MPFL 2020: Pahang Rangers Tagih Khidmat Ketua Jurulatih Kelahiran Barcelona

Gerard Casas Ullastre

Pahang Rangers tampak semakin serius dalam usaha merealisasikan impian menjuarai saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2020 selepas berjaya mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara.

Individu dimaksudkan ialah Gerard Casas Ullastre yang sebelum ini berpengalaman sebagai penolong jurulatih pasukan Al Arabi Sporting Club di Kuwait.

Perkembangan terkini kehadiran pengendali kelahiran Barcelona itu telah disahkan laman Facebook rasmi Pahang Rangers.

Kehadiran Gerard Casas Ullastre adalah menggantikan khidmat ketua jurulatih musim lalu, Mohammad Taufik Yaiyah yang tidak disambung kontraknya bagi musim 2020.

Pahang Rangers mengakhiri persaingan MPFL 2019 di tempat kedua selepas mengumpul 34 mata hasil 10 kemenangan, empat keputusan seri dan dua kekalahan.

”Beliau melalui beberapa siri tapisan sebelum dipilih menduduki kerusi panas ketua jurulatih pasukan ini dan pengalaman luasnya dalam arena futsal diyakini dapat memacu Pahang Rangers melangkah jauh ke depan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut.

Di samping mengekalkan pemain utama musim lalu seperti Saiful Nizam Mohd Ali, Khairul Effendy Bahrin, Abu Haniffa Hassan, Azwann Ismail dan Firdaus Ambiah, Pahang Rangers turut dikatakan akan diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua pemain skuad kebangsaan.

Kredit foto: Al Arabia Sporting Club Media Center

Leave a Reply