‘Pemain Saya Bukan Mesin’ – Guardiola Merungut Jadual Padat Jadi Punca Kecederaan

Pep Guardiola Manchester City Chelsea

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menuduh pihak pengurusan bola sepak tidak mempedulikan kebajikan pemain selepas pasukannya berdepan dengan jadual yang begitu padat disebabkan semua kejohanan bermula agak lewat ekoran pandemik COVID-19.

The Citizens terpaksa mengharungi deretan perlawanan pada awal musim ini tanpa beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan dan perkembangan terbaharu menyaksikan Gabriel Jesus juga disahkan akan diketepikan selama sebulan.

Penyerang Brazil tersebut mengalami kecederaan otot ketika City menang ke atas Wolverhampton Wanderers pada Isnin lalu dan bakal terlepas sekurang-kurangnya tiga perlawanan.

Pemain lain yang turut serta dalam senarai kecederaan adalah Oleksandr Zinchenko, Sergio Aguero, Bernardo Silva dan Joao Cancelo.

Keadaan tersebut memaksa Guardiola bergantung kepada Raheem Sterling dan Riyad Mahrez di bahagian serangan di samping pemain baharu, Ferran Torres untuk aksi bertemu Leicester City pada Ahad.

Namun perkembangan tersebut akan memberi peluang kepada pemain muda, Liam Delap yang beraksi cemerlang menjaringkan dua gol ketika menyingkirkan Bournemouth dari saingan Piala Carabao tempoh hari.

Dua lagi pemain, Ilkay Gundogan dan Aymeric Laporte juga tidak dibenarkan beraksi kerana perlu melakukan pengasingan kendiri selepas disahkan dijangkiti wabak COVID-19.

“Realitinya memang begitu. Bukan hanya City, tetapi semua kelab di semua negara. Tiada yang peduli dengan keadaan pemain. Pihak EPL, UEFA, EFL semuanya hanya mahu selamatkan kedudukan dan bisnes mereka,” ujar Gurdiola.

“Pemain hanya ada dua minggu untuk persiapan pra-musim dan sekarang mereka perlu beraksi setiap tiga hari selama 11 bulan. Kalau saya katakan sebaliknya pun, ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Saya tahu keadaan sekarang memang di luar kebiasaan untuk semua orang. Tak kira restoran, panggung wayang atau muzium, semua orang sedang bergelut.

“Kami sudah berusaha untuk biasakan dengan keadaan ini, cuba untuk bermain dengan baik. Tetapi masalah kecederaan ini tidak boleh dielak lagi. Kami ada tiga pemain yang cedera selepas pulang dari tugasan antarabangsa.

“Mereka terpaksa beraksi dua perlawanan dalam tempoh empat hari tanpa persediaan yang cukup. Mereka bukannya mesin.”

Selepas membuat perhitungan dengan Leicester, City dijadualkan bertemu Burnley dalam misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala Carabao pada Rabu sebelum berkunjung ke Leeds pada Sabtu.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

Leave a Reply