Selepas memberikan penghargaan dan anugerah secara deskriptif untuk Liga Premier semalam, kali ini kami mahu memberikan penghargaan yang sama untuk Liga Super Malaysia 2016.
Berikut adalah 11 senarai pemenang pilihan kami.
1. Pasukan Yang Tidak Menepati Ramalan (Most Overated Team of The Season)
Terengganu
Sarawak mungkin pesaing untuk pengiktirafan yang tidak diingini ini namun Terengganu tetap tidak mampu dicabar.
Mereka melakukan urusan persediaan musim ini dengan awal. Menandatangani beberapa nama besar dalam bola sepak Malaysia dan mempromosi Ahmad Yusoff sebagai ketua jurulatih yang dibantu Mike Mulvey.
Dari segi kekuatan skuad mereka agak kurang di bahagian tengah. Kecederaan Gustavo menambah parah kepada pasukan ini.
Luka mereka terus menjadi barah musim ini dengan terpaksa menyingkirkan Ahmad Yusoff, kemudiannya Mike Mulvey. Mulvey turut disingkirkan dan digantikan dengan Mustapha Kamal.
Namun barah itu terlalu sukar untuk dirawat. Daripada dicanang sebagai pesaing kejuaraan semua kejohanan domestik, mereka kini sedang bertarung dengan penyingkiran.
2. Penyelamat Musim (Savior of The Season)
Karl Heinz Weigang (Perak)
Perak bergelut dengan penyingkiran dan aksi hambar. Karl Heinz Weigang yang digelar atuk oleh penyokong Perak datang dari jauh untuk menyelamatkan pasukan yang beliau sayangi.
Weigang memulakan tugasan dengan memberikan 4 kemenangan berturut-turut kepada pasukan Perak dalam semua pertandingan termasuk kemenangan ke atas JDT dalam Piala Malaysia.
Weigang sekali lagi menjadi adiwira menyelamatkan bola sepak Perak daripada tersingkir ke divisyen 2 selepas pernah melakukannya sebelum ini.
Memberikan nafas baru kepada beberapa nama pemain muda seperti Kenny Pallraj dan Fakhrul Hazli. Hari ini Perak sah kekal di Liga Super pada musim hadapan.
Ia seakan-akan tugas hakiki untuk Weigang.
3. Pasukan Yang Menepati Ramalan (Expected Team of The Season)
JDT
Sukar untuk tidak meletakkan mereka sebagai pilihan juara dengan persediaan rapi beterusan di kem JDT. Mereka berjaya menggondol kejuaraan hattrik Liga Super pada musim ini.
Pengurusan yang stabil dan pemain-pemain yang berkualiti menjadikan JDT cukup dominan dalam Liga Super musim ini.
Calon yang dekat dengan JDT adalah Pahang. Mereka mungkin antara salah satu kelab bola sepak Profesional di dunia yang kehilangan ramai tonggak utama termasuk jurulatih berwibawa kerana tamat kontrak dan terpaksa dilepaskan.
Melantik jurulatih yang masih mentah untuk mengendalikan pasukan yang hilang ramai pemain utama. Jadi, sudah ramai menjangkakan ia musim yang sukar untuk Pahang.
4. Pasukan Yang Melebihi Jangkaan (Most Underrated Team of The Season)
Kedah
Musim ini, Kedah telah menjadi pasukan penting kepada negara kita. Ramai pemain mereka berjaya diserap ke dalam skuad kebangsaan.
Hanya pada tahun pertama kembali ke Liga Super, Kedah menunjukkan kualiti mereka. Berjaya mara ke final Piala Malaysia sekali lagi.
Pada awal musim mereka agak goyah namun selepas masuk ke fasa separuh kedua musim, mereka adalah pasukan yang konsisten.
Mereka menjadi pasukan yang baru dipromosi ke Liga Super paling cemerlang musim ini sehingga ramai yang lupa status itu termasuk penyokong mereka sendiri.
5. Duo Terbaik (Duo of The Season)
Jorge Pereyra Diaz-Juan Martin Lucero
Duo ini telah menyumbangkan 33 gol dalam Liga Super setakat perlawanan ke-21. Aksi yang konsisten dalam membantu JDT menang dalam perlawanan wajib menang untuk memastikan Liga Super di dalam genggaman.
JDT jelas agak bergantung kepada duo ini sekurang-kurangnya seorang ada di dalam padang.
6. Perpindahan Terbaik (Transfer of The Season)
Juan Martin Lucero (JDT)
JDT mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan Rangel akan ditolak ke pasukan ke-2 mereka kerana mereka sudah mendapat pemain yang lebih baik.
