Pep Guardiola mengesahkan beliau akan membuat keputusan mengenai masa depannya di Bayern Munich pada minggu depan.
Ini menguatkan spekulasi yang dimulakan oleh majalah Jerman, Kicker yang mengatakan Guardiola bakal mengambil alih Manchester City, menggantikan Manuel Pellegrini.
Guardiola yang sedang berada di tahun terakhir kontraknya bersama Bayern dilihat sebagai calon utama untuk mengambil alih Manchester City pada musim depan. Manchester United dan Chelsea juga dilaporkan berminat.
Bayern dilaporkan telah menawar kontrak lanjutan mahal bernilai €20 juta setahun untuk Guardiola.
Tetapi wang jelas tidak menarik minat Guardiola selepas mengaku ‘tiada jawapan’ tentang sama ada beliau kekal di Allianz Arena.
Menurut laporan Marca, Guardiola menyatakan beliau mahukan ‘perubahan suasana’ sebagai sebab mahu meninggalkan Bayern.
Bercakap di sidang media selepas kemenangan 1-0 Bayern ke atas Darmstadt, Guardiola berkata:
“Malam ini saya tiada jawapan. Minggu depan baru saya ada jawapan (tentang masa depannya).”
Kapten Bayern, Philip Lahm, pula dilaporkan telah memberitahu Guardiola yang para pemain mahukan beliau kekal di Allianz Arena.
“Pendirian para pemain sudah jelas. Kami suka bermain di bawahnya dan kami sangat, sangat mahu terus bermain di bawahnya,” kata Lahm.
Dengan kehadiran dua bekas bos Guardiola di Manchester City iaitu Ferran Soriano (ketua eksekutif) dan Txiki Begiristain (pengarah bola sepak), Manchester City dilihat sebagai destinasi pilihan Guardiola.
Bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid, Carlo Ancelotti pula dikhabarkan sebagai pilihan untuk menggantikan Guardiola di Bayern.
Ancelotti kini sedang berehat sementara daripada bola sepak selepas menjalani pembedahan tulang belakangnya pada Ogos lepas.
Sementara itu, idola Guardiola yang juga merupakan bekas pengurus Marseille, Marcelo Bielsa sedang dilamar oleh Swansea untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus selepas Garry Monk dipecat.
Perlantikan Bielsa dilihat oleh media sebagai satu perjudian kerana reputasi Bielsa yang digelar ‘El Loco’ yang bermaksud ‘si gila’.
Bielsa yang tak pandai bercakap bahasa Inggeris mempunyai reputasi sebagai jurulatih yang pelik. Beliau pernah melatih pemain berlainan posisi pada masa yang berasingan.
Beliau juga selalu mengira keluasan dan panjang padang halaman lawan dengan mengira langkah kakinya sebelum menentukan formasi apa untuk dipakai.
Anak didik Bielsa yang juga ketua jurulatih pasukan kebangsaan Chile, Jorge Sampaoli turut menjadi calon untuk menggantikan Garry Monk selepas satu lagi calon awal, Gus Poyet menegaskan beliau mahu kekal di AEK Athens.
Berdasarkan calon-calon jurulatih yang dipertimbangkan oleh Swansea, jelas sekali mereka mahu mengekalkan falsafah bola sepak mereka yang gemar bermain hantaran pendek dengan tempo permainan yang tinggi.
Baca juga: 4 Sebab Mengapa Media Mengesyaki Pep Guardiola Telah Naik Gila