Aidil Sharin Sahak akhirnya berjaya menunjukkan sentuhan berbisa beliau selaku jurulatih di Indonesia, setelah pasukan kendaliannya iaitu Persikabo 1973 berjaya mencipta kejutan untuk mengatasi kelab gergasi, Persib Bandung.
Alhamdulillah, FT : Persib 1-4 Persikabo 1973 #persikaboday pic.twitter.com/7IsOd5pPfu
— Official Persikabo (@persikabo__1973) April 15, 2023
Tampil selaku pasukan yang tidak memiliki ramai pemain bintang, Aidil mempunyai tugas berat untuk membawa Persikabo kembali menjadi antara berdaya saing dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Namun, segalanya berjaya dibuktikan pada aksi akhir liga menerusi sentuhan yang dimiliki Aidil untuk memacu Persikabo melakar kemenangan besar 4-1 untuk mengatasi Persib yang rata-rata dibarisi pemain bintang.
Beraksi di Stadium Gelora Bandung Lautan Api yang dihadiri ribuan penyokong Persib, tidak menghalang Persikabo untuk menguasai permainan serta melancarkan serangan bertali arus sejak wisel permulaan dibunyikan.
Hasilnya, Persikabo terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi pertahanan import mereka iaitu Lucas Gama Moreira pada minit ke-41, sebelum Lucky Oktavianto menggandakannya di awal separuh masa kedua.
Tampil penyerang utama Persikabo iaitu Silvio Rodrigues Pereira Junior untuk terus memberi senyuman gembira buat Aidil, setelah pemain tersebut berjaya meledak gol ketiga kelab pada minit ke-62.
Akhirnya Persib berjaya memperoleh gol sulung mereka pada minit ke-71 menerusi penjaring terbaik pasukan tersebut iaitu David da Silva, sebelum kelebihan itu dipadam sepenuhnya oleh Pedro Henrique Cortes Oliveira Góis pada minit ke-83.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat dengan ianya memberi penutup yang baik buat Persikabo, khususnya Aidil yang sebelum itu ditekan oleh segelintir penyokong kelab itu.
Kemenangan itu menyaksikan Persikabo berjaya meraih kemenangan ke-11 musim ini untuk mengumpul 41 mata secara keseluruhan daripada 34 perlawanan dihadapi kelab tersebut.
Sejurus tamat perlawanan, Aidil Sharin melafazkan rasa syukur dengan keputusan tersebut, setelah kejayaan mereka untuk mengejutkan Persib Bandung yang jauh lebih unggul daripada segi kualiti pemain.
Menurut Aidil, pertemuan kedua pasukan ini dianggap sangat sengit kerana masing-masing mempunyai objektif yang sama iaitu untuk meraih kemenangan pada perlawanan terakhir.
“Syukur Alhamdulillah, ianya merupakan perlawanan yang bagus membabitkan antara Persikabo dan Persib. Hari ini kita berjaya mencipta sesuatu yang luar biasa.
“Kita sudah pun membuat persediaan yang baik daripada segi fizikal dan mental sebelum itu untuk menghadapi Persib pada perlawanan ini,” jelas Aidil menerusi RepublikBobotoh.