Quantcast

KAJIAN & FAKTA

7 Cerita Belakang Tabir Yang Jelaskan Mengapa LVG Diganti & Mengapa Prestasi Rooney Merosot

Beberapa hari lepas, kami menghasilkan artikel autopsi yang membedah prestasi Manchester United dalam Premier League musim 2015/2016 untuk menjawab soalan – mengapa United merosot di bawah kendalian Louis van Gaal.

Anda mungkin berhujah – satu FA Cup pada musim 2015/2016 bukanlah sesuatu yang teruk berbanding pasukan lain yang tiada piala.

Tapi seperti yang kami tulis dalam artikel tersebut, standard peminat United sangat tinggi. Dan ia gagal dicapai oleh van Gaal.

Maka tak hairanlah semasa Louis van Gaal memberikan ucapan penghargaan pada perlawanan terakhir musim di Old Trafford, beliau dijek boo oleh penyokong United.

Selepas melihat pemain mereka menjulang FA Cup 2016 baru-baru ini, sebilangan penyokong United bersorak ‘Jose Mourinho’ di Wembley Way ketika dalam perjalanan pulang dari Stadium Wembley.

Louis van Gaal pula mungkin menyangka sidang akhbar selepas perlawanan akan berkisar mengenai kemenangannya, tetapi media menyerangnya dengan pelbagai soalan mengenai masa depannya pula.

Dalam sidang akhbar tersebut van Gaal menafikan beliau bakal dipecat. Tetapi keesokan paginya memberitahu wartawan SkySports:

“Ianya sudah berakhir.”

Sumber dalaman United jelas mengapa

48 jam selepas Louis van Gaal mengesahkan beliau tidak akan kekal sebagai pengurus pasukan, akhbar-akhbar berprestij British seperti The Guardian dan The Independent masing-masing mengeluarkan sebuah artikel menarik.

Ia adalah 2 artikel yang berbeza tetapi sama kandungannya. Ini bermakna kedua-dua wartawan akhbar ini mendapat sumber dari orang yang sama.

Kandungan artikel tersebut dikatakan berasal dari sumber dalaman United sendiri. Berikut adalah rumusan kandungannya:

1. Perancangan pra-musim yang teruk punca permulaan musim 2014/2015 yang teruk

Pada musim 2014/2015, Manchester United mengalami permulaan musim paling buruk dalam masa 25 tahun apabila hanya mampu menang 3 daripada 10 perlawanan pertama.

Puncanya? Perancangan program pra-musim yang terlalu intensif.

The Independent melaporkan sebelum perlawanan persahabatan menentang LA Galaxy, van Gaal telah membatalkan tempahan hotel 5 bintang di Beverly Hills dan memilih hotel murah kerana lokasinya yang lebih dekat dengan padang latihan United.

Selama 14 hari berturut-turut, van Gaal mengatur 2 sesi latihan, 1 sesi perjumpaan pasukan, 1 sesi taklimat taktikal bermula dari 8.30 pagi sehinggalah 10.30 malam.

Pemain United memanggil program pra-musim van Gaal ini sebagai ‘kem penjara’.

2. Tiada cuti selepas match day

Adat bagi mana-mana ketua jurulatih, setiap pemain akan diberikan cuti selepas hari perlawanan (match day). Bagaimanapun ini tak berlaku di United di bawah Louis van Gaal.

Sebaliknya van Gaal memaksa pemain-pemainnya menghadiri sesi analisis video perlawanan semalamnya.

Etika kerja keras (tanpa cuti) van Gaal ini gagal memberi inspirasi kepada pemain-pemain United. Ia sudah sampai ke tahap di mana pemain United lebih sukakan latihan bersama pasukan kebangsaan mereka yang lebih santai.

3. Kritik pemain depan pemain lain

Dalam sesi analisis video perlawanan, Louis van Gaal juga terkenal dengan kritikan pedasnya. Menurut laporan The Guardian:

“Sumber kami memberitahu beliau (van Gaal) akan mengkritik kesilapan pemain secukup-cukupnya di hadapan pemain lain.”

Kritikan pedas van Gaal di hadapan pemain-pemain lain menjadi isu sehinggakan Wayne Rooney dan Michael Carrick pernah meminta berjumpa dengan pengurus Belanda tersebut untuk memintanya mengelak daripada mengkritik pemain secara terbuka.

Van Gaal bersetuju.

Selepas menerima cadangan Rooney dan Carrick, van Gaal mula mengkritik persembahan pemain-pemainnya melalui email. Dalam email tersebut, beliau turut memuat naik video dan nota-nota kritikan beliau.

