Tonggak tengah berpengaruh Harimau Malaya iaitu Stuart Wilkin menjadi antara pemain paling menyerlah ketika pasukan negara menewaskan cabaran Taiwan menerusi keputusan penuh, 1-0.
Beraksi di gelanggang lawan, Malaysia tampil dengan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, termasuk kehadiran pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Afiq Fazail untuk aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Kumpulan D.
Walaupun menghadapi sedikit kesukaran terutama sekali pada separuh masa pertama untuk menyesuaikan diri pada perlawanan tersebut, Malaysia tampil lebih menyakinkan di babak kedua.
Kemasukan penyerang berbisa, Darren Lok berjaya membawa kelebihan buat Malaysia untuk mendapatkan gol sulung pada minit ke-72 dan jaringan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan kini Malaysia gah dengan mengumpul enam mata selepas pasukan tersebut sebelum itu juga mencipta kemenangan mengatasi Republik Kyrgyz di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Untuk aksi semalam, beberapa pemain boleh dianggap mencuri tumpuan dan memberi impak cukup besar buat skuad kebangsaan sepanjang aksi berlangsung.
Stuart Wilkin
Antara paling menyerlah pastinya terarah kepada Stuart Wilkin yang memainkan peranan cukup besar di posisi tengah negara sepanjang perlawanan berlangsung.
Bergandingan buat pertama kali bersama Afiq Fazail, kelibat Wilkin kali ini dilihat lebih memberi impak besar untuk memberi cengkaman penguasaan tengah serta membantu serangan.
Pada aksi tersebut, pemain Sabah itu beberapa kali terlibat dalam situasi menyerang dan hampir mendapatkan gol sulung di separuh masa pertama menerusi rembatan deras beliau dari luar kotak penalti.
Malah, Wilkin juga hampir berjaya mencipta satu bantuan jaringan ketika tolakan kreatif beliau membuka ruang besar buat Arif Aiman sebelum ianya gagal disudahkan dalam bentuk gol.
Jika aksi lalu kelibat Wilkin tidak begitu memberi kesan buat pasukan negara, kali ini beliau tampil membuktikan kepada penyokong negara mengapa pemain itu layak menyarung jersi Harimau Malaya.
Junior Eldstal
Junior berjaya memainkan peranan cukup besar di posisi pertahanan negara dan membentuk gandingan cukup kental bersama Dion Cools untuk menafikan ancaman lawan.
Kelibat Junior yang begitu berdisiplin di posisi pertahanan tengah menyaksikan beberapa kali situasi berbahaya cub dicetuskan oleh Taiwan berjaya dinafikan dengan begitu cemerlang.
Fizikal yang dimiliki pertahanan Dewa United itu digunakan dengan begitu baik selepas beliau mudah mengatasi penyerang lawan khususnya dalam situasi pertarungan di udara.
Arif Aiman Hanapi
Impak beliau mungkin tidak begitu menyerlah sama seperti perlawanan lalu ketika berdepan Repbulik Kyrgyz, tetapi Arif tetap memainkan peranan cukup besar untuk terus menghidupkan posisi serangan negara.
Kelincahan Arif sekali lagi ditampilkan dengan cukup baik, selepas beberapa kali pertahanan lawan terperangkap dengan gerakan dicetuskan bintang JDT itu.
Arif juga sebenarnya memiliki beberapa peluang terbaik sebenarnya untuk membantu Harimau Malaya memperoleh gol, selain pemain muda itu bijak mencipta beberapa kombinasi gerakan bersama pemain lain.