MFL Sahkan Hanya 10 Pasukan Sahaja Layak Bersaing Di Liga Premier 2021

Ab Ghani MFL Penyokong

Nampaknya Liga Premier 2021 akan menyaksikan hanya 10 pasukan bertanding selepas FELDA United dan UKM FC gagal dalam proses penswastaan pasukan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sah tidak akan memberikan slot tersebut kepada pasukan lain terutamanya pasukan daripada saingan Liga M3. Ini kerana, Liga M3 juga tidak dijalankan pada tahun ini disebabkan pandemik COVID-19.

Oleh itu, ini menjadikan 10 pasukan yang bakal bersaing di Liga Premier musim depan adalah empat pasukan simpanan skuad Liga Super iaitu, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor 2, Perak II dan Terengganu FC II termasuklah Kelantan FC, Kuching City FC, Negeri Sembilan, Kelantan United, Sarawak United dan PDRM FC.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dilaporkan berkata di Sinar Harian, “MFL hanya mengikut protokol dalam saingan liga. Disebabkan FELDA United dan UKM FC tidak melepasi syarat yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia [FAM], maka mereka tidak boleh bermain dalam Liga Premier musim depan.”

“Jadi, saingan Liga Premier musim depan hanya akan ada 10 pasukan dan di peringkat MFL selaku badan pengelola Liga Malaysia [Liga M], kami akur dengan apa yang telah ditetapkan FAM,” jelasnya sambil mengesahkan tiada slot tambahan diberikan.

FELDA United dan UKM FC gagal melengkapkan dokumentasi untuk proses penswastaan yang ditetapkan oleh FAM dan pada 30 Oktober lalu, FAM akhirnya mengumumkan yang kedua-dua pasukan tidak layak bertanding di kejohanan anjuran MFL dan telah disingkirkan ke Liga M3 untuk saingan musim 2021 nanti.

Mengenai pasukan-pasukan yang ‘mungkin’ boleh menggantikan kedua-dua pasukan itu, Ab Ghani berkata, “Disebabkan Liga M3 tiada tahun ini, maka tiada pasukan akan ‘naik’ dan Liga Premier musim depan hanya [akan menyaksikan] 10 pasukan.”

Untuk saingan musim ini, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menamatkan saingan di kedudukan dua teratas sekaligus melayakkan diri untuk bersaing di Liga Super 2021. Tempat mereka di Liga Premier hanya akan diisi oleh satu pasukan daripada Liga Super iaitu PDRM FC, selepas FELDA United gagal dalam proses penswastaan.

KREDIT FEATURED IMAGE: SUKAN KL

Baca lagi mengenai MFL dan Liga Premier:

TM Potong Tajaan, CIMB Tarik Diri, Adakah Liga Malaysia Akan ‘Bungkus’?

MFL Umum Kalendar Liga Malaysia 2021

Belum Tewas Sejak Mei 2019, Pulau Pinang Juara Liga Premier 2020

Leave a Reply