RASMI: Allan Sah Sertai Everton

Allan Everton

Kelab Liga Perdana Inggeris, Everton mengukuhkan bahagian tengah pasukan dengan mendapatkan Allan dari kelab Itali, Napoli selepas kedua-dua pasukan bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai £21.7 juta (RM119.6 juta), menurut sumber dari Sky Italia.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu yang telah mengumpul 9 kaps bersama skuad kebangsaan Brazil akan kembali bersatu dengan Carlo Ancelotti dan menandatangani kontrak selama tiga tahun di Goodison Park.

Allan dan Ancelotti bekerjasama di Napoli selama dua musim sebelum pengurus Itali berkenaan dipecat dan mungkim menjadi faktor utama mengapa Allan memilih kelab England tersebut walaupun cuba dipancing oleh beberapa pasukan lain seperti Atletico Madrid dan Borussia Dortmund.

“Ia satu penghormatan dapat menyertai Everton. Sejujurnya saya gembira berada di sini. Saya harap seperti mana yang saya telah lakukan sepanjang karier sebelum ini, saya dapat menyumbang sesuatu kepada rakan sepasukan untuk memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan lebib penting mencapai kemenangan,” ujar Allan kepada Everton TV.

“Ini kelab yang penuh dengan sejarah dalam bola sepak Inggeris, mempunyai cita-cita tinggi apatah lagi dengan adanya ‘Profesor’ Ancelotti. Dia telah melakukan segalanya untuk membawa saya ke sini. Melihat namanya sebagai jurulatih, saya tak perlu berfikir panjang untuk datang ke sini.

Allan memulakan kariernya bersama kelab negara kelahirannya, Vasco da Gama sebelum berhijrah ke kelab Serie A, Udinese pasa 2012. Beliau kemudian memyertai Napoli  pada 2015 dan beraksi sebanyak 200 perlawanan serta membantu kelab tersebut memenangi Copa Italia pada musim lepas.

Beliau juga merupakan anggota skuad Brazil yang menjuarai Copa America pada 2019 di samping rakan sepasukan baharunya, Richarlison.

Dalam perkembangan lain, James Rodriguez yang juga pernah beraksi di bawah bimbingan Ancelotti dijangka akan diumumkan sebagai pemain baharu Everton dalam masa terdekat.

Leave a Reply