Everton semakin menyerlahkan kemahuan untuk menjadi pencabar hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 apabila baharu sahaja membawa masuk pemain pertahanan, Ben Godfrey daripada Norwich City.
Menurut sumber laman sesawang rasmi Everton, pemain berusia 22 tahun yang digelar prospek masa depan bola sepak England itu telah menandatangani kontrak selama lima tahun dengan yuran perpindahannya tidak dinyatakan.
Meskipun The Canaries turun kembali ke persaingan EFL Championship, Godfrey merupakan sandaran utama buat Daniel Farke dalam kempen EPL musim lalu apabila beraksi dalam 30 perlawanan liga.
Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah Everton yang ketika ini berada di puncak liga berminat untuk membawanya ke Goodison Park untuk memberikan lebih pilihan berkualiti buat Carlo Ancelotti di jentera pertahanan.
Selepas mengharungi empat perlawanan liga, posisi pertahanan tengah Everton telah diisi Micheal Keane dan pemain kelahiran Colombia, Yerry Mina.
Godfrey merupakan rekrut kelima buat The Toffees pada jendela perpindahan kali ini selepas mereka sebelum ini berjaya mendapatkan Niels Nkounkou, Allan, James Rodriguez dan Abdoulaye Doucoure.
”Ia merupakan satu penghargaan dapat menandatangani kontrak bersama Everton dan menjadi sebahagian daripada kelab besar ini. Saya sangat bersyukur dengan peluang ini dan tidak sabar untuk memulakannya.”
‘”Sasaran saya di Everton adalah untuk memenangi trofi dan perlawanan. Saya suka untuk menang. Saya seorang yang bersemangat.”
”Para peminat akan dijamin bahawa mereka akan melihat 110 peratus komitmen daripada saya apabila saya berada di dalam padang.”
”Kelab ini penuh dengan sejarah dan mempunyai pasukan yang penuh dengan pemain berkelas dunia yang mana mampu untuk membantu saya meningkat ke tahap seterusnya.”
”Saya memandang ke hadapan untuk bekerjasama dengan mereka dan diharapkan saya mempunyai masa yang hebat bersama Everton Football Club,” ujar Godfrey kepada evertonfc.com.
Kredit featured image: Tony McArdle/Everton FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Everton: