Sejak datang ke Malaysia, penyerang kacukan Malaysia-England, Darren Lok jarang sekali dapat tampil lebih kerap dan ia diharapkan bakal berubah bersama PJ City FC.
Sebelum datang ke Malaysia menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), Darren Lok dilihat sebagai calon untuk menjadi penggempur skuad Harimau Malaya satu masa nanti. Bersama Eastbourne Borough FC di divisyen ke-6 England, beliau membuat lebih 100 penampilan dalam lima musim di sana dan berjaya meledak 25 gol.
Bersama JDT, beliau lebih kerap tampil bersama JDT II di Liga Premier dan hanya mampu meledak gol ketika bersama mereka iaitu 10 gol. Untuk skuad utama, beliau diturunkan sebanyak lima kali tanpa menghasilkan sebarang gol.
Darren Lok Pilih Terengganu Untuk Cabaran Baharu https://t.co/A18iMrxPVE pic.twitter.com/RPdeyh3fVq
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 30, 2020
Berhijrah ke Terengganu musim lalu diharapkan dapat mengubah landskap kariernya di Malaysia, namun segalanya tampak masih sama, beliau hanya tampil empat kali.
Kesukaran menempatkan diri bersaing bersama penyerang-penyerang import yang jauh lebih berkualiti di Liga Super menyaksikan beliau hanya setanding penyerang tempatan untuk menghiasi bangku simpanan sepanjang musim.
Dengan PJ City mahu menggunakan sepenuhnya tenaga tempatan, ia telah berjaya menarik perhatiannya yang sudah puas menanti peluang untuk tampil lebih kerap.
Menurutnya yang berkata kepada New Straits Times, “Saya dengar mereka [PJ City] bakal membariskan pemain tempatan dan ia menarik perhatian saya. Saya telah lihat keinginan dan kualiti pemain-pemain mereka. Adakalanya apabila penyerang import dibawa masuk, pemain tempatan akan tersisih terutamanya penyerang.”
Sebab PJ City FC Utamakan Khidmat P. Maniam Untuk Musim Hadapan https://t.co/1bV5scXF8E pic.twitter.com/oXejBIL4q1
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 28, 2020
Darren Lok telah tampil sembilan kali bersama skuad Harimau Malaya iaitu ketika dua tahun pertamanya di Malaysia ketika bersama JDT dan berjaya meledak satu gol. Pastinya beliau mahu kembali menyarung jersi skuad kebangsaan semula, terutamanya dalam baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Semua sudah maklum akan kemalangan yang menimpa penyerang JDT dan skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad pada awal Disember yang lalu yang menyaksikan anaknya yang masih bayi telah meninggal dunia bersama ibu mertuanya.
Sebagai penyerang, tempatnya bersama skuad negara memang sukar digugat. Kali terakhir Syafiq Ahmad menyumbang gol adalah ketika membenam cabaran Sri Lanka dengan melakar hatrik sebelum menjadi penyumbang kepada jaringan rakan lain seperti Mohamadou Sumareh ataupun rakan sepasukan di JDT, Safawi Rasid.
Dengan kejadian yang menimpanya, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah menyatakan yang beliau akan memberikan masa untuknya kembali pulih mental dan fizikal sebelum kembali bersama tugasan di kelab dan negara.
Oleh itu, dengan hanya akan dicabar pemain tempatan seperti Khyril Muhymeen dan R. Kogileswaran, peluang buat Darren Lok untuk meraih lebih aksi mungkin tertunai serta jika menampilkan prestasi baik, panggilan skuad negara juga akan dicapai.
“Jadi, ia nampak amat sesuai dengan saya [keadaan di PJ City]. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana kami perlu bekerja lebih keras namun, saya amat teruja dengan cabaran ini dan apa yang saya lihat, semuanya berjalan lancar,” tambahnya.
Darren Lok menyertai PJ City yang dirombak di bawah kendalian P. Maniam musim depan dengan hanya akan menampilkan pemain-pemain tempatan. Sebelum ini, calon kapten, K. Gurusamy ada menyatakan keghairahan mereka untuk membuka saingan Liga Super musim depan dan yakin dengan kemampuan mereka.
KREDIT FEATURED IMAGE: BERNAMA
Baca lagi artikel lain mengenai Darren Lok dan PJ City FC:
Darren Lok: JDT Tinggal Sejarah, Kini Saya Teruja Untuk Bermula Semula
Gurusamy Percaya ‘Skuad Tempatan’ PJ City Sedia Beri Cabaran
Sebab PJ City FC Utamakan Khidmat P. Maniam Untuk Musim Hadapan