Adakah anda masih ingat peristiwa ‘ngeri’ pada Oktober tahun lepas di mana penyerang Tottenham Hotspur Son Heung-min telah menyebabkan pemain tengah Everton Andre Gomes mengalami kecederaan buku lali yang serius?
Peristiwa ngeri tersebut telah menyebabkan Son dilayangkan kad merah oleh pengadil Martin Atkinson yang kemudiannya ditarik semula oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) selepas Spurs membuat rayuan dan beliau terlepas daripada penggantungan tiga perlawanan.
Alasannya mudah, beliau melakukan bentesan tersebut bukanlah berniat untuk sengaja mencederakan Gomes dan menyesali perbuatannya. Malah beliau telah meminta maaf kepada pemain tengah Portugal tersebut dan mendoakannya agar cepat sembuh.
Heung-min Son celebrated one of his goals tonight by raising his hands and publicly apologising to Andre Gomes.
This guy is a touch of class. 👏 pic.twitter.com/H9SG2kkPk4
— Football Tweet ⚽ (@Football__Tweet) November 6, 2019
Walaupun pada awalnya beliau menerima kecaman termasuk serangan perkauman, Son membuktikan keikhlasannya dengan beberapa siri permohonan maaf dan isu tersebut tenggelam hanya dalam masa beberapa hari.
Gomes akhirnya kembali cergas sepenuhnya pada bulan Mac lalu selepas lima bulan menjalani rawatan pemulihan dan sebahagian besar penyokong Everton juga telah pun melupakan dan memaafkan Son.
Baru-baru ini pula, berlaku kecederaan lutut yang serius melibatkan tonggak pertahanan Liverpool Virgil van Dijk selepas diterjah secara kasar oleh penjaga gol Everton Jordan Pickford.
'Bukannya Sengaja' – Pickford, Richarlison Mohon Maaf Kepada Duo Liverpool https://t.co/NiqEirRbdc pic.twitter.com/GNxJW00mVN
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) October 18, 2020
Selepas membuat imbasan, pemain kebangsaan Belanda itu disahkan mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) dan perlu segera menjalani pembedahan yang akan mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh.
Namun apa yang mencuri perhatian adalah serangan demi serangan ke atas Pickford sama ada di media sosial mahupun secara terbuka oleh beberapa personaliti. Apatah lagi selepas pihak FA memutuskan tiada sebarang hukuman diberikan kepada penjaga gol kebangsaan England tersebut.
Bekas penjaga gol Menchester United, Marc Bosnich mencadangkan supaya Pickford digantung daripada bermain sehingga Van Dijk kembali pulih. Bekas pemain Liverpool Graeme Souness pula mengatakan tindakan Pickford merupakan satu ‘serangan’.
Kecaman demi kecaman diterima oleh Pickford seolah-olah beliau sengaja mahu mencederakan lawannya.
Mark Bosnich saying Pickford should be banned for as long as van Dijk is out injured for. This is Mark Bosnich, not even being punished with giving a free kick away either: pic.twitter.com/9tjQswGOiZ
— Benjamin Slack (@ben_slack28) October 19, 2020
Mujurlah bekas kapten Liverpool Jamie Carragher cuba untuk menenangkan keadaan dengan tampil mempertahankan Pickford dengan mengatakan 99 peratus pemain profesional tidak akan akan berniat untuk menyakiti pemain lain.
Memang diakui Van Dijk adalah pemain penting buat Liverpool dalam tempoh dua atau tiga tahun kebelakangan ini. Namun bak kata Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan, “Brader, kita perlu terus hidup”.
Dalam bola sepak, kecederaan boleh dianggap sebagai lumrah, adat atau kebiasaan. Tiada pasukan yang tidak pernah kehilangan pemain penting mereka disebabkan kecederaan jangka masa panjang.
Sebab itulah adanya pemain simpanan dalam setiap pasukan yang diperlukan apabila ketiadaan pemain utama.
Pemain United Alan Smith pernah cedera teruk di mana kakinya patah dan buku lalinya terkehel ketika cuba menahan rembatan kencang John Arne Riise pada 2006. Adakah Riise sengaja mahu mencederakan Smith? Tentulah tidak.
"@LivEchoLFC: Riise opens up on Alan Smith's unfortunate leg break https://t.co/oHvlxDZDb8… pic.twitter.com/4HDmP36x7K"
— Epic odenigbo (@odenigbo_epic) October 17, 2016
Pada tahun yang sama, penjaga gol Chelsea Petr Cech pernah mengalami kecederaan di kepalanya angkara ‘dilutut’ oleh Stephen Hunt sehingga beliau terpaksa ‘bertopi keledar’ sehingga penghujung kariernya.
Penyerang Arsenal Eduardo da Silva turut mengalami kecederaan patah kaki apabila diterjah oleh Martin Taylor pada 2008 dan ianya dianggap sebagai ‘pengakhiran’ buat karier cemerlangnya di Arsenal.
Oleh itu, sebagai peminat bola sepak yang mempunyai akal yang sihat, kita seharusnya berfikiran lebih waras dalam menikmati sukan paling popular ini. Adalah lebih baik untuk bersederhana sahaja kerana sikap taksub berlebih-lebihan ini tidak akan memberi sebarang manfaat kepada diri kita.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai isu kecederaan:
Kecederaan Bahu Paksa Alisson Becker Diketepikan Enam Minggu
‘Pemain Saya Bukan Mesin’ – Guardiola Merungut Jadual Padat Jadi Punca Kecederaan
Dua Kecederaan ACL Dalam Tempoh 8 Bulan, Masihkah Ada Sinar Buat Zaniolo?