Jatuh Bangun Seorang Jasazrin

Mungkin tidak ramai yang sedar sebenarnya Jasazrin Jamaluddin merupakan salah seorang anggota pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang membantu pasukan berkenaan muncul pasukan pertama dari Asia Tenggara yang menjulang kejuaraan Piala AFC pada tahun 2015.

Malah pemain berusia 33 tahun tersebut tersenarai dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan pada malam perlawanan akhir yang penuh bersejarah itu di mana beliau beraksi di bahagian tengah bergandingan dengan Safiq Rahim dan Hariss Harun.

Selepas meninggalkan JDT dan menyertai Perak pada 2017 dan kemudian Pulau Pinang pada tahun berikutnya, nama beliau boleh dikatakan hilang daripada radar dan sangat kurang diberikan minit perlawanan sepanjang bersama dua pasukan tersebut.

Tetapi pada musim lepas, Jasazrin secara tiba-tiba ‘muncul’ semula selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama Felda United. Malah dalam beberapa perlawanan, beliau telah diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan sekiranya Hadin Azman tidak bermain.

Selepas Hadin meninggalkan skuad The Fighters dan menyertai Kedah pada musim ini, Ketua Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil telah memberikan kepercayaan kepada Jasazrin untuk memakai lilitan kapten pasukan.

Jasazrin dalam temubualnya bersama SemuanyaBOLA mengakui tanggungjawab yang diberikan kepadanya merupakan satu penghormatan dan beliau bersedia untuk memberi tunjuk ajar dan motivasi kepada rakan sepasukan terutamanya pemain-pemain muda.

Beliau turut ditanya mengenai pendapatnya mengenai pasukan Felda United yang boleh dianggap sebagai ‘penyelamat’ kepada kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Ianya sukar untuk digambarkan betapa besarnya makna pasukan ini kepada diri saya, tetapi saya memang berterima kasih kepada jurulatih, Nidzam Jamil yang mengambil saya menyertai Felda United pada musim lepas.

“Saya akui nama saya tenggalam selepas keluar dari JDT, kemudian apabila saya mula bermain dengan Felda, sedikit demi sedikit nama saya telah naik kembali dan barulah orang nampak semula ‘kehadiran’ saya dalam kancah bola sepak tempatan ini.” katanya.

Dalam senarai pemain yang sudah sah bersama pasukan, hanya beliau dan pemain import dari Singapura, Khairul Amri Kamal sahaja merupakan pemain senior pasukan yang kekal bersama Felda United untuk musim depan.

Sebagai pemain berpengalaman, beliau turut memberikan pesanan kepada semua pemain Felda United yang rata-ratanya terdiri daripada pemain muda termasuk pemain yang diserap dari akademi, skuad Piala Belia dan Piala Presiden.

“Felda United memanglah bukan pasukan yang sehebat JDT, Kedah dan Selangor seperti yang diperkatakan orang ramai. Jadi saya harap pemain-pemain muda ini boleh berikan persembahan terbaik untuk pasukan.

“Dari sudut karier, jadikan Felda United sebagai tempat untuk mula bertapak bagi mencipta nama. Jika mereka mampu menyerlah bersama pasukan ini, masa depan mereka selepas ini tentu lebih cerah.” kata pemain yang lebih mesra dipanggil Wak Kang oleh rakan sepasukannya itu.

Untuk musim baru, Jasazrin tidaklah meletakkan harapan yang menggunung tinggi, namun beliau bertekad untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu piala untuk pasukannya.

“Dalam saingan liga musim ini, kita tidaklah meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Saya harap kami dapat kekal dalam saingan Liga Super, tetapi sehingga penghujung saingan, harapnya kedudukan kami tidaklah seperti musim lepas [tempat ke-10].”

Kredit Foto: Felda United FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN