Chelsea Yang Bagai Tidak Terkesan Dengan Pandemik Covid-19

Chelsea Stamford Bridge pandemik

Hampir semua kelab di seluruh dunia terkesan dek kerana pandemik Covid-19, tetapi Chelsea nampaknya kebal daripada serangan virus yang merbahaya tersebut.

Bagai tidak terkesan dengan pandemik tersebut, Chelsea dilihat tenang melaluinya dan apa yang ditonjolkan dalam jendela perpindahan kali ini adalah salah satu aspek yang menunjukkan The Blues masih ampuh belayar menongkah arus ketika ini.

Chelsea sakan berbelanja

Majoriti kelab di dunia kini mengehadkan perbelanjaan pasukan. Malah, ‘ikan besar’ di dunia bola sepak era kini, Barcelona dan Real Madrid juga mengelak untuk melakukannya. Presiden Real Madrid, Florentino Perez berkata, “Tidak!”

“Tiada pembelian [pemain] yang besar kali ini. Keadaan [selepas COVID-19] ketika ini sangat buruk. Ianya sangat sukar untuk meminta pemain-pemain untuk terima pengurangan gaji atau membuat pembelian pemain sebegitu mahal,” ujar Perez.

Begitupun, Chelsea masih tenang membuat pembelian besar. Dua pemain telah sah menyertai mereka dengan nilai yang tinggi iaitu Hakim Ziyech dan Timo Werner – kedua-duanya telah berhijrah ke Stamford Bridge dengan nilai hampir £80 juta.

Mereka juga masih dalam pemburuan bintang muda Jerman, Kai Havertz dengan telah meletak tawaran awal bernilai £75 juta kepada Bayer Leverkusen, tetapi kelab tersebut mahukan lebih daripada £80 juta untuk melepaskan pemain tengah tersebut.

Kesan larangan perpindahan pemain

Selain itu, Chelsea juga masih kekal berminat dengan bek kiri Leicester City, Ben Chilwell walaupun kelabnya sukar untuk melepaskannya. Dan dikatakan nilai perpindahan yang perlu dikeluarkan untuk pertahanan tersebut adalah £80 juta.

Salah satu faktor yang membantu Chelsea sangat bernafsu di jendela perpindahan kali ini adalah larangan perpindahan pemain yang mereka lalui di dua jendela perpindahan sebelum ini. Pemilik pasukan, Romah Abramovich kini mahu berbelanja!

Penjualan Eden Hazard ke Real Madrid dengan harga £88.5 juta, ditambah pula dengan penghijrahan Alvaro Morata ke Atletico Madrid, telah menambah dana buat pemilik tersebut untuk diserahkan kepada pasukan bagi dibelanjakan semahunya.

Dengan persembahan baik pengurus, Frank Lampard membawa mereka ke kedudukan ke-4 Premier League menggunakan pemain sedia ada, Abramovich pastinya yakin, jika pasukan ditambah baik dari segenap aspek, The Blues akan kembali digeruni lawan.

Tidak potong gaji, tidak ambil bantuan

Selain itu, pandemik COVID-19 juga memberi kesan ke atas gaji para pemain bola sepak. Namun, di Stamford Bridge, ianya tidak berlaku. Gaji pemain skuad utama kekal dibayar seperti biasa dengan mereka diwajibkan untuk terlibat dalam kerja amal.

Chelsea juga tidak mengambil bantuan kerajaan yang disalurkan bagi kelab-kelab yang berminat iaitu, ‘Coronavirus Job Retention Scheme’. Abramovich dikatakan komited untuk terus membayar gaji kepada setiap staf dan juga para pemainnya.

“Kami juga tidak merancang untuk memberhentikan kerja atau mengurangkan staf sepenuh masa kami yang akan terus dibayar 100 peratus gaji mereka,” memetik kenyataan Chelsea yang dilaporkan oleh laporan Sky Sport pada April lalu.

Menurut laporan, terdapat kelab yang telah mengambil skim bantuan tersebut yang menetapkan majikan boleh menuntut kepada kerajaan sebanyak 80 peratus daripada kos bulanan gaji pekerja mereka, maksimum sehingga £2.5 ribu sebulan.

Penutup

Chelsea dilihat sangat agresif dalam jendela perpindahan selepas COVID-19 yang penuh tekanan saat ini. Mereka mampu untuk meningkatkan kualiti pasukan mereka dengan pemain bertaraf bintang di saat pasukan lain terpaksa berkira-kira.

Jelas sekali, Chelsea seakan-akan tidak terkesan dengan pandemik tersebut ketika majoriti kelab-kelab lain hanya mampu memikirkan untuk meminjamkan pemain, membuat pertukaran pemain ataupun jual dahulu sebelum membeli.

KREDIT FEATURED IMAGE: CHELSEA FC

Baca lagi artikel mengenai Chelsea FC:

Leave a Reply