Juan Martin Lucero dibawa masuk oleh JDT. Berdasarkan maklumat yang kami kaji, Lucero adalah pemain tengah menyerang.
Namun beliau diarahkan Gomez untuk belajar peranan no.9. Pada awalnya, beliau agak sukar bermain peranan itu. Namun perlahan-lahan beliau terus menjadi no.9 terbaik dalam Liga Super musim ini.
7. Perpindahan Merugikan (Worst Signing of The Season)
Paulo Rangel (JDT)
Hanya selepas beberapa perlawanan pra musim, Mario Gomez terus membuat keputusan beliau bukan pemain yang boleh menggalas tugas di JDT.
Lantas beliau diturunkan pangkat ke JDTII. Jadi kami menganggap beliau adalah perpindahan yang gagal oleh JDT tetapi yang berjaya oleh JDTII.
Kami juga ada beberapa senarai lain seperti Juan Morales, Carlos Kahe, Nejc Potokar dan Davide Grassi. Tetapi, situasi Rangel kami anggap lebih teruk.
Beliau gagal untuk masuk ke pasukan utama selepas pra musim.
8. Prospek (Propect of The Season)
Amirul Hisyam (Kedah)
Beliau menjadi pemain utama dalam pasukan Kedah sejak musim lalu. Memiliki badan yang kecil namun ada kecerdasan yang tinggi dalam permainan beliau.
Tanpa Amirul Hisyam, taktikal Tan Cheng Hoe akan bermasalah kerana pemain ini adalah perancang penting dari bawah.
Beberapa nama yang turut kami pertimbangkan adalah Tommy Mawat (Sarawak), Fazly Mazlan(JDT), Mohd Qayyum dan juga Rizal Ghazali.
9. Pecah Masuk Musim Ini (Breakthrough of The Season)
Safawi Rashid (T-Team)
Ramai yang terkejut mendengar nama ini menjaringkan gol demi gol kerana kurang perlawanan siaran langsung. Selepas melihat beberapa aksi beliau, ternyata Safawi bakat yang harus dibangunkan.
Beliau menjadi pemain penting dalam skuad T-Team musim ini dan membantu T-Team mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia 2016.
Beliau juga berjaya membuat debut bersama skuad kebangsaan musim ini dan dijangka akan berada dalam skuad Piala AFF Suzuki.
10. Watak Paling Digemari Musim Ini (The Most Lovable of The Season)
Issey Farran Nakajima (Terengganu)
Beliau adalah perkara terbaik untuk Terengganu musim ini. Peminat Terengganu amat menyayangi beliau kerana dia menganggap Terengganu adalah ruma kedua beliau.
Di atas padang, Issey sentiasa berjuang. Beliau sentiasa ringan mulut untuk menghargai setiap stadium dan penyokong lawan walaupun tewas dan bagai nak bergaduh di dalam padang.
Itu sudah cukup membuatkan bukan penyokong Terengganu sahaja yang sayangkan beliau. Issey sentiasa memberikan 100% dalam padang.
Mungkin Issey Farran Nakajima adalah pemain yang paling susah untuk dibenci penyokong lawan.
11. Detik Paling Kontroversi (Controversy of The Season)
Insiden Ukah-Bunyamin
Dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak di Kuching, berlaku pergaduhan sesama sendiri oleh Ugo Ukah dan Bunyamin.
Ukah dilaporkan menghatuk kepala Bunyamin sehingga berdarah. Ia mengingatkan kita kepada insiden Kieron Dye dan Lee Bowyer.
Namun kedua-dua mereka menunjukkan profesionalisme dengan meminta maaf kepada semua pihak atas insiden itu.
Ukah dan Bunyamin melupakan insiden itu dan berjanji untuk fokus kepada misi mereka di dalam padang.
Peluang terakhir dapatkan jersi original Selangor
Bercakap tentang bola sepak tempatan, anda juga boleh memberikan sokongan kepada skuad Selangor yang akan berentap dalam final Piala Malaysia 2016 dengan membeli jersi original mereka.
Kami mahu memberikan anda peluang terakhir untuk memiliki jersi original Selangor; kali ini dengan hanya RM90!
Anda boleh membeli ketiga-tiga jersi Selangor ini di https://thesbx.com/
Baca juga : Reviu Liga Perdana 2016: Pasukan Mana Paling Mengecewakan? Perpindahan Mana Paling Berbaloi?