Dalam bola sepak, bukanlah suatu perkara asing apabila melihat satu-satu pemain beraksi di negara yang bukan tempat asal mereka.
Hal ini kerana susur galur keluarga mereka yang kadang kala berasal dari negara lain menyebabkan mereka bermain negara berlainan.
Hasil perkongsian di Reddit, kami berjaya menemui beberapa kisah mengenai pemain yang boleh beraksi dengan negara lain tetapi memilih untuk beraksi dengan negara lain.
DR Congo sebenarnya kuasa dunia
Kenapa penulis berkata sedemikian? Hal ini kerana terdapat lambakan pemain bertaraf dunia yang sebenarnya berasal dari sana yang bermain untuk negara lain.
Hal ini terjadi sama ada pemain itu sendiri yang lahir di DR Congo ataupun ibu bapa mereka yang berasal dari sana.
Tetapi dimana lambakan pemain tersebut? Di Belgium.
Sebagai contoh Christian Benteke, beliau sebenarnya berasal dari DR Congo dan dilahirkan di bandar Kinshasa.
Beliau dan ibu bapanya kemudian berhijrah ke Belgium pada 1993 untuk lari dari pemerintahan diktator Mobuto Sese Seko.
Bukan Benteke sahaja, malah ramai pemain Belgium sebenarnya berasal dari DR Congo.
Antaranya adik beradik Romelu Lukaku dan Jordan Lukaku, Vincent Kompany dan Michy Batshuayi juga merupakan pemain yang sebenarnya boleh beraksi untuk DR Congo.
Walaupun mereka tidaklah dilahirkan di DR Congo seperti Benteke, namun ibu bapa mereka merupakan rakyat yang berasal dari DR Congo.
Untuk Eliaquim Mangala pula, beliau terdapat sedikit kerumitan dalam halnya. Beliau dilahirkan di Paris, Perancis oleh ibu bapa mereka yang berasal dari DR Congo.
Namun begitu, Mangala membesar di Belgium sebelum memilih untuk bermain untuk Perancis di peringkat senior.
Negara berbeza
Itu baru untuk DR Congo sahaja, namun sebenarnya kebanyakan pemain kebangsaan Belgium boleh bermain untuk pelbagai negara selain dari Belgium.
Hal ini sama ada mereka lahir di negara berkenaan ataupun ibu bapa serta keturunan mereka yang lahir dari negara tersebut.
Kami senaraikan pemain-pemain Belgium yang boleh bermain untuk negara lain:
- Marouane Fellaini (Maghribi – ibu bapa berasal dari Maghribi)
- Radja Nainggolan (Indonesia – bapa berketurunan etnik Batak dari Indonesia)
- Divock Origi (Kenya – keturunan keluarga berasal dari Kenya)
- Yannick Carrasco (Portugal & Sepanyol – bapa berasal dari Portugal, ibu pula dari Sepanyol)
- Moussa Dembele (Mali – bapa berasal dari Mali)
Thierry Henry boleh bermain lagi!
Lagenda Arsenal ini sudah menggantung but dan kini menjadi pembantu kepada Roberto Martinez di skuad Belgium.
Namun begitu bagi sebuah negara di benua Amerika Utara, mereka berpeluang untuk mendapatkan Henry untuk mewakili mereka dalam CONCACAF Gold Cup.
Negara yang dimaksudkan adalah Guadeloupe dan Martinique.
Hal ini kerana, Henry dilahirkan di Perancis tetapi ibunya berasal dari Martinique dan bapanya berasal dari Guadeloupe.
Menurut peraturan khas untuk kejohanan CONCACAF Gold Cup, mana-mana pemain Perancis yang sudah tidak mewakili negara tersebut lebih dari 5 tahun boleh memilih sama ada untuk mewakili 2 negara tersebut atau tidak.
Namun begitu, pemain tersebut perlulah mempunyai susur galur keluarga yang berkaitan dengan 2 negara tersebut.
Ross Barkley dan Nigeria
Percaya atau tidak, Ross Barkley yang merupakan pemain Everton dan England sebenarnya boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Nigeria.
Hal ini kerana, Barkley sebenarnya mempunyai susur galur keluarga yang berasal dari Nigeria menerusi datuknya.
Keturunan datuknya yang berasal dari Nigeria membolehkan Barkley untuk bermain sama ada England atau Nigeria.
Akan tetapi, Barkley merupakan pemain England yang lahir di Liverpool, England.
Namun, Barkley memilih untuk mewakili England sejak dari peringkat remaja hingga ke peringkat senior.
Kesimpulan
Kesimpulannya, ramai lagi pemain lain yang boleh bermain untuk banyak lagi negara lain seperti Leon Osman (Somalia), Yohan Cabaye (Vietnam) dan Shaun Maloney (Malaysia).
Siapa lagi pemain bola sepak yang anda tahu boleh bermain untuk negara lain? Jangan lupa komen di ruangan komen!
Baca juga: 7 Tugas Pengadil Keempat Yang Perlu Anda Tahu