Belum Tewas Sejak Mei 2019, Pulau Pinang Juara Liga Premier 2020

Pulau Pinang Kelantan United Liga Premier 2020 Juara

Pulau Pinang telah dinobatkan selaku juara Liga Premier musim ini apabila pencabar terdekat, Kuala Lumpur hanya mencatatkan keputusan seri, malam tadi.

Pulau Pinang pula menang 4-0 ke atas Kelantan United dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya hasil jaringan pemain tengah, Lee Chang-hoon, Al-Hafiz Harun, Bobby Gonzales dan juga penyerang sensasi mereka, Casagrande.

Sebelum ini, berbaki tiga perlawanan, skuad Harimau Kumbang terlebih dahulu telah mengesahkan slot ke Liga Super musim 2021 dan masih bersaing bersama Kuala Lumpur untuk gelaran juara liga dengan kemenangan malam ini bakal jadi penentu.

Bermula sekali lagi tanpa penyerang sensasi, Casagrande, Manzoor Azwira menaruh kepercayaannya kepada penyerang tempatan, Bobby Gonzales untuk mengemudi jentera serangan dan pemain itu hampir membuka jaringan seawal minit pertama.

Bobby Gonzales Pulau Pinang Kelantan United Liga Premier 2020
Bobby Gonzales berjaya meledak jaringan ketiga Pulau Pinang di minit ke-53. FOTO: Kelantan United

Pemain tengah, Lee Chang-hoon kemudian membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-18 bermula dengan sepakan penjuru untuk menewaskan penjaga gawang, Shahrizan Ismail yang telah beberapa kali diuji sebelum itu oleh tuan rumah.

Sebelum itu, pelawat terlebih dahulu hampir mengejutkan Pulau Pinang menerusi penyerang, Gassama Alfusainey, namun disia-siakan dengan percubaan tersasar pada minit ke-11 walaupun hanya berdepan penjaga gol, Samuel Somerville.

Dua minit berselang, pemain sayap menyerang, Al-Hafiz Harun tidak mensia-siakan peluang yang didapatinya di depan gawang selepas Pulau Pinang menyusup masuk ke kawasan penalti lawan dengan hantaran-hantaran pendek menarik.

Harimau Kumbang tampak kian berselera, namun Shahrizan Ismail berjaya menepis beberapa percubaan boleh gol lawan selepas itu terutamanya menerusi percubaan Amer Azahar dan Lee Chang-hoon pada penghujung babak pertama.

Sekali lagi Endrick dos Santos berjaya membantu rakan di minit ke-53 apabila hantaran through pass jauhnya berjaya menemui Bobby Gonzales untuk pemain itu meledak gol ketiga buat tuan rumah – jaringan pertamanya untuk musim ini.

Malam indah Pulau Pinang diteruskan dengan jaringan ke-4 menerusi rembatan dari sudut sukar oleh Casagrande pada minit ke-73 selepas menerima hantaran Amer Azahar untuk gol ke-9 peribadinya – pendahulu carta penjaring terbanyak.

Kemenangan selesa itu membolehkan Pulau Pinang mengumpul 26 mata daripada lapan kemenangan dan dua keputusan seri – lima mata di depan Kuala Lumpur di kedudukan kedua dengan berbaki hanya satu lagi perlawanan minggu depan.

Ia juga merupakan trofi pertama mereka selepas kali terakhir menjulang trofi pada musim 2013, menjuarai saingan Piala FAM. Kali terakhir Pulau Pinang bergelar juara liga pula adalah pada musim 2001 dalam Liga Premier I (kini Liga Super).

KREDIT FEATURED IMAGE: KELANTAN UNITED FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN