Cristiano Ronaldo menjaringkan satu gol dan membantu jaringan Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain ketika Juventus membelasah Lecce 4-0 awal pagi tadi untuk terus menduduki takhta liga dan melebarkan jurang mata dengan pesaing terdekat, Lazio.
Selepas agak bergelut pada separuh masa pertama, titik perubahan permainan bermula apabila Fabio Lucioni dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Rodrigo Bentancur yang berjaya merampas bola pada minit ke-32.
Juventus yang berkelebihan seorang pemain mengambil kesempatan tersebut dengan menguasai permainan dan beroleh beberapa peluang keemasan.
20 – Lecce are the 20th different side Cristiano Ronaldo has scored against in Serie A – the Portuguese player has found the net against 20 of the 21 teams he has faced in the competition so far. Judgment.#JuveLecce pic.twitter.com/lLwK5qMeWI
— OptaPaolo (@OptaPaolo) June 26, 2020
Namun gol pertama perlawanan hanya hadir pada babak kedua apabila Dybala yang menerima hantaran pendek Ronaldo melencongkan bola dari luar kotak penalti tepat menuju ke penjuru gawang yang dikawal Gabriel.
Lapan minit kemudian, Juventus dianugerahkan sepakan penalti apabila Ronaldo dijatuhkan oleh Luca Rossettini dan disudahkan dengan sempurna oleh penyerang Portugal itu yang merembat kencang ke tengah untuk mencatat gol ke-23 musim ini.
Kuisan menarik Ronaldo kepada pemain gantian, Higuain pada minit ke-83 menghasilkan gol ketiga perlawanan sebelum Matthijs De Ligt melengkapkan kemenangan Juventus dua minit kemudian menerusi tandukan hasil hantaran lintang Douglas Costa.
Vittoria importante! Grandi ragazzi! 👏🏼💪🏼 #finoallafine pic.twitter.com/k4JMrV4pt4
— Cristiano Ronaldo (@Cristiano) June 26, 2020
Kemenangan itu mencerahkan peluang Juventus untuk merangkul kejuaraan Serie A buat kali kesembilan berturut-turut bagi mengubati kekecewaan mereka yang terlepas untuk menjulang Coppa Italia selepas tewas kepada Napoli dalam perlawanan akhir tempoh hari.