Tan Cheng Hoe terus dihujani kritikan di atas pemilihan formasi dan taktikalnya ketika aksi ‘longlai’ yang dipamerkan skuad Harimau Malaya sehingga begitu mudah ‘diratah’ oleh Vietnam tempoh hari dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020.
Ini bukanlah kali pertama pendekatan jurulatih berusia 53 tahun itu dipersoalkan, malah dalam beberapa perlawanan lalu juga kita sudah pun menyaksikan Malaysia tewas dengan cara yang cukup mengaibkan
Zon Selesa?
Seperti yang kita tahu sejak beliau mengambil alih pasukan pada 2017, Cheng Hoe tidak pernah keluar daripada taktikal pertahanan berempat dan gemar menggunakan formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1.
Kesebelasan Utama & Pemain Simpanan Harimau Malaya
Piala Suzuki AFF 2020 | Ahad, 12 Disember 2021
⚽ VIETNAM 🇻🇳 🆚 🇲🇾 MALAYSIA
🕣 8.30 malam ini
🏟 Stadium Bishan, Singapura#FAM #HarimauMalaya #AFFSuzukiCup2020 #VIEvMAS #RivalriesNeverDie #EmergingStrongerTogether pic.twitter.com/ABluDqY9WS— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 12, 2021
Pada awal November lalu, bekas pengendali Kedah ini pernah ditanya mengenai perubahan taktikal pasukan bimbingannya selepas skuad Harimau Malaya hanya merekodkan satu kemenangan sahaja daripada tujuh perlawanan terakhir dalam kalendar antarabangsa.
Persoalan itu timbul apabila penyokong melihat kejayaan skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-23 selepas muncul juara kumpulan di peringkat kelayakan di Ulaanbatar, Mongolia tempoh hari.
Maka perbandingan dibuat di antara corak permainan skuad muda dan senior di atas padang dimana skuad kendalian Brad Maloney tersebut bermain dengan formasi 3-4-3 iaitu sistem pertahanan bertiga.
Namun dalam responnya, beliau menjelaskan pemain Malaysia masih ‘belum bersedia’ untuk beradaptasi dengan formasi dan posisi yang berbeza.
Cheng Hoe pertahan pendekatan taktikal Harimau Malaya https://t.co/CfACTnuY7B pic.twitter.com/3cyadoXjbL
— Media Batu (@MediaBatu) November 9, 2021
“Saya rasa cadangan itu bagus, tetapi kita perlu lihat sama ada kita ada pemain yang boleh bermain di posisi tersebut, selain kena lihat dan kaji semula adakah kita mempunyai kualiti pada permainan dengan posisi baharu itu,” ujar jurulatih kelahiran Kedah itu.
“Mungkin pandangan itu disebabkan dia (pengkritik) tengok EPL [Liga Perdana Inggeris], Liga Itali atau Liga Sepanyol, jadi dia membuat perbandingan tetapi pemain kita adakah sampai ke tahap itu?”
Kita bukanlah mahu Cheng Hoe ‘meniru bulat-bulat’ apa keadah yang digunakan oleh skuad B-22 itu, tetapi sebagai jurulatih berpengalaman bukankah beliau sepatutnya memilih pendekatan untuk memvariasikan atau bahasa mudahnya mempelbagaikan taktikal permainan mengikut situasi?
Sebagai contoh, ketika berhadapan pasukan yang lebih superior, sistem bek bertiga yang boleh membentuk rangkaian lima pemain ketika bertahan dan dua bek sayap juga dapat membantu ketika melancarkan serangan balas.
Atur permainan mengikut situasi
Pengajaran terbaik yang boleh kita ambil adalah pertemuan di antara Vietnam dan Indonesia yang menyaksikan keputusan perlawanan terikat tanpa jaringan di Stadium Bishan.
Kita boleh lihat bagaimana ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong bertindak mengubah formasi pasukannya untuk perlawanan penting ini dengan meletakkan lima pemain pertahanan kerana mengetahui kualiti yang dimiliki oleh barisan serangan Vietnam.
Piala AFF 2020: Tidak Seperti Malaysia, Perancangan ‘Genius’ Shin Tae-yong Buahkan Hasil
Barisan pertahanan yang diketuai oleh Rizki Ridho cekal bermain dengan garisan dan blok yang rendah dan tidak membenarkan pemain Vietnam terlalu mudah masuk ke dalam kotak penalti atau melakukan percubaan.
Hasilnya sepanjang 90 minit perlawanan, skuad Naga Merah itu hanya mampu membuat satu sahaja percubaan tepat ke arah gol.
Berbanding ketika aksi menentang Malaysia mereka seolah-olah begitu selesa sehingga mampu mendapatkan tiga gol. Apatah lagi Vietnam dikatakan membawa pakar analisisnya sendiri yang berhasil meneliti setiap titik kelemahan pemain Malaysia.
Logiknya, apabila berdepan pasukan yang diketahui kualitinya jauh lebih baik, meletakkan lebih ramai pemain pertahanan akan memberi peluang yang lebih baik untuk tidak dibelasah dan diaibkan dengan kekalahan besar atau sekurang-kurangnya dapat meraih keputusan seri tanpa jaringan.
Pelatih Tim Nasional Indonesia Shin Tae-yong mengaku memang sengaja menerapkan strategi bertahan lawan Vietnam https://t.co/DFsfnbrA7L
— Voidotid (@voidotid) December 16, 2021
Tidak dinafikan bahawa formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 itu merupakan sistem yang sudah begitu sinonim untuk pasukan negara. Malah ia memberikan hasil yang positif pada awal pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang lalu.
Tetapi jika pasukan negara tidak fleksibel atau terus kekal dengan sistem permainan dan taktikal yang sama diguna pakai, ia hanya akan memberikan keuntungan kepada pasukan lawan yang sudah mengkaji corak permainan dan pendekatan yang bakal kita tampilkan.
Dalam Peta Hala Tuju FAM yang diberi nama F:30 telah dinyatakan bahawa Malaysia perlu mempunyai DNA serta falsafah bola sepaknya yang tersendiri.
itu juga telah dijelaskan bahawa jurulatih di negara ini perlu menggunakan pendekatan holistik membabitkan teknikal, taktikal, mental dan kompenan fizikal dalam satu senarai.
Perkara lebih penting yang disebutkan adalah memperbaiki cara untuk mengubah permainan mengikut situasi dan pastilah individu yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya adalah ketua jurulatih skuad kebangsaan sendiri.
Penutup
Jika pasukan negara fleksibel di dalam sistem permainan dan taktikal yang diguna pakai, maka perkara ini hanya akan memberikan keuntungan kepada pasukan negara kerana lawan juga sukar untuk mengagak corak permainan yang bakal kita tampilkan.
Selepas perlawanan di antara Vietnam dan Indonesia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City, Stanley Bernard dalam rancangan Astro Arena turut mencadangkan agar mencuba formasi 3-4-3 disebabkan skuad negara ketika ini tiada pemain tengah bertahan tulen.
Dion Cools, Dominic Tan, Syahmi Safari dipilih sebagai tiga serangkai di bahagian pertahanan sementara Quentin Cheng dan Rizal Ghazali pula dipilih untuk mengisi posisi pertahanan sayap kiri dan kanan.
Bagaimanapun kesebelasan ini hanyalah cadangan dari ‘orang luar’, kata putusnya tetapi dipegang oleh Cheng Hoe. Pentas Piala AFF Suzuki 2020 ini sepatutnya menjadi medan terbaik untuk beliau membuktikan keupayaannya di pentas Asia Tenggara.