Kecederaan Bahu Paksa Alisson Becker Diketepikan Enam Minggu

Alisson Becker

Kecederaan bahu yang dialami Alisson Becker ketika sesi latihan pasti membuatkan kem Liverpool berada dalam keadaan panik selepas penjaga gol utama kelahiran Brazil itu dilaporkan bakal disisihkan selama enam minggu.

Ketiadaan Alisson pada pertemuan menentang Aston Villa awal pagi semalam menyaksikan Adrian telah diberikan peluang untuk mengisi kekosongan tersebut.

Namun, peluang yang diberikan telah menjadi episod hitam buat penjaga gol berusia 33 tahun tersebut apabila beliau telah dibolosi sebanyak tujuh jaringan yang menyaksikan Liverpool dibelasah tanpa belas kasihan 2-7 pada perlawanan yang berlangsung di Villa Park itu.

Adrian telah melakukan kesilapan seawal minit keempat sehingga memberikan ruang buat pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan. Beberapa lagi jaringan yang dilepaskan turut menimbulkan kemarahan para penyokong setia The Reds.

Perkembangan itu dikongsikan oleh Klopp sebaik sahaja tamat perlawanan bertemu Aston Villa dan beliau memberikan bayangan bakal kehilangan khidmat pemain tersebut lebih daripada sebulan.

Ini bermakna Alisson bakal terlepas pertembungan hebat, Derbi Merseyside yang bakal berlangsung di Goodison Park pada 17 Oktober ini.

”Dia tidak mempunyai peluang untuk beraksi menentang Everton,” ujar Klopp menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Saya tidak mahu meletakkan jangkaan waktu tetapi mungkin empat minggu, enam minggu juga lebih mungkin.”

Sekiranya benar beliau diketepikan selama enam minggu, Alisson bakal terlepas sekurang-kurangnya tujuh perlawanan yang mana melibatkan empat aksi Liga Perdana Inggeris manakala tiga lagi dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam tempoh tersebut, Liverpool akan berdepan Everton, Ajax, Sheffield United, FC Midtjylland, West Ham United, Atalanta dan Manchester City.

Kredit featured image: Paul Ellis – Pool/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Alisson Becker:

Leave a Reply