Jurulatih berkaliber, Sulaiman Hussin tampil memberi perkongsian mengenai isu bekas pemain bola sepak profesional sebagai jurulatih di sekolah menerusi pandangan tersendiri.
Menurut Sulaiman, beliau setuju akan cadangan yang diutarakan tersebut dengan syarat para pemain perlu mendalami lebih jauh ilmu kejurulatihan bagi proses akar umbi.
Ini kerana kebanyakan bekas pemain dilihat lebih memberi tumpuan kepada peluang mereka bersama pasukan atasan disebabkan pendapatan bakal diperoleh lebih tinggi.
Terdahulu, beberapa laporan dikeluarkan mengenai bekas pemain bola sepak yang digalakkan untuk menjadi jurulatih buat pasukan di sekolah.
“Jadikan bekas pemain bola sebagai coach di sekolah, ni tajuk headline sehari-hari ni. Saya setuju cadangan ini tetapi bekas-bekas pemain ini harus lah mendalami ilmu kejurulatihan akar umbi dahulu kerana mereka perlu tahu proses pembangunan ini tidak sama dengan pasukan elit.
“Tapi kebanyakan bekas-bekas pemain masa kini lebih mengutamakan peluang di pasukan utama kerana di sini sumber pendapatan lebih lumayan,” kata Sulaiman menerusi Facebook beliau sebentar tadi.
Tambah Sulaiman lagi, untuk memastikan bekas pemain bola sepak rela menjadi jurulatih rasmi di sekolah, pihak bertanggungjawab perlu memastikan tawaran serta sumber pendapatan itu berbaloi kepada mereka.
Walaupun sedar ianya sukar direalisasikan, tapi ianya dianggap tidak mustahil kerana masih ada pemain sanggup dengan cabaran baharu untuk melatih para pelajar di sekolah.
“Bagi memastikan bekas-bekas pemain ini sanggup untuk mengajar bolasepak di sekolah pastinya tawaran dan pendapatan akan dititik beratkan.
“Nak mencadang itu mudah tapi nak realisasikan bukan semudah yg kita sangka. Seemua bekas-bekas pemain bila ditawarkan pasti soalan pertama adalah apa kami dapat.
“Kecuali ada 1 silibus dalam lesen yang diambil mereka seperti sekurang-kurangnya mereka harus mengajar setahun di mana-mana sekolah dan perlu menghantar rekod latihan baru boleh pergi ke peringkat seterusnya.
“Percayalah impian kekal di pasukan utama atau belia lebih mereka utamakan dari turun lebih rendah sampai ke sekolah, tapi saya percaya ada bekas pemain yang sanggup dengan cabaran ini, tapi kita juga wajar memikir sumber pendapatan mereka kecualilah mereka ni dah kaya raya masa mereka bermain dulu,” kata Sulaiman lagi.
Akhir sekali, Sulaiman juga menyatakan ianya boleh dilakukan dengan syarat pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempunyai satu bahagian khas di sektor sukan bersama satu peruntukan untuk cuba direalisasikan.