Bagi sebahagian atlet kategori elit, persaraan adalah satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat. Mungkin ia juga perkara yang membelenggu Mesut Ozil selepas menamatkan kariernya selaku pemain bola sepak profesional.
Bekas pemenang Piala Dunia 2014 bersama Jerman itu dalam kenyataannya menjelaskan masalah kecederaan adalah antara faktor yang memaksa beliau meninggalkan pentas bola sepak.
“Ia merupakan perjalanan yang sungguh luar biasa menakjubkan dan diisi dengan kenangan penuh emosi yang sukar untuk dilupakan,” ujar Ozil.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada kelab saya, Schalke 04, Werder Bremen, Real Madrid, Arsenal FC, Fenerbahce, Basaksehir dan kepada jurulatih yang menyokong saya, juga kepada rakan sepasukan yang kemudiannya menjadi sahabat saya.”
“Ucapan terima kasih yang istimewa kepada ahli keluarga saya dan sahabat-sahabat saya. Mereka sebahagian dari perjalanan karier saya sejak hari pertama dan mereka turut menyokong serta sangat menyayangi saya tidak kira ketika waktu yang baik mahupun yang buruk.”
Ozil dan kemanusiaan
Sumbangan Ozil dalam dunia bola sepak tidak perlu dijelaskan secara panjang lebar. Bagi generasi bola sepak era milennium, beliau merupakan ‘ahli silap’ mata yang cukup menghiburkan dengan aksi luar biasanya di atas padang.
Namun di sebalik itu, mungkin rata-rata pemerhati bola sepak agak kecewa melihat bagaimana bakatnya telah disia-siakan hanya disebabkan kelantangannya terhadap isu kemanusiaan.
Mungkin tidak adil untuk menyalahkan Mikel Arteta yang bertindak menggugurkan pemain ini ketika masih memegang status selaku pemain dengan gaji termahal kelab kerana setiap jurulatih tentunya mempunyai sebab dan percaturannya yang tersendiri.
Namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah bagaimana Ozil mula disisihkan sejak beliau bersuara mengenai nasib umat Islam etnik Uighur yang dilaporkan ditindas oleh kerajaan China.
Beliau turut mengkritik negara-negara Islam yang berdiam diri berkenaan isu tersebut.
“Al Quran telah dibakar…masjid diarah untuk tutup…sekolah Muslim tidak dibenarkan beroperasi…guru agama telah dibunuh seorang demi seorang…dan ramai muslimin telah dihantar ke ke,” tulis Ozil di dalam Bahasa Turki di akaun Twitter peribadinya.
“Dunia Islam sekadar menyepi. Tiada kedengaran suara mereka,”
Mesut Ozil Kritik Negara Islam Diamkan Diri Isu Etnik Uighur
China sebelum ini dikritik masyarakat antarabangsa selepas membina sebuah kem penempatan untuk etnik Ughur di Xinjiang.
Pakar dan aktivis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, kem itu menahan kira-kira sejuta Uighur yang bercakap bahasa Turki dan penduduk Islam lain. China menafikan tuduhan layanan buruk dan menganggap kritikan dalam majlis PBB itu adalah campur tangan terhadap kedaulatannya.
Britain adalah satu-satunya negara menyertai Turki dalam membangkitkan isu itu di Majlis Hak Asasi PBB pada Februari tahun ini.
China pula menafikan salah laku mereka di dalam isu ini sambil menegaskan kem itu adalah kemudahan pendidikan semula dan latihan yang berjaya menghentikan serangan pengganas yang sebelum ini dipersalahkan ke atas militan dan pemisah Islam.
Kesan daripada isu tersebut syarikat pengeluar pakaian sukan terkemuka dunia, Adidas turut mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Ozil sebagai duta produk mereka yang dianggarkan bernilai £22 juta (RM118 juta) selepas tujuh tahun bekerjasama.
Ditamatkan Penajaan Bersama Adidas, Ozil Fokus Jenama Sendiri https://t.co/nCXQM7joTl pic.twitter.com/MEBlxPe1av
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) June 4, 2020
Penyokong bola sepak di China pula dilaporkan membakar jersi Arsenal dan menuntut agar kelab tersebut memecat Mesut Ozil, selepas pemain itu mengkritik secara terbuka bagaimana Kerajaan China melayan etnik Uighur di Xinjiang.
Stesen televisyen di negara tersebut bertindak membatalkan siaran langsung perlawanan di antara Arsenal dan Manchester City sebagai protes kepada kenyataan pemain Jerman itu.
Namun Ozil tidak berseorangan dalam memperjuangkan isu tersebut. Bekas penyerang Chelsea, Demba Ba yang pernah beraksi sendiri di China selama tiga tahun menyeru komuniti bola sepak di seluruh dunia untuk bersuara dan menentang penindasan terhadap etnik Uighur dengan apa cara sekalipun.
Beliau membandingkan dengan kempen ‘Black Lives Matter’ yan menjadi semakin kuat apabila mereka yang tidak berkulit hitam juga menyokong usaha tersebut.
“Saya perlu cuba untuk menganjurkan sesuatu supaya pemain bola sepak dapat bersama-sama menyokong usaha ini. Apa yang penting perkara ini perlu diperjuangkan kerana bukan semua orang berani menyuarakannya,” kata Ba yang pernah beraksi bersama tiga kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya yakin, pemain bola sepak di luar sana akan berjuang untuk menegakkan keadilan tidak kira sama ada mereka Muslim, Buddha, Kristian atau apa sahaja kepercayaan.
“Sebagai ahli sukan, kita mempunyai kuasa dan pengaruh yang mungkin kita tidak sedar. Jika kita bersama-sama bersatu dan bersuara, keadaan akan berubah. Jika kita bangkit, orang ramai akan bersama menyokong kita.”
Demba Ba: Kenapa Sokong ‘Black Lives Matter’ Tapi Diamkan Tindakan China Menindas Uighur?
Pertubuhan Muslim Britain dalam kenyataannya berharap pihak EPL tidak bersikap selektif dalam menyokong kempen anti-diskriminasi.
“Tiada keraguan tentang nasib masyarakat muslim Uighur yang berdepan dengan pembersihan etnik oleh kerajaan China disebabkan pegangan agama mereka,” kata jurucakap badan tersebut.
“EPL membenarkan perkataan Black Lives Matter tertera di belakang jersi pemain. Liga Jerman pula membenarkan pemain memakai lilitan lengan Black Lives Matter ketika perlawanan sebagai solidarity kepada kempen tersebut. Ianya benda yang betul.
“Tetapi kenapa mereka tidak mempertimbangkan untuk turut sama menunjukkan penentangan terhadap penindasan etnik di China? Malah terus berpura-pura dan berdiam diri kononnya mengambil pendirian bersifat neutral sedangkan kezaliman jelas berlaku.”
Penutup
Bukan hanya isu kemanusian, Ozil sebelum ini pernah menimbulkan kemarahan warga Jerman yang tidak berpuas hati dengan hubungan baiknya bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogen.
Selepas ‘digam’ dan tidak beraksi sekian lama di Arsenal, Ozil tampil meluahkan kekecewaannya di media sosial yang menunjukkan beliau sudah putus harapan dan hanya berserah kepada nasib apabila terus disisih daripada pasukan.
Namun beliau bertegas apa pun keputusan yang dibuat ke atasnya, ia tidak mengubah apa-apa dalam pemikirannya dan akan terus bersuara untuk menentang sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan demi keadilan.