UNL: Gol Lewat Sterling Hadiahkan England Kemenangan Pertama Tahun 2020

England Sterling UNL

Gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penati Raheem Sterling pada lewat permainan sudah cukup untuk England mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Iceland 1-0 dalam perlawanan pertama kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL).

Seawal minit keenam, Harry Kane menyangka beliau telah menjaringkan gol pendahuluan buat pasukan pelawat selepas menyudahkan hantatan lintang Sterling, namun pengadil membatalkan gol tersebut kerana didapati berada pada kedudukan ofsaid.

Peluang pertama Iceland hanya hadir pada minit-34 apabila mendapat sepakan percuma, namun percubaan Arnor Ingvi Traustason tidak menepati sasaran.

England kemudian cemas apabila Kyle Walker diarahkan keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua kerana mengasari Traustrason ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Bagaimanapun skuad Three Lions yang ternyata lebih tenang berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-89 selepas percubaan Sterling hasil dari hantaran sepakan penjuru dihadang oleh Sverrir Ingi Ingason dan sekaligus diberi kad kuning kedua oleh pengadil.

Penyerang Manchester City itu tenang merembat ke tengah gawang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Hannes Thor Haldorsson yang melayangkan badannya ke sebelah kiri. Ianya merupakan gol ke-12 Sterling buat England dalam semua pertandingan.

Namun drama semakin rancak apabila Iceland dianugerahkan sepakan penalti pada masa kecederaan berpunca daripada kekasaran Joe Gomez yang menjatuhkan Holmbert Aron Fridjonsson dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Birkir Bjarnasson yang mengambil sepakan penalti tersebut melepaskan rembatan tinggi meliar dan pengadil meniupkan wisel tamat perlawanan, sekaligus menyelamatkan England.

Ianya merupakan kemenangan pertama buat skuad kendalian Gareth Southgate tersebut pada tahun 2020 di mana kalli terakhir mereka beraksi adalah ketika merakam kemenangan 4-0 ke atas Kosovo pada Novermber tahun lepas.

Southgate turut memberi peluang kepada Mason Greenwood dan Phil Foden untuk membuat penampilan pertama mereka buat skuad senior England di peringkat antarabangsa dalam perlawanan ini.

Kredit foto: England

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Leave a Reply