Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mengesahkan yang masa depan Philippe Coutinho terletak di tangan pengendali baharu, Ronald Koeman ketika ini.
Coutinho tampil baik beraksi bersama Bayern Munich ketika memalukan kelab yang meminjamkannya, Barcelona di peringkat suku akhir Champions League dengan dua jaringan peribadinya – Bayern Munich menang besar 8-2 dalam aksi tersebut.
Terserahlah!
Bartomeu dipetik berkata ketika memperkenalkan pengendali baharu Barcelona pada Rabu, “Keputusan [masa depan Coutinho] akan dibuat oleh pengendali pasukan. Jika dia {Koeman] mahukannya kekal, musim depan dia akan bermain bersama kita.”
Coutinho gagal mendapat tempat dalam skuad Barca selepas menyertai mereka pada Januari 2018 dan telah dipinjamkan ke Bayern Muncih bermula pada musim 2019/20.
Coutinho dilaporkan gembira dan mahu kekal bersama Bavaria namun, kelab tersebut dikatakan tidak berminat untuk mendapatkannya secara tetap. Bayern Munich memiliki pilihan untuk membeli pemain asal Brazil itu dengan nilai £108 juta.
Berusia 28 tahun, beliau sepatutnya berada di puncak kariernya ketika ini, namun dengan masalah yang dilaluinya sebelum ini di Barcelona menyebabkan beliau terpaksa dipinjamkan ke kelab yang bersaing di Bundesliga tersebut musim ini.
Koeman minat Coutinho
Ketibaan Ronald Koeman mungkin akan mengubah segalanya buat Coutinho walaupun pada awalnya Barca dilihat sedang memaksanya untuk keluar.
Bekas pengendali skuad kebangsaan Belanda itu merupakan antara yang mengagumi bakat Coutinho dan nasib pemain itu dilihat bakal berubah 360 darjah. Mungkin beliau akan menjadi antara tulang belakang Barcelona yang berwajah baharu!
Dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal ketika ini, Coutinho dilihat kurang ambil peduli mengenai khabar angin tersebut malah beliau berkata yang tumpuannya kini lebih kepada aksi di pentas final Champions League bersama Bayern Munich.
Koeman pernah berkata sekitar Mei 2017 yang lalu sebelum perpindahan Coutinho ke Barcelona menjadi realiti pada Januari 2018, “Dia [Coutinho] adalah pemain yang hebat. Dan saya rasa dia sangat berguna untuk Barcelona [jika berpindah].”
Penutup
Ada sinar di hujung terowong buat Coutinho. Ketibaan Koeman nampaknya bakal memberi harapan buatnya untuk mendapatkan tempat dalam skuad Barca.
Walaupun ejennya, Kia Joorabchian sedang berusaha keras untuk membawanya kembali ke Premier League bersama The Gunners, Coutinho nampaknya sedikit pun tidak teruja setakat ini. Adakah beliau akan memilih untuk kekal di Barcelona?
KREDIT FEATURED IMAGE: FCBN