Chelsea dilihat mampu jimat £90 juta jika bari ruang kepada bintang muda sendiri dan dana itu boleh disalurkan untuk kukuhkan benteng dan gawang mereka.
Dalam lima perlawanan terakhir, mereka telah bolos 12 gol, termasuk empat gol ketika ditendang keluar daripada saingan Champions League oleh Bayern Munich awal pagi tadi. Chelsea tewas besar 1-4, dengan agregat 1-7 kepada gergasi Jerman itu.
Baiki struktur benteng dahulu
Bercakap ketika mengulas perlawanan antara Chelsea dan Bayern Munich itu, dua bekas pemain skuad kebangsaan England, Rio Ferdinand dan Owen Hargreaves bersetuju yang The Blues perlu melihat kepada dua posisi tersebut terlebih dahulu.
Ia perlu dibuat sebelum melengkapkan perpindahan bintang muda Jerman, Kai Havertz yang bernilai hampir £90 juta. “DIa [Havertz] pemain muda yang sangat bagus. Tetapi, mereka juga memiliki pemain muda yang sama bagus,” jelas Hargreaves.
“Saya rasa apa yang merisaukan, mereka berbelanja £200 juta untuk Werner, Ziyech dan Havertz, tetapi mereka masih tetap di kedudukan ke-4 dan ke-5 liga. Anda perlukan pemain yang sudah ‘siap’, masuk dan perbaiki pasukan,” tambahnya lagi.
Ferdinand turut bersetuju sambil mempersoalkan apa akan berlaku kepada Mason Mount yang sudah melalui musim yang sangat baik di posisi yang sama. Chelsea boleh jimat £90 juta dengan mempertaruhkan Mason Mount musim hadapan.
Tiada diskaun Covid
Begitupun, Chelsea dilihat masih meneruskan niat mereka untuk mendapatkan Havertz dengan pemain tersebut dilaporkan sudah bersetuju dengan kontrak lima tahun dan perbincangan nilai pemain masih berterusan dengan Bayer Leverkusen.
Leverkusen dikatakan masih bertegas dengan nilai £90 juta dengan tiada ‘diskaun COVID’ ke atas Havertz. “Ia tidak mudah [melepaskannya], tetapi untuk ‘artis’ sepertinya, tiada ‘diskaun COVID’,” tegas Pengarah Sukan Leverkusen, Rudi Voller.
“Saya akan dapatkannya [Havertz] jika saya masih boleh perbaiki pasukan di posisi pertahanan dan penjaga gol. Itu akan melengkapkan skuad,” ujar Ferdinand.
Sementara itu, menurut Daily Mail, Chelsea sedang mendekati pertahanan ‘tersisih’ di Manchester City untuk mengisi posisi pertahanan. Beliau merupakan bekas rakan sepasukan pengendali, Frank Lampard ketika di England, John Stones.
John Stones, Ben Chilwell untuk benteng
Mereka juga masih terus mengikuti rapat bek kiri Leicester City, Ben Chilwell yang juga ‘liat’ untuk dilepaskan oleh Brendan Rodgers. Jika The Blues tetap mahukannya, sekali lagi mereka perlu keluarkan belanja sehingga £80 juta untuk memikatnya.
Untuk John Stones pula, kemasukkan Nathan Ake akan memaksa beliau untuk mengetuk pintu keluar daripada Etihad bagi mendapatkan minit permainan.
Dengan Kejohanan EURO menjadi sasaran utamanya, pertahanan tengah berusia 26 tahun itu mahu bermain dan juga mencuri perhatian pengendali England, Gareth Southgate bagi memasukkan namanya ke dalam skuad The Three Lions.
Menurut laporan, The Citizens bersedia untuk mengurangkan tanda harga pemain tersebut bagi membolehkan pemain baharu, Nathan Ake mengisi tempatnya. Mereka membelinya dengan nilai £47 juta daripada Everton pada musim 2016.
Penutup
Sebelum ini, dikhabarkan apa sahaja yang Frank Lampard mahukan, Roman Abramovich bersedia untuk tunaikan. Jadi, mungkin disebabkan itu, perpindahan Kai Havertz tetap diteruskan disamping mereka dalam pemburuan pemain lain.
Ada benarnya, penekanan utama adalah di benteng pertahanan dan gawang. Mungkin ada pergerakan memburu pemain untuk posisi itu tetapi berita Havertz lebih sensasi.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES