Kehadiran pertahanan tengah Lille, Gabriel Magalhaes dilihat mampu memulihkan semula struktur benteng Arsenal menjelang saingan musim 2020/21 depan.
Wartawan tersohor, Fabrizio Romano menerusi akaun Twitternya telah mengesahkan penghijrahan Gabriel ke Emirates dengan nilai £27 juta dan dijangka akan terbang ke London pada Isnin. Pengumuman rasmi dijangkakan pada minggu hadapan.
Masalah pasca Invisible
Arsenal melalui lima musim dengan masalah di benteng. Mungkin antara yang terbaik selepas musim Invisible adalah pada musim 2014/15 dan 2015/16 apabila mereka hanya dibolosi 36 gol, selain musim 2007/08 yang menyaksikan hanya 31 bolos.
Apakah masalah di benteng Arsenal? Ketika melalui musim Invisible pada 2003/04, posisi bek tengah The Gunners diterajui oleh Sol Campbell dan Kolo Toure dan mereka hanya melepaskan 26 gol. Ia turut dibantu prestasi baik Ashley Cole dan Lauren.
Pasca Invisible, Arsene Wenger dilihat bergelut mencari gandingan di bek tengah dan benteng keseluruhannya ditambah dengan kehilangan Ashley Cole, Lauren dan Sol Campbell pada musim 2006/07 telah menambahkan kesukaran buat dirinya.
Begitupun, Wenger membuktikan pemburuan pemainnya sentiasa berbaloi dan berjaya mendapatkan pengganti biarpun tidak setara dengan yang sebelumnya.
Transisi sebelum persaraan Mertesacker
Antara yang masuk ke seksyen pertahanan Arsenal selepas itu adalah Bacary Sagna, William Gallas, Per Mertesacker, Thomas Vermaelen dan Laurent Koscielny. Dan musim yang baik tiba pada 2014/15 dan 2015/16 dengan benteng yang lebih kukuh.
Saat itu, Arsenal ditunjangi oleh Mertesacker dan Koscielny di tengah selain Nacho Monreal serta Hector Bellerin di posisi bek sayap. Transisi sebelum persaraan Mertesacker mungkin antara punca kepada masalah besar di benteng The Gunners.
Menurut rekod, ada satu ketika, gandingan pemain asal Jerman itu bersama Koscielny melalui lebih dua tahun tanpa sebarang kekalahan dalam tempoh 90 minit perlawanan. Mertesacker akhirnya bersara dan Koscielny dilihat hilang gandingan serasi.
Penggantinya dilihat tidak cukup bagus iaitu Shkodran Mustafi yang kerap membuat kesilapan mudah dan mungkin ‘memaksa’ Koscielny mengangkat kaki. Kemasukkan David Luiz terus menjadikan benteng Arsenal umpama satu jenaka buat lawan.
Arteta sangat teliti
Ketika masuk menggantikan Unai Emery pada Disember 2019, bekas pemain Arsenal, Mikel Arteta mengutarakan satu masalah yang dihadapi olehnya iaitu memiliki enam pemain pertahanan tengah yang menggunakan kaki kanan dan perlu diteliti.
Koscielny merupakan bek tengah yang memiliki kekuatan kaki kiri terakhir dimiliki Arsenal dan Arteta mahukan pemain seperti itu berada di kubunya musim depan.
Pablo Mari yang masuk untuk posisi tersebut pula mengalami kecederaan selepas tiga perlawanan dan masalah tersebut kembali menghantui Arteta. Berpunca daripada itu, pemburuan Gabriel Magalhaes ditekankan oleh pengendali asal Sepanyol itu.
Ia dilihat akan membantu benteng Arsenal ketika fasa membina serangan daripada bawah dengan cepat. Dengan formasi taktikal 3-4-3, Arteta cuba membentuk benteng bertiga yang kukuh dan cepat dalam membina semula serangan daripada bawah.
Penutup
Seperti yang dibawa dalam artikel sebelum ini, Gabriel adalah pertahanan yang boleh diharapkan berdasarkan statistiknya di Lille. Beliau menggunakan 88.2 peratus kaki kiri dalam melakukan hantaran, malah tidak pernah membenarkan lawan melepasinya.
Jadi, pengganti Koscielny dalam struktur benteng Arsenal mungkin sudah ditemui Arteta. Samada Mari atau Gabriel, kedua-duanya mampu untuk menjadi pilihan terbaik di bek tengah kiri untuk membentuk gandingan bersama Walliam Saliba.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES