Mengapa Menyalahkan Kegagalan Penyerang Tempatan Atas Polisi Pemain Import Adalah Idea Bodoh

Pada tahun 1994, hidup Diane Duyser dari Florida berubah hanya kerana sekeping roti bakar.

 
Selepas menggigit dan meletakkan roti bakarnya di atas pinggan, beliau terperasan ada wajah Virgin Mary (Maryam ibu Nabi Isa) di roti bakarnya. Serta-merta, Diane berhenti menjamah roti bakar tersebut dan memnyimpannya di bekas plastik. Pada November 2004, beliau melelong roti bakarnya yang masih terpelihara dengan baik di eBay. Beliau memperoleh USD $28,000 daripada roti bakar tersebut.

ap041117010102

Dalam konteks tempatan, page FB Biro Agama Pemuda UMNO Malaysia menjadi bahan jenaka netizens tempatan apabila memuat naik status tentang awan yang berbentuk keris di Kelantan. Status tersebut menjadi viral dan mengundang reaksi luar biasa, kebanyakkannya membuat lawak terhadap status tersebut.

damnyoiulol_02

Dalam bidang psikologi, fenomena ini dipanggil ‘clustering illusion‘. Clustering illusion menyatakan otak manusia sentiasa mencari hubung kait untuk memahami sesuatu kejadian yang rawak. Paling menakjubkan, jika otak kita tidak dapat menemui sebarang hubung kait terhadap sesuatu kejadian yang rawak, otak kita akan mencipta sendiri hubung kait tersebut.

Inilah yang berlaku setiap kali pasukan bola sepak kebangsaan negara ketandusan penyerang berbakat, setiap kali mereka tewas dalam perlawanan antarabangsa dan paling celaka sekali, setiap kali penyerang tempatan gagal menjaringkan gol di liga tempatan. Kita akan mengaitkan kegagalan kita kepada benda pertama yang terpacul dalam cranium sempit kita.

Mengapa tak salahkan kecenderungan jurulatih yang dilatih FAM bermain route one football?

Mengapa tak salahkan pembangunan akar umbi yang tidak sistematik dan tidak terurus?

Mengapa tak salahkan talent pool penyerang tempatan yang terlalu kecil?

Mengapa tak salahkan ibu yang mengandung?

why-gif
 

Bukan isu baru

 
jkimg_0153b

Isu penyerang import yang mendominasi senarai jaringan liga dan kegagalan penyerang tempatan menjaringkan gol secara konsisten bukanlah isu baru. Kali pertama FAM memperkenalkan sekatan terhadap pemain import di liga tempatan adalah pada 1999 selepas krisis kewangan Asia. 3 tahun kemudian, sekatan ini ditarik semula. Apabila pemain-pemain import seperti Keita Mandjou dan Marlon Alex James menguasai carta penjaring terbanyak liga sekali lagi, FAM mengenakan sekatan sekali lagi pada awal 2009.

Sekatan pada 2009 ini menaikkan profil penyerang tempatan seperti Nizaruddin Yusof (penjaring terbanyak liga pada 2009), Ashaari Samsudin (penjaring terbanyak liga pada 2010), Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Hadi Yahya (penjaring terbanyak liga pada 2011) dan pasangan penyerangnya di Terengganu, Abdul Manaf Mamat.

Kebetulan pula, kejayaan skuad kebangsaan dalam Piala AFF Suzuki 2010 dan dua pingat emas dalam sukan SEA pada 2009 dan 2011 berlaku pada era sekatan pemain import dikenakan. Maka kedengaranlah paluan gendang-gendang bandwagon fans yang tak tahu hujung pangkal bola sepak tempatan; mengatakan sekatan pemain import ini menyumbang peningkatan prestasi penyerang tempatan.

Atas desakan pasukan-pasukan tempatan yang bersaing dalam AFC Cup, pada tahun 2012 FAM sekali lagi mengubah pendirian mereka apabila membenarkan dua pemain import beraksi. Dua tahu kemudian (sekarang), jumlah itu sudah berganda kepada 4 orang. Memang senang kerja di FAM. Dasar dan polisi bola sepak boleh diubah-ubah mengikut budi bicara mereka seperti yoyo tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada bola sepak negara.

Pada minggu pertama musim liga Super 2015, sebanyak 22 gol dijaringkan dalam semua perlawanan tetapi hanya 5 gol dijaringkan oleh pemain tempatan dan kelima-lima mereka bukan penyerang pun. Di liga Perdana, minggu pertama menyaksikan sebanyak 18 gol dijaring tetapi hanya 6 gol dijaringkan oleh pemain tempatan.

Statistik ini nampak merisaukan terutamanya kepada Dollah Salleh dan sudah ada cakap-cakap untuk mendesak FAM untuk mengenakan sekatan terhadap pemain import sekali lagi. Tetapi pernahkah anda terfikir sebab musabab mengapa pasukan-pasukan tempatan gemar mengambil pemain import di posisi penyerang?
 

Mengapa ketua jurulatih pasukan-pasukan tempatan gemarkan penyerang import?

 
1. Program pembangunan akar umbi yang tidak menyediakan talent pool yang besar

Sebelum penubuhan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), pembangunan akar umbi bola sepak di negara kita sangatlah tidak teratur. Jika anda menemui seorang penyerang berbakat di sebuah sekolah di daerah terpencil, beliau perlu melalui kejohanan MSSD, MSSN dan kemudiannya MSSM sebelum bakatnya dikesan oleh jurulatih-jurulatih skuad muda negara. Itupun jika sekolah yang diwakili penyerang tersebut dapat memenangi satu demi satu perlawanan di MSSD dan MSSN. Bagaimana jika penyerang berbakat tersebut mewakili sekolah yang kalah di peringkat kumpulan MSSD?

IMG_0039

Di sinilah kita dapat melihat betapa fucked up nya sistem pembangunan akar umbi bola sepak negara kita. Kita hanya melihat pemenang sebagai pemain yang berbakat. Mereka yang terkandas di peringkat MSSD dan MSSN langsung diabaikan.

Jika mereka bersekolah di daerah yang maju, mereka masih mempunyai akademi-akademi bolasepak swasta untuk mengembangkan bakat mereka. Tetapi bagaimana dengan nasib kanak-kanak yang bermain bola sepak di Limbang, Sarawak? Bayangkan jika 145 daerah di Malaysia menyumbang 2 penyerang terbaik di daerah mereka sahaja, kita sudah mempunyai 290 penyerang muda untuk dipilih.

2. Kecenderungan jurulatih Malaysia yang gemar bermain bola sepak route one football

Sesetengah orang memanggilnya direct football, rugby football, long ball tactic atau hantaran jauh, kami memanggilnya route one football. Falsafah bola sepak ini memang cepat menghasilkan gol, laju (transisi dari pertahanan ke penyerang yang laju) dan sesuai dengan keadaan padang bola sepak Malaysia yang buruk, tetapi bola sepak ini hanya menguntungkan pemain yang laju, tegap, besar dan tinggi. Sebab itulah penyerang import dipilih sedangkan penyerang tempatan diketepikan atau dijadikan pemain sayap (contohnya Zaquan Adha, Haris Safwan Kamal, Bobby Gonzales, Fauzi Roslan).

route-one-football-2

Jika Sergio Aguero lahir di Malaysia sekali pun, beliau juga akan diketepikan untuk memberi laluan kepada penyerang yang berbadan lebih besar.

Baca juga: Bolehkah Malaysia bermain possession, short-passing football?

3. Kecenderungan pemimpin bola sepak di Malaysia yang terlalu mengejar matlamat jangka pendek.

Liga bola sepak di Malaysia bukanlah persekitaran yang sesuai bagi penyerang muda tempatan untuk mengembangkan bakat mereka. Dengan pengurusan pasukan menuntut piala sebagai ukuran kejayaan semata-mata, jurulatih pasukan menerima tekanan tambahan untuk menang, menang dan menang. Dalam mentaliti bola sepak Malaysia, kalah itu bangang, bangang dan bangang semata-mata, di sebalik kemajuan yang anda tunjukkan dari segi falsafah bola sepak yang baru diterapkan kepada pemain; seperti yang dialami oleh bekas jurulatih Pahang, Ron Smith.

ron

Sebab itulah mana-mana jurulatih asing yang cuba menerapkan corak permainan hantaran pendek tidak akan bertahan lama di Malaysia, walaupun bola sepak sebegitu memberi penekanan lebih kepada kualiti teknikal pemain tempatan bukannya fizikalnya yang kecil. Cesar Jimenez dan Ron Smith akan bersetuju dengan kenyataan ini.

Dan sebab itulah, kontrak pemain di liga Malaysia selalunya berjangka pendek (dari 6 bulan – 3 tahun). Dengan kontrak berjangka pendek, pemain boleh ditukar-tukar seperti baju Melayu ketika promosi Hari Raya di pasaraya berhawa dingin. Pengurusan pasukan tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membuat kajian data permainan dari ProZone dan pemeriksaan fisioterapi yang intensif sebelum membeli pemain dan membeli pemain import menjadi semakin mudah. Apabila proses membeli pemain import menjadi semakin mudah, pemain tempatan juga yang menjadi mangsa.
 

Apakah penyelesaian jangka pendek yang boleh dilakukan untuk membantu penyerang tempatan?

 
Satu kaedah yang boleh digunakan oleh FAM untuk menggalakkan jurulatih tempatan menggunakan penyerang tempatan adalah mengetatkan syarat pendaftaran pemain import. Caranya:

1. Setiap keputusan membeli pemain import wajib menggunakan data statistik dari ProZone dan
2. Pemain tersebut wajib menjalani pemeriksaan perubatan GSSI.

Dengan dua syarat ini, hanya pemain import yang benar-benar berkualiti akan bermain, bukannya pemain import yang setaraf dengan pemain tempatan tetapi dapat bermain kerana pasukannya sudah melabur dana yang besar untuk mendapatkan khidmatnya.

Jika kelab lain merasakan dua prosedur baru ini terlalu mahal untuk mereka, mereka akan tiada pilihan lain selain menggunakan pemain muda tempatan. Hal ini mungkin akan menyebabkan polarisasi di antara pasukan bola sepak yang berdana besar dan yang berdana kecil tetapi ia akan menggalakkan kelab berdana kecil untuk mengadaptasi falsafah bola sepak mereka supaya sesuai dengan fizikal penyerang tempatan.

Jika anda rasa polarisasi antara pasukan bola sepak ini sesuatu yang buruk, anda boleh melihat bagaimana kelab-kelab berdana kecil di Sepanyol mengasah bakat David Villa (Real Zaragoza), Juanfran (Osasuna), Xabi Alonso (Real Sociedad), atau Joaquin (Real Betis) sebelum dibeli kelab-kelab besar. Ya, isu ini membuatkan kelab kaya semakin kuat dan kelab berdana kecil semakin lemah tetapi ia memberi sumbangan yang besar kepada bola sepak Sepanyol.

Ketika ini, pasukan-pasukan seperti Perak dan Sime Darby melakukan apa yang Real Sociedad, Real Betis, Real Zaragoza dan Osasuna lakukan kepada bola sepak Sepanyol.

1495395_321704378028903_5290972617047789198_o
 

Apakah penyelesaian jangka masa panjang untuk meramaikan penyerang tempatan yang berbakat?

 
Satu-satunya penyelamat masa depan bola sepak negara adalah program pembangunan akar umbi yang teratur, sistematik dan komited di setiap 145 daerah di Malaysia, bukannya di Kuala Lumpur sahaja. Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) beraspirasi ke arah cita-cita ini meskipun mengalami kekurangan staf jurulatih sambilan dan masih belum menubuhkan pusat latihan di setiap daerah.

Selain itu, NFDP juga menerapkan falsafah bola sepak hantaran pendek yang menekankan kualiti teknikal pemain, bukannya fizikal pemain kepada kanak-kanak bawah 12 tahun. Jika projek ini berjaya, kita akan mempunyai kumpulan bakat baru yang mampu menambah talent pool sedia ada di sekolah-sekolah sukan.

Baca juga: NFDP menerapkan DNA bolasepak berdasarkan formasi 4-4-2 diamond

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN