Referendum Kesatuan Eropah: Kesan Yang Peminat Bola Sepak England & Scotland Perlu Tahu

3 hari nanti pada hari Khamis, 23 Jun 2016, rakyat Britain akan menentukan masa depan negara mereka untuk mengundi – sama ada mahu kekal atau keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Proses undian ini dikenali sebagai Referendum Kesatuan Eropah (EU Referendum).

Referendum Kesatuan Eropah ini merupakan salah satu janji manifesto Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Britain, David Cameron jika menang pilihan raya umum 2015.

Dalam manifesto mereka, Parti Konservatif berjanji akan mengadakan sebuah referendum untuk memberi peluang kepada semua rakyat Britain berusia 18 tahun ke atas hak untuk menentukan sama ada mahu kekal atau keluar dari EU.

Remain vs Leave

Ketika ini Britain terbahagi kepada dua kumpulan:

  • Remain – kumpulan rakyat Britain yang memilih untuk kekal dalam EU
  • Leave – juga dikenali sebagai ‘Brexit’, ini adalah kumpulan rakyat Britain yang memilih untuk keluar dari EU

Ketika kumpulan Brexit sedang mengumpul semakin ramai penyokong, kerajaan Britain kini sedang hebat berkempen untuk mendidik rakyat Britain mengapa mereka perlu mengundi kekal.

Banyak impak – positif dan negatif – yang bakal diterima oleh Britain jika mereka memilih untuk keluar dari EU dari segi ekonomi, imigresen, kedaulatan dan keselamatan Britain.

Semua perubahan ini bakal mempengaruhi segala aspek kehidupan di Britain – termasuklah bola sepak!

Syarat ketat permohonan permit kerja buat pemain bukan EU

Ketika ini, permohonan permit kerja di Britain bagi pemohon yang berasal dari negara bukan ahli EU tertakluk kepada peraturan Home Office (setaraf Kementerian Dalam Negeri di Malaysia) yang baru seperti jadual di bawah:

[table]
Ranking FIFA negara,Minimum % perlawanan antarabangsa yang mesti pemain bermain dalam tempoh 2 tahun
1-10,30%
11-20,45%
21-30,60%
31-50,75%
[/table]

Ini bermakna dalam tempoh 2 tahun, seorang pemain bukan EU mesti bermain minimum sekian-sekian peratus perlawanan antarabangsa untuk mendapatkan permit kerja di Britain.

Contoh 1:

Katakan Jeison Murillo, pemain pertahanan Colombia diminati oleh Chelsea.

Disebabkan Colombia berada dalam ranking dunia FIFA ke-3, Murillo perlu bermain minimum 30% daripada perlawanan antarabangsa Colombia dalam tempoh 2 tahun terakhir.

Dalam masa 2 tahun terakhir, Colombia telah bermain 15 perlawanan antarabangsa. Murillo pula telah bermain dalam 13 perlawanan antarabangsa bersama Tunisia (13/15 = 86.67%).

Oleh itu, Murillo layak mendapat permit kerja di Britain.

Contoh 2:

Katakan Larry Azouni, pemain tengah Tunisia pula diminati oleh Middlesbrough.

Disebabkan Tunisia berada dalam ranking dunia FIFA ke-47, Azouni perlu bermain minimum 75% daripada perlawanan antarabangsa Tunisia dalam tempoh 2 tahun terakhir.

Dalam masa 2 tahun terakhir, Tunisia telah bermain 9 perlawanan antarabangsa. Tetapi disebabkan Azouni baru bermain dalam 1 perlawanan antarabangsa bersama Tunisia (1/9 = 11.11%), beliau tidak layak mendapat permit kerja di Britain.

Ini bermakna Middlesbrough perlu mencari pemain lain.

Kesan Brexit kepada bola sepak di Britain

Ketika ini, mana-mana pemain bola sepak yang negaranya ahli EU akan menerima permit kerja dengan mudah.

Hanya pemain yang negaranya bukan ahli EU, yang mesti mengikuti syarat permohonan permit kerja Home Office yang ketat.

Bagaimanapun segalanya bakal berubah jika rakyat Britain sepakat untuk mengundi negara mereka keluar dari EU.

Jika Britain sah keluar dari EU, pemain-pemain dari negara EU seperti…

Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Czech Republic, Denmark, Estonia, Finland, France, Germany, Greece, Hungary, Ireland, Italy, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Netherlands, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Spain dan Sweden

….perlu memohon permit kerja dari Home Office seperti pemain-pemain dari negara bukan ahli EU.

Ini bakal menjadi mimpi ngeri kepada lebih daripada 332 pemain dari negara EU yang bermain dalam liga bola sepak England dan Scotland.

Di Premier League sahaja, lebih 100 pemain dari negara EU tidak layak mendapat permit kerja dari Home Office jika Britain keluar dari EU. N’gol Kante dan Dimitri Payet – dua bintang Premier League pada musim lepas – tidak akan layak bermain di England jika Britain keluar dari EU lebih awal.

Jika Britain keluar dari EU, bagaimana kelab Premier League mahu mencari the next Payet and Kante?

Maka tak hairanlah pengerusi eksekutif Premier League, Richard Scudamore secara terbuka mendedahkan akan mengundi ‘REMAIN’ dalam Referendum Kesatuan Eropah nanti.

Scudamore berpendapat dengan kekal dalam EU, Premier League akan kekal menjadi hab pelaburan bola sepak terbesar di dunia. Dengan penjualan syer majoriti Everton dan Swansea City baru-baru ini, bermakna hanya Crystal Palace, Stoke City, Tottenham Hotspur dan West Brom yang masih kekal di bawah pemilik British.

Kesimpulan

Dalam masa 3 hari, rakyat Britain akan menentukan masa depan lebih 332 pemain dari negara EU yang bermain dalam liga bola sepak England dan Scotland.

Sama ada keluar atau kekal dalam EU, ia bakal memberi impak besar – postif dan negatif – kepada ekonomi, sosio-politik, budaya dan bola sepak British.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Ahmad Loqman Izzat (panel bual Bola Astro Awani, CEO Manchester City Malaysia dan blogger Sepakan Korner Ahmad Loqman Izzat).

Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].

Baca juga: Politik Dan Bola Sepak Britain

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN