Guardiola Sanggup Bercuti Di Maldives Dari Melatih Manchester United

Pep Guardiola telah menolak sebarang kemungkinan untuk mengendalikan Manchester United – walaupun beliau tanpa sebarang kelab dan ia adalah satu-satunya tawaran yang beliau perolehi.

Guardiola sebelum ini pernah dikhabarkan akan mengambil alih United dari Sier Alex Ferguson, selepas satu pertemuan di New York pada 2012.

Pengurus dari Sepanyol itu bagaimanapun memberikan komitmen beliau kepada Bayern Munich, dan David Moyes dilantik menggantikan Sir Alex pada 2013.

Guardiola hanya ke Liga Inggeris pada 2016 menyertai seteru setempat United, Manchester City.

Guardiola masih memiliki baki kontrak di Etihad sehingga 2021. Namun beliau berkata dirinya sanggup bersara daripada pengurusan untuk tidak berhijrah ke Old Trafford.

“Selepas melatih City, saya tidak boleh melatih United,” kata Guardiola.

“Ia seperti saya tidak akan melatih [Real] Madrid. Tidak sama sekali.

“Saya akan berada di Maldives jika tiada sebarang tawaran. Mungkin bukan Maldives, kerana di sana tiada tempat bermain golf,” ujar beliau berseloroh.

Guardiola mempunyai rekod yang baik menentang United sejak berhijrah ke England, memenangi empat, dan seri sekali dari lapan perlawanan derbi setakat ini.

Menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala Carabao di Old Trafford pada awal pagi nanti, Ole Gunnar Solskjaer kini menjadi seteru terbaru yang membangkitkan isu ‘tactical foul’ yang sering dilakukan anak buah Guardiola.

Kenyataan dari Solskjaer itu bagaimanapun dipertahankan oleh Guardiola.

 

 

Leave a Reply