Ini adalah satu testimoni kualiti kejurulatihan Itali.
Menurut Wojciech Szczesny kepad akhbar Il Tempo, beliau belajar lebih banyak perkara dalam masa 4 bulan di bawah kendalian Luciano Spalletti berbanding 10 tahun di England.
“Saya tahu di mana saya mahu bermain pada musim depan. Tapi saya takkan bagitahu (media),” kata Szczesny.
“Jika saya kekal di Roma, ia adalah peluang untuk belajar lebih banyak perkara. Jika saya pulang ke Arsenal, saya akan gunakan pengalaman saya di Roma.”
Hargai Spalletti
Szczesny yang dipinjamkan oleh Arsenal ke AS Roma pada sejak awal musim 2015/2016 bermain untuk dua pengurus Roma pada musim ini – Rudi Garcia yang kemudiannya digantikan Spalletti.
Penjaga gol Poland ini ternyata sangat menghargai sumbangan Spalletti dan staf kejurulatihannya untuk memperbaiki tekniknya.
“Spalletti sangat mementingkan kebolehan penjaga gol untuk bermain bola dengan kaki. Pernah sekali, kami (penjaga gol) berlatih lebih 45 minit hanya untuk memperbaiki sepakan gol kami.”
“Jurulatih penjaga gol, Guido Nanni juga sangat rapat dengan saya. Beliau seorang yang profesional dan saya tak pernah bosan dengan beliau.”
“Jika karier saya maju pada satu hari nanti, ia adalah hasil bimbingan Spalletti dan Nanni.”
Media Itali melaporkan AS Roma berminat untuk melanjutkan kontrak pinjaman Szczesny untuk satu musim lagi.
Arsenal dilaporkan tiada masalah membenarkan Szczesny dipinjam sekali lagi jika Roma mampu membayar gaji €3 juta setahunnya secara penuh.
Baca juga: Laman Web CaughtOffside.com Pecat Penulis Selepas Mengutuk Wojciech Szczesny