‘Ronaldo Menderita, Sarri Punca Masalah’ – Juventus Tetap Mara Ke Final Coppa Italia

Cristiano Ronaldo Juventus Mila Coppa Italia 2020

Cristiano Ronaldo terlepas untuk menyempurnakan penalti, namun Juventus tetap mara ke pentas final Coppa Italia. Tetapi para penyokong masih tidak berpuas hati.

Walaupun itu merupakan aksi pertama Juventus selepas aksi bola sepak tertangguh hampir tiga bulan akibat pandemik korona, menurut mereka, penampilan pemain dilihat tidak meyakinkan dan mahukan peningkatan untuk aksi berikutnya.

Ronaldo dan Maurizio Sarri

Paling banyak menerima kritikan adalah bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang gagal menyempurnakan penalti untuk meletak Juventus di depan pada minit ke-15 dan juga pengendali mereka, Maurizio Sarri yang dikatakan mereka , ‘poor coach’.

Disebalik kejayaan mereka layak buat kali ke-19 ke pentas akhir Coppa Italia, itu tidaklah dengan mudah akan diterima oleh para penyokong mereka dan Sarri juga dikatakan gagal merencana taktikal berkesan disamping ‘merosakkan’ Ronaldo.

https://twitter.com/BigBananaa_/status/1271550951841824770

“Sarri buatkan Juventus seperti pasukan yang telah ‘mati’. Pengendali yang teruk. 80 minit menentang 10 pemain, 0 gol” Itu merupakan antara komentar di laman Twitter selepas perlawanan tersebut. Nyata ramai penyokong The Old Lady yang marah.

AC Milan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Ante Rebic dilayangkan kad merah akibat mengasari Danilo pada minit ke-16. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dan Juventus mara hasil keputusan sebelum ini – dengan agregat 1-1.

Kekasaran lebih curi tumpuan

Ia merupakan perlawanan pertama di Itali sejak aksi bola sepak telah tertangguh dan perkara ini sememangnya sudah dijangkakan iaitu pemain dan pasukan akan kurang menjadi, namun yang lebih menjadi tumpuan adalah kekasaran Ante Rabic.

Beliau diarahkan untuk meninggalkan padang selepas membuat aksi kungfu ke atas Danilo sebaik sahaja Ronaldo terlepas penalti di minit ke-15. Ia merupakan malam panjang buat AC Milan beraksi dengan 10 pemain, ketinggalan menerusi agregat.

“Sesuatu yang gila dalam aksi #CoppaItalia!” ungkap laman Twitter, BT Sport mengenai kekasaran Ante Rabic yang membenamkan kakinya ke dada Danilo ketika AC Milan dalam proses melancarkan serangan balas pantas selepas penalti Ronaldo.

Dalam aksi pertama sebelum ini, AC Milan juga beraksi dengan 10 pemain, namun Juventus berhasil memburu gol penyamaan selepas Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti. Skrip yang hampir sama berlaku, namun tiada jaringan terhasil.

Juventus akan menanti pemenang antara Napoli dan Inter Milan yang akan bertembung pada malam ini. Napoli menang 1-0 dalam perlawanan pertama pada Februari lalu dengan aksi final Coppa Italia akan dilangsungkan pada Rabu depan.

KREDIT FEATURED IMAGE: AP

Baca lagi artikel lain mengenai Ronaldo dan Juventus:

Leave a Reply