Tetapi pemain United langsung tidak mempedulikan email beliau. Malah ada pemain yang tak membacanya langsung atau memastikan sebarang email dari van Gaal akan masuk terus ke ‘trash’.

Apabila van Gaal mendengar ada pemain-pemainnya tidak membaca emailnya, beliau memasang tracker dalam setiap email yang dihantarnya untuk mengetahui sama ada pemain membuka dan membaca email beliau.

Tetapi sekali lagi pemain United langsung tak mempedulikan emailnya.

Sebilangan pemain akan membuka dan membiarkan email tersebut terbuka selama 20 minit untuk ‘menipu’ tracker yang dipasang van Gaal.

4. Tak pandai mengurus Memphis Depay

Antara salah seorang pemain yang dikritik oleh van Gaal di depan pemain-pemain United lain adalah Memphis Depay. Ketika seri 1-1 dengan Chelsea di Stamford Bridge pada Februari 2016, Depay membuat kesilapan yang menghadiahkan gol Chelsea.

Sebagai denda, van Gaal mengarahkan Depay bermain dalam skuad simpanan (skuad U-21) yang akan menentang barisan simpanan Norwich pada keesokan harinya.

Bagaimanapun Depay hampir-hampir mengundang kemarahan penyokong United apabila turun ke perlawanan pasukan simpanan United dengan kereta Rolls-Royce beliau.

Sumber: manchestereveningnews.co.uk

Sumber: manchestereveningnews.co.uk

Rooney sudah pun menasihatinya supaya meninggalkan kereta mahalnya. Tetapi ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

5. Memanjakan Bastian Schweinsteiger

Pemain-pemain United yang lain agak kurang puas hati dengan layanan berbeza yang diterima oleh Bastian Schweinsteiger – pemain yang hanya mampu muncul 13 kali dalam kesebelasan utama musim ini – berbanding pemain-pemain United yang lain.

Selain Schweinsteiger, van Gaal turut ‘memanjakan’ seorang lagi pemain yang kurang digemari penyokong United – Marouane Fellaini.

Menurut laporan The Guardian, punca sebenar mengapa kedua-dua pemain ini mendapat layanan istimewa daripada van Gaal adalah kerana mereka sentiasa mematuhi segala arahan taktikal van Gaal.

Pemain-pemain lain pula mahu bermain bola sepak secara intuitive.

6. Melarang penyerang melakukan rembatan selepas satu sentuhan

Bercakap mengenai pemain-pemain United lain yang mahu bermain bola sepak secara intuitive, penyerang yang intuitive sentiasa bermain mengikut naluri bola sepak mereka.

Ini bermakna jika ada ruang, mereka akan terus shoot.

Bagaimanapun arahan taktikal van Gaal melarang penyerangnya bersifat intuitive. Menurut laporan The Guardian:

“Satu lagi arahan van Gaal yang pelik adalah melarang penyerangnya membuat rembatan first-time. Sebaliknya mereka perlu mengambil satu lagi sentuhan di depan gol.”

“Salah satu contohnya adalah ketika perlawanan pembukaan menentang Tottenham Hotspur.”

“Antonio Valencia membuat hantaran lintang rendah dari kanan dan menemui Rooney di tengah kotak penalti.

“Jika dulu Rooney sudah menjaringkan gol dari kedudukan itu, kali ini beliau melakukan apa yang van Gaal suruh – beliau mengambil satu lagi sentuhan. Kyle Walker berjaya merampas bola dari Rooney. Cuma bola tersebut masuk ke gawangnya sendiri.”

Mujurlah gol sendiri dari Kyle Walker itu sudah cukup memberikan United kemenangan 1-0. Bagaimapun arahan van Gaal itu adalah punca prestasi Rooney sebagai penyerang merosot teruk pada musim ini.

7. Mengabaikan input Ryan Giggs

The Guardian turut melaporkan Ryan Giggs, penolong pengurus United, sebenarnya sependapat dengan Paul Scholes, Rio Ferdinand dan Gary Neville mengenai taktik boring van Gaal.

Meskipun bijak mengenalpasti taktik pasukan lawan, Giggs tidak diberikan ruang langsung untuk mengatur taktik sebenar United ketika hari perlawanan.

Tugas Giggs di bawah van Gaal hanyalah mempersiapkan taktikal pasukan lawan yang bakal United hadapi ketika perlawanan ujian 11v11 dan set-pieces.

Baca juga: Autopsi Premier League Musim 2015/2016: Manchester United Yo-Yo Di Bawah LVG