UCL 2019/20: Bayern Munich Bukan Tandingan Chelsea

Bayern Munich

Bayern Munich nyata berada di kelas mereka yang tersendiri apabila berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Chelsea pada aksi kedua peringkat 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20, sebentar tadi.

Kemenangan bertemu wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyaksikan Bayern Munich melangkah bergaya ke suku akhir dengan agregat 7-1.

Tuan rumah yang memiliki kelebihan selesa selepas menang 3-0 ketika aksi pertama di Stamford Bridge pada penghujung Februari lalu dihadiahkan sepakan penalti apabila Wilfredo Caballero mengasari Robert Lewandowski dalam kawasan penalti.

Lewandowski yang mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol kelahiran Argentina itu pada minit ke-10 bagi mengukuhkan lagi kelebihan dimiliki Bayern Munich.

Skuad bimbingan Hansi Flick itu semakin bernafsu untuk menambah jaringan tetapi percubaan Thomas Mueller pada minit ke-14 susulan hantaran daripada Alphonso Davies sekadar melewati palang gol.

Kegagalan Matteo Kovacic mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri dihukum gergasi Jerman itu apabila Lewandowski yang mendapat bola susulan keadaan tersebut melakukan hantaran kepada Ivan Perisic dalam kawasan penalti.

Perisic yang tidak dikawal pemain pertahanan Chelsea dengan tenang menolak masuk bola untuk memaksa Caballero mengutip bola dalam gawangnya buat kali kedua pada minit ke-24.

Jaringan tersebut bagaimanapun dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) setelah Tammy Abraham yang terlebih dahulu mengawal bola telah disahkan berada dalam kedudukan ofsaid.

Tammy Abraham bagaimanapun berjaya menebus kesilapan tersebut apabila beliau menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-44 berikutan kesilapan Manuel Neuer yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk merapatkan defisit jaringan.

Pemain gantian, Corentin Tolisso terus mengukuhkan kedudukan buat Bayern Munich pada minit ke-76 setelah beliau menyambar dengan baik hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Chelsea dilakukan Lewandowski.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa jaringan tersebut berpunca daripada kealpaan jentera pertahanan Chelsea yang tidak mengawal kelibat Tolisso dalam kawasan penalti.

Lewandowski terus menjadi watak penting kepada kemenangan skuad Bavaria ini apabila penyerang berbisa kelahiran Warsaw, Poland menanduk masuk gol keempat bagi menambah luka Chelsea di minit ke-84.

Keputusan 4-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk Bayern Munich menempah pertemuan menentang Barcelona pada aksi suku akhir nanti.

Kredit featured image: Bayern Munich

Leave a Reply