Malaysia mungkin terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri berdepan Myanmar, jika Syihan Hazmi gagal menepis sepakan penalti di hujung aksi dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Aksi tangkas Syihan menepis sepakan penalti yang diambil penyerang, Win Naing Tun sedikit sebanyak membantu skuad negara menarik nafas lega.
Jika tidak, jaringan tersebut akan mengikat kedudukan dan menyebabkan Myanmar dan Malaysia berpuas hati untuk sekadar berkongsi mata.
Mujur dengan ketangkasan penjaga gol nombor satu negara itu membantu negara untuk meraih tiga mata selepas Faisal Halim berhasil meledak satu-satunya jaringan dalam perlawanan tersebut iaitu pada minit ke-52.
❌ A penalty save worth 3️⃣ points
Take a bow, Syihan Hazmi 🙌#AFFMitsubishiElectricCup2022 | #BeTheGameChanger | #MYAvMAS pic.twitter.com/SWC9hoy63S
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 21, 2022
Myanmar dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan, Sharul Nazeem dipersalahkan pengadil dalam kotak penalti ketika perebutan bola di udara.
Walaupun kurang jelas kesalahannya, namun, penalti adalah penalti dan ‘Chinthe’ memiliki peluang besar untuk mengikat kedudukan di hujung aksi.
Ini selepas mereka dilihat menguasai perlawanan, namun ketinggalan satu gol di belakang. Sentuhan klinikal Faisal jelas memberikan perbezaan.
Jentera tengah skuad negara juga dilihat bergelut untuk menghadirkan sesuatu dan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui yang persembahan pasukannya tidak cantik disebabkan beberapa faktor.
Antara yang digariskannya adalah ia merupakan perlawanan kompetitif iaitu kejohanan berbanding aksi persahabatan sebelum ini. Selain itu, permukaan padang juga nampaknya tidak membantu kedua-dua pasukan tempohari.
Malah, Kim menganggap tuah Syihan membantu mereka keluar sebagai pemenang dalam aksi yang sukar sebegitu dan berterima kasih kepadanya.
🎦 #MYAvMAS 𝗛𝗜𝗚𝗛𝗟𝗜𝗚𝗛𝗧𝗦
🇲🇲 Myanmar 0️⃣-1⃣ Malaysia 🇲🇾
Just the one goal in it to see Harimau Malaya's campaign off to a good start ✅
#AFFMitsubishiElectricCup2022 | #BeTheGameChanger pic.twitter.com/YfqDhqDX6z— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 21, 2022
“Ia satu perlawanan yang sukar. Keadaan padang, cuaca, masa dan pelbagai faktor dilalui oleh kami berbeza dengan sebelumnya. Tetapi kami tahu ia akan menjadi aksi yang sukar kerana tiada siapa mahu kalah di depan penyokong sendiri. Jadi, kami tahu mereka akan ‘liat’,” ungkap Kim kepada pihak media.
“Dari segi persembahan permainan, ia tidaklah cantik tetapi adakalanya kami mengawal perlawanan,” tambahnya lagi di sidang media tempohari.
Beliau juga menghargai aksi profesional pemain-pemain terutamanya yang bermain di benteng. Ujarnya, “Saya tahu pemain mereka [Myanmar] cukup pantas dan kita memang sedar, tapi kami ada pemain yang lebih di bahagian pertahanan, jadi saya sangat selesa [corak permainan bertahan].”
“Kami juga dibantu oleh ‘tuah’. Saya berbangga dengan pemain ini [Syihan]. Terima kasih [Syihan]. Siapa yang bermain pun sasaran kami adalah tiga mata dan kami berjaya capai,” tambahnya lagi sejurus selepas perlawanan.
Aksi cemerlangnya menyelamatkan dua lagi percubaan tepat lawan selain penalti membantunya meraih gelaran pemain terbaik perlawanan tersebut.
Harimau Malaya menang tipis 1-0 ke atas Myanmar dan akan bertemu Laos dalam aksi kedua pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).