Pemain jentera serangan kelahiran Brazil, Richarlison yang memainkan peranan penting buat Everton menyimpan hajat besar untuk menjadi legenda kelab yang berpangkalan di Merseyside itu.
Richarlison yang sudah dua musim menyarung jersi The Toffees selepas berhijrah dari Watford jelas menjadi pilihan utama selepas beliau berjaya menjaringkan 26 gol dalam 69 penampilannya bersama Everton.
Selain itu, pemain berusia 23 tahun tersebut juga turut memasang impian untuk menjadi pemain kesebelasan utama di skuad kebangsaan Brazil yang ketika ini dibimbing oleh Tite.
Di pentas antarabangsa, pemilik nama penuh Richarlison de Andrade itu sudah membuat 19 penampilan serta meledakkan enam jaringan, masing-masing tiga gol pada tahun 2018 dan 2019.
Beliau mendapat kaps pertama bersama The Selecao selepas dimasukkan pada minit ke-75 bagi menggantikan Roberto Firmino ketika Brazil berjaya menumpaskan Amerika Syarikat 2-0 di New Jersey.
”Sasaran yang bermain di minda saya sekarang sangat jelas dan ianya saling berkaitan,” ujar Richarlison menurut laporan Goal.
”Sejak saya tiba di sini, saya sentiasa mengatakan bahawa saya mahu mencatatkan kemenangan untuk Everton. Saya mahu membantu serta meletakkan kelab ini kembali di kedudukan yang baik serta memenangi piala bersama Everton.
”Saya ingin mencapai sasaran tersebut dan mahu diingati sebagai pemain hebat dalam sejarah kelab ini.”
”Mengenai sasaran individu dan jangka masa panjang, tujuan utama saya untuk terus dipanggil membarisi skuad Brazil dan menjadi pemain penting buat pasukan tersebut, dan kemudiannya mendapat peluang beraksi di Piala Dunia.”
”Untuk memastikan ia menjadi kenyataan, saya perlu untuk terus mempamerkan persembahan yang baik menjaringkan gol buat Everton,” ujar beliau lagi.