Satu-Satunya Pemain Real Madrid Yang Disanjung Penyokong Barcelona

Dalam sejarah El Clasico, terdapat tiga orang pemain Barcelona yang pernah disanjung sehingga mendapat standing ovation daripada penyokong Real Madrid di Bernabeu Stadium: Diego Maradona, Ronaldinho dan Andres Iniesta.

Tetapi di Camp Nou, hanya ada seorang sahaja pemain Real Madrid yang pernah mendapat standing ovation daripada penyokong Barcelona. Nama beliau adalah Laurie Cunningham.

Budak buangan Arsenal

Lawrence Paul Cunningham atau Laurie Cunningham dilahirkan di London. Pada zaman pemain kulit hitam masih menerima dikriminasi (era 70-an) daripada kelab-kelab bola sepak England seperti Arsenal, Cunningham beruntung ada sebuah kelab progresif yang menghargai bakatnya – bukan warna kulitnya.

Nama kelab tersebut adalah Leyton Orient.

Tiga tahun bermain di Divisyen Dua bersama Leyton, bakat pemain sayap kiri ini mula dihidu oleh sebuah lagi kelab progresif yang bermain di Divisyen Satu, West Brom.

Di West Brom, Cunningham digandingkan dengan Cyrille Regis dan Brendon Batson. Tiga pemain ini membentuk rangkaian penyerang berkulit hitam pertama pernah disaksikan dalam liga bola sepak England.

Gandingan Cunningham-Regis-Batson ini sangat terkenal sehingga menerima gelaran ‘The Three Degrees’. Nama ini diberi sempena nama kumpulan muzik soul wanita berkulit hitam dari Amerika Syarikat yang terkenal di England.

Embed from Getty Images

The Three Degrees menjadi sensasi di England. Sebut sahaja Laurie, semua peminat bola sepak England kenal siapa tanpa bertanya nama keluarga pun. Kelajuan dan kawalan bola Cunningham yang luar biasa, digabung pula dengan skilnya – menggamit perhatian dan dibenci lawan.

Pada zaman pemain kulit hitam selalu diejek boo oleh penyokong lawan, The Three Degrees pernah sekali berjaya mendiamkan penyokong Manchester United dengan kemenangan 5-3 di Old Trafford pada musim 1978/1979.

Kemenangan ini mempunyai impak besar. Pertama ia memberi momentum kepada West Brom untuk menduduki tangga ketiga liga. Kedua, ia memberi inspirasi kepada ribuan kanak-kanak berkulit hitam di England bahawa mereka juga boleh menjadi pemain profesional satu hari nanti.

Real Madrid pinang

Pada musim panas 1979, Laurie Cunningham menjadi pemain berkulit hitam pertama bermain untuk skuad utama England (ketika ini England ada skuad England B dan C) dalam perlawanan rasmi.

Embed from Getty Images

Beberapa hari selepas mencipta rekod itu, Cunningham memecah rekod lain pula apabila menjadi pemain England pertama yang berhijrah ke Real Madrid.

Dikhabarkan gergasi kelab Sepanyol itu mula berminat selepas pengurusnya Vujadin Boskov terpegun melihat aksi Cunningham yang menenggelamkan pesona Mario Kempes ketika West Brom menentang Valencia di UEFA Cup pada tahun 1978.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak mengecewakan Boskov pada debutnya bersama Real Madrid apabila berjaya menjaringkan dua gol. Pada musim pertamanya juga, Cunningham berjaya membantu Los Blancos menjadi juara liga dan Copa del Rey.

Kemuncak kecemerlangan Cunningham pada musim pertama itu datang pada tarikh 10 Februari 1980: El Clasico di Camp Nou. Los Blancos menang 2-0 dan hanya seorang pemain bertakhta di bibir semua orang.

“Dia buat kami jadi gila dengan gelecekan, pecutan dan kelajuannya. Dia macam elektrik,” kata pertahanan bintang Barca, Migueli.

Embed from Getty Images

Bek kanan Barca pada ketika itu, Rafael Zuviria baru sahaja mencederakan Diego Maradona dalam ketika Sepanyol bertemu Argentina dalam tugasan antarabangsa beberapa minggu sebelum El Clasico. Tetapi menentang Cunningham, Zuviria menjadi ‘capek’.

Persembahan pemain Real Madrid dalam perlawanan itu sangat mengagumkan sehingga penyokong Barcelona terpaksa mengaku kalah dan memberikan standing ovation kepadanya. Sehingga kini Cunningham masih bergelar satu-satunya Madridista yang pernah mendapat standing ovation dari ribuan culés di Camp Nou.

Dalam 18 bulan pertamanya di Sepanyol, pemain yang digelar La Perla Negra itu merajai liga Sepanyol. Tetapi yang sedihnya, persembahan cemerlang beliau itu masih tidak cukup untuk terpilih dalam skuad England untuk EURO 1980. Tak hairanlah England tersingkir di peringkat kumpulan lagi.

Prestasi merudum

Pada musim keduanya di Madrid, Cunningham mula mendapat ‘perhatian istimewa’ daripada pertahanan. Setiap kali beliau mendapat bola, pasti akan ada dua tiga pertahanan yang membentes kasar. Tetapi beliau tetap melawan.

Pada malam 27 Mei 1981, persembahan cemerlang Cunningham masih tak mampu membantu Real Madrid untuk mengelak kekalahan kepada Liverpool. Liverpool muncul juara selepas menang 1-0.

Selepas perlawanan inilah, karier La Perla Negra mula merudum. Kecederaan demi kecederaan merosakkan kariernya.

Pada hujung musim 1983, Real Madrid melepaskannya. Selepas menyumbang 20 gol dalam 66 perlawanan untuk Los Blancos, Cunningham balik ke England. Selepas itu berhjirah semula ke Perancis, Belgium dan kembali ke Sepanyol.

Di sebalik kelab yang berbeza-beza, satu perkara yang kekal sama adalah kecederaannya. Cunningham sudah tidak secergas dulu lagi.

Pada tahun 1988, Cunningham menyertai ‘The Crazy Gang’ di Wimbledon. Semasa perlawanan akhir FA Cup menentang Liverpool, Cunningham berjaya membantu pasukannya menjadi juara selepas masuk sebagai pemain gantian.

Embed from Getty Images

Kejayaan meraih trofi ketiga dalam kariernya meyakinkan beliau untuk cuba berkelana sekali lagi di Sepanyol – kali ini untuk Rayo Vallecano pula.

Di sinilah Cunningham mendapati beliau lebih disayangi oleh orang Sepanyol berbanding orang negaranya sendiri. Di Sepanyol jugalah, isteri Cunningham melahirkan anak tunggal mereka. Hidup pemain veteran ini jadi sempurna.

Tapi takdir Tuhan menentukan 15 Julai 1989 sebagai tarikh terakhir Cunningham hidup. Puncanya hanya satu: tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu. Kemalangan itu mengorban nyawa Cunningham yang pada ketika itu baru berusia 33 tahun.

Kemalangan tragik itu juga membuatkan beliau tidak sempat menatap wajah anak tunggalnya yang diberi nama Sergio Cunningham.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai lagenda Real Madrid:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN