Kpah Sherman dan Kipre Tchetche berjaya membantu Kedah bangkit untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas PJ City di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kemenangan ketiga berturut-turut selepas Selangor dan PDRM, Kedah mengumpul 10 mata dan kini dalam rentak empat perlawanan tanpa kalah selepas dua aksi permulaan saingan CIMB Liga Super 2020 yang sedikit mengecewakan.
Kedah turun tanpa Renan Alves yang mengalami kecederaan minggu lalu, namun diganti dengan kemasukkan semula Shakir Hamzah yang melalui penggantungan minggu lalu, untuk bergandingan bersama Irfan Zakaria di posisi bek tengah.
Turun dengan formasi yang ofensif, PJ City berjaya membuka jaringan awal pada minit ke-16 apabila Washington Brandao berjaya memperdaya Amirul Hisyam, sebelum membuat larian deras seterusnya menewaskan Ifwat Akmal di gawang.
Buntu dalam tiga perlawanan berturut-turut, PJ City akhirnya berjaya menggegar jaring lawan terlebih dahulu, malah ia merupakan jaringan pertama buat penyerang asal Brazil tersebut pada saingan musim ini selepas lima perlawanan.
Tuan rumah tidak menanti lama, tujuh minit kemudian, hasil hantaran rendah Rizal Ghazali, Kpah Sherman berjaya menewaskan pertahanan lawan menerusi satu pusingan badan dan rembatan deras ke gawang PJ City untuk gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan menyerang yang menarik dengan saling berbalas asakan di babak pertama, namun kekebalan benteng terutamanya PJ City yang ketika bertahan meletakkan lima pemain, berjaya mengekang lawan.
Dua kali Kedah berpeluang mendahului aksi menerusi Faizat Ghazli dan Amin Nazari, namun kedua-duanya berjaya dipatahkan oleh penjaga gawang, Kalamullah Al-Hafiz dan benteng, Elizeu Batista yang mengeluarkan bola di atas garisan gol.
Hujan semakin lebat di permulaan babak kedua tidak merencatkan kerancakan perlawanan apabila kedua-dua pasukan masih meneruskan tempo babak pertama.
Kpah Sherman sekali lagi berpeluang meledak gol kedua Helang Merah di minit ke-50 namun, kelewatannya membuat keputusan untuk merembat selepas menewaskan dua pertahanan pelawat dan penjaga gawang, telah merugikannya.
Kebergantungan The Phoenix kepada Washington Brandao menyukarkan mereka untuk mengatur asakan berbahaya ke kubu tuan rumah. Mungkin atas faktor itu, pengendali, K. Devan telah memasukkan penyerang berpengalaman, Safee Sali.
Akhirnya di minit ke-68, Kipre Tchetche berjaya menghasilkan jaringan kedua buat tuan rumah menerusi rembatan deras kaki kirinya selepas menerima hantaran Kpah Sherman ke depan pintu gol PJ City – jaringan ke-4 peribadinya musim ini.
Aidil Sharin tampil memberikan nafas baharu untuk jentera sayap Kedah apabila memasukkan Azamuddin Akil dan Hadin Azman yang dilihat lebih berkesan dalam menekan PJ City. Kelicikan kedua-dua pemain ini membahayakan benteng lawan.
Perlawanan yang menarik, jaringan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche memberikan tiga mata berharga buat Kedah untuk melonjak ke posisi ketiga Liga Super, berkongsi 10 mata bersama Terengganu FC – dibezakan menerusi perbezaan jaringan.
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA