingkir ke Liga Premier 2012 bersama-sama Perlis yang menghuni tangga tercorot.

Pahang yang ketika itu di bawah kendalian Dollah Salleh meraih 22 mata, hanya empat mata di belakang Kuala Lumpur yang terselamat daripada penyingkiran. Memburukkan keadaan, Tok Gajah hanya mampu merekodkan jumlah jaringan terendah iaitu 19 gol.

Di Liga Premier 2012, Pahang menduduki tempat kedua di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ‘meletup’ dek kerana sentuhan jurulatih berpengalaman, B. Sathiananthan, peledak sensasi, Marlon Alex James dan penyerang disegani dalam negara, Hairuddin Omar.

Secara asasnya, Pahang sudah layak untuk naik pangkat ke Liga Super, namun kerana perubahan format liga yang bakal menyaksikan hanya 12 pasukan beraksi di Liga Super 2013, satu pertandingan playoff diperkenalkan oleh FAM untuk empat pasukan terlibat.

Pertandingan playoff yang berlangsung pada 17 hingga 19 Julai 2012 ini adalah untuk menentukan satu pasukan yang akan bersama-sama ATM untuk beraksi di Liga Super dan ianya melibatkan pasukan kedudukan ke-11 Liga Super, Sarawak, Kedah (12), Sabah (13) dan Pahang.

Tok Gajah meraih slot ke Liga Super ‘berwajah baharu’ selepas menewaskan Sarawak dan seterusnya Kedah di final playoff. Sarawak, Sabah dan Kedah di turunkan pangkat ke Liga Premier 2013.

Felda United

Felda United Kini Antara Pasukan Berpengaruh Dalam Liga Super. Foto: Felda United FC.

Felda United tersingkir ke Liga Premier selepas menduduki tangga kedua tercorot Liga Super 2013 dengan meraih 19 mata daripada 22 perlawanan. Turut tersingkir ke Liga Premier pada musim tersebut adalah Negeri Sembilan.

Di bawah kendalian K. Devan, Felda United tewas separuh daripada aksi liga dengan merekodkan 13 jaringan dan bolos 35 gol. Walaupun berkongsi 19 mata bersama T-Team, The Titans terselamat berdasarkan defisit gol.

Skuad The Fighters dinaikkan pangkat ke Liga Super bermula pada musim 2011 dan tampak bergelut di liga utama negara walaupun memiliki jurulatih berkualiti antaranya E. Elavarasan dan K. Devan, sehingga kehadiran Irfan Bakti pada 2014, mengubah nasib mereka.

Beraksi di Liga Premier, Felda United mempamerkan aksi yang cemerlang dengan meraih kedudukan kedua seterusnya layak untuk kembali ke Liga Super 2015. PDRM dinobatkan sebagai juara Liga Premier musim tersebut dengan dibezakan dua mata mengatasi Felda United.

Pasti masih segar di ingatan para peminat bola sepak tanahair gandingan trio import berbisa Felda United yang membantu mereka meraih kembali slot ke Liga Super iaitu Zah Rahan, Ndumba Makeche dan penjaring terbanyak Liga Premier 2014, Edward Wilson.

T-Team

T-Team Pada Musim 2014. Foto: Ahmad Ridhuan / www.asiana.my

The Titans juga pernah melalui saat getir tersingkir ke Liga Premier, namun berjaya membuat kemunculan segera ke Liga Super selepas satu musim. T-Team dan PKNS FC bersama-sama tersingkir daripada Liga Super pada penghujung musim 2014.

Nasib T-Team saling tak tumpah seperti Felda United pada musim 2013 iaitu tersingkir selepas defisit gol diambil kira. Umpama karma buat T-Team. T-Team terikat 24 mata bersama-sama ATM, namun dikecewakan dengan defisit gol yang tinggi.

T-Team pada musim itu dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah. Ekoran tersingkir ke Liga Premier, Azraai Khor telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebelum bermulanya playoff Piala Malaysia 2014.

Rezeki sebenarnya memihak kepada T-Team pada penghujung musim 2015. Berada kedudukan ke-3 di belakang Kedah dan Pulau Pinang yang meraih slot automatik, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner sebenarnya masih belum layak untuk kembali ke Liga Super.

Namun dengan berakhirnya Perjanjian Persefahaman (MoU) antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada penghujung musim 2015, Lions XII tidak akan beraksi lagi di Liga Malaysia bermula musim berikutnya.

Slot Liga Super yang ditinggalkan oleh Lions XII diberikan kepada pemenang pertandingan playoff di antara pasukan tangga ke-11 Liga Super 2015, ATM dan pasukan tangga ketiga Liga Premier iaitu T-Team.

T-Team menang perlawanan playoff tersebut dengan keputusan 2-1, seterusnya kembali melangkah ke Liga Super.

Kesimpulan

Sekali lagi, sekalung tahniah buat Kuala Lumpur dan Terengganu. Tanpa perancangan dan pelaksanaan yang teliti, pasti ianya takkan berhasil. Dan, tindakan Terengganu melantik Irfan Bakti juga boleh dikategorikan sebagai langkah yang tepat dan kena pada masanya.

Tuntasnya, penyokong kedua-dua pasukan ini pasti sudah tidak sabar untuk menantikan tirai musim hadapan disingkap, terutamanya pasukan Kuala Lumpur yang terpaksa melalui jalan yang jauh dan penuh ranjau sebelum kembali ke liga utama negara.

Bagi Sang Penyu pula, ianya musim cemerlang yang perlu diteruskan sehingga ke musim hadapan. Dan ‘Derbi Pantai Timur’ pastinya akan dihidupkan kembali, dengan syarat, Kelantan yang sedang bergelut untuk kekal di Liga Super, mampu bertahan.

Selamat kembali ke Liga Super!