Logo baharu Perak yang dikhabarkan oleh segelintir penyokong bersikap tangkap muat telah pun dinafikan oleh pengurusan pasukan berkenaan yang menjelaskan segalanya telah diperhalusi dan dipersetujui sebelum diumumkan.
Jelas Muhammad Yunus Zakariah selaku Ketua Pegawai Eksekutif mengenai penghasilan logo tersebut sudah lama dibincangkan sejak awal bulan selain siri transformasi yang dilakukan sejajar dengan penjenamaan semula pasukan The Bos Gaurus.
“Logo ini dihasilkan oleh pereka kami sendiri. Pada asalnya, hasrat kita untuk tukar logo pada penghujung musim ini jika pasukan berjaya kembali semula ke Liga Super namun ia dipercepatkan disebabkan banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan.
“Bagi saya, perubahan yang dibuat tidaklah terlalu drastik dan kita masih mengekalkan elemen asal seperti warna (kuning dan hitam) serta seladang sebagai maskot pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Perak telah pun memperkenalkan logo baharu mereka sebagai salah satu persiapan semasa pasukan menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga-M) di laman Facebook baharu mereka pada Sabtu lalu.
Klip video yang berdurasi 45 saat telah dikeluarkan sebagai bentuk promo mengenai persiapan baharu Perak yang turut dimuat naik di akaun Twitter, Instagram, dan Youtube kelab tersebut. Beberapa logo Perak sebelum ini turut ditampilkan dalam klip berkenaan sejak 1921 hingga 2021.
Pihak beliau juga mengambil sikap berlapang dada dan mengambil isu kritikan yang diberi oleh para penyokong dengan positif mengenai logo baharu tersebut.
Pada masa sama, Muhammad Yunus telah berkata mengenai pasukan Perak akan mendaftarkan 27 pemain tempatan musim ini untuk dibawa beraksi selain sesi menandatangani kontrak pemain secara rasmi akan bermula hari ini.
“Sesi menandatangani kontrak dilakukan secara berperingkat bermula hari ini dan kita jangkakan ia dapat diselesaikan pada minggu ini,” katanya.
Mengenai perkhabaran bekas tonggak skuad Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Indra Putra Mahayudin yang dikhabarkan bakal menyertai Perak juga masih belum dimuktamadkan lagi jelas Muhammad Yunus. Namun beliau mengakui kedua pemain tersebut sudah pun turun dalam sesi latihan bersama skuad.
“Saya tidak boleh katakan mereka pasti akan bersama pasukan kerana buat masa ini kita kena juga lihat pelbagai aspek dan pandangan daripada jurulatih sebelum keputusan sebenar dibuat,” katanya.
Mengenai import, beliau juga berkata pasukan kini dalam perancangan untuk menggunakan khidmat pemain import sebanyak tiga orang dan bakal memeterai kontrak pemain berkenaan sebelum 22 Februari ini.