Louis van Gaal, Apakah Sebenarnya Falsafah Bola Sepak Anda Di Manchester United?

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Jonathan Wilson, pakar taktik bola sepak, wartawan sukan dan penulis buku The Inverted Pyramid. Artikel asal beliau boleh dibaca di sini. Kami hanya menterjemah artikel ini untuk memenuhi hasrat asal Semuanya BOLA ditubuhkan: memperbanyakkan bahan bacaan bola sepak berbahasa Malaysia. Selamat membaca.

 

Ada sesuatu yang pelik sedang berlaku di Old Trafford. Ianya bukanlah mengenai rungutan peminat yang semakin kuat – walaupun Manchester United sedang berada di tangga ke-4 liga, dan baru kalah 2 kali sejak kalender 2015 membuka tirai – tetapi ianya mengenai konflik antara persembahan Louis van Gaal sebagai pengurus Manchester United dan falsafah bola sepak beliau sendiri.

Ketika ini, media dan peminat United sendiri mengaku taktikal Louis van Gaal tidak menarik dan perlu diubah. Sedangkan sepanjang 25 tahun kariernya sebagai jurulatih sebelum Manchester United, van Gaal menegaskan aspek seni dan kecantikan sangat penting dalam bola sepak. Beliau juga pernah berkata, wartawan dan peminat bola sepak perlu mementingkan aspek kecantikan permainan ketika menonton perlawanan bola sepak.

Kita seringkali bersikap terburu-buru mengejar kejayaan pasukan dan dunia bola sepak sendiri terbukti merupakan dunia yang tiada kesabaran. Dalam dunia bola sepak moden, Herbert Chapman, Don Revie, Bill Shankly dan Brian Clough (dua kali) mungkin tidak akan bertahan cukup lama untuk membina pasukan hebar mereka. Malah Sir Alex Ferguson sendiri memerlukan 4 musim untuk memenangi sebuah trofi. Ya pada umur 63 tahun, van Gaal mungkin lebih tua daripada contoh-contoh pengurus di atas, tetapi beliau wajar diberikan satu lagi musim untuk membuktikan kemampuannya kerana reputasinya. Tetapi van Gaal mempunyai diri sendiri untuk dipersalahkan kerana beliau mula-mula menegaskan kepada media beliau memerlukan 3 minggu untuk pasukannya belajar falsafah bola sepak beliau, kemudian 3 bulan dan sekarang beliau mahu dinilai pada musim depan pula.

Baca: Arrigo Sacchi: Dari Jurujual Kasut Kepada Pengurus Pasukan Lagenda

Malah falsafah bola sepak beliau sendiri mula dipersoalkan. Bukanlah isu beliau yang suka menukar formasi yang perlu dipersoalkan, sebaliknya isu yang perlu dibincangkan adalah: van Gaal sendiri sudah berubah. Beliau seolah-olah mula mempersoalkan falsafah beliau sendiri dan pencapaiannya bersama Manchester United ketika ini tidak layak dianggap kejayaan.

Di awal kariernya, Louis van Gaal merupakan seorang jurulatih yang mengagungkan tradisi total football. Di Ajax Amsterdam, sistemnya dikenalpasti berasal dari sistem permainan yang telah diamalkan di kelab tersebut sejak pertengahan 60-an. Fokus utama sistem ini adalah penguasaan bola dan formasi 4-3-3 asas, dengan salah satu pertahanan tengah akan naik ke kawasan midfield untuk membentuk 3-4-3. Sementara itu, dua pemain tengah – Edgar Davids dan Clarence Seedorf – bermain agak bawah sedikit berbanding Jari Litmanen.

Ajax 90 - Football tactics and formations

Apa yang membuatkan van Gaal kelihatan radikal adalah perubahan kecil yang beliau lakukan dalam pasukannya:

1. Beliau memastikan perancang tengah (pemain no. 10) perlu turut serta dalam kerja bertahan.
2. Beliau mengenalpasti dalam bola sepak moden, pertahanan tengah juga berpotensi menjadi perancang sebagaimana pemain no. 10.
3. Beliau lebih mahukan penyerangnya hebat menghubungkan pertahanan dengan serangan daripada menjaringkan gol.
4. Dan yang paling mencetuskan kontroversi, beliau mahu Clarence Seedorf dan Edgar Davids tidak naik melebihi pemain sayap mereka supaya pasukan tidak mudah diserang balas.

Pasukannya rajin mengenakan tekanan untuk memenangi bola. Jika pasukannya berjaya memenangi bola, beliau mengarahkan pemainnya segera menghantar bola pemain di belakang sebelum hantaran jauh dilakukan.

Di Barcelona, falsafahnya tidak berubah. Malah, van Gaal semakin yakin dengan falsafah bola sepaknya. Beliau memastikan penjaga golnya selesa memegang bola di kaki dan boleh melakukan hantaran dari belakang. Beliau tidak suka penjaga gol yang tidak dapat bermain sebegitu, seperti yang beliau buktikan kepada Robert Enke. Setiap pemain yang malas melakukan kerja defensif mempunyai hubungan yang buruk dengan beliau, seperti yang dialami sendiri oleh Rivaldo, Giovanni, Sonny Anderson dan Juan Roman Riquelme.

Bagaimanapun, kegagalan beliau melayakkan Belanda ke Piala Dunia 2002 (di mana beliau menggunakan formasi 4-2-3-1), musim kedua yang gagal di Barcelona dan pergaduhannya dengan Ronald Koeman semasa memegang jawatan Pengarah Teknikal di Ajax Amsterdam, kesemuanya meninggalkan kesan buruk kepada karier van Gaal. 10 tahun lepas, tiada sesiapa yang mahukan van Gaal. Ramai yang menganggap masanya bersama kelab gergasi sudah berakhir apabila beliau mengambil tawaran mengurus pasukan AZ Alkmaar. Setibanya di sana, beliau sedar beliau tiada pemain untuk merealisasikan taktik 4-2-3-1 yang boleh menguasai bola, apatah lagi taktik 4-3-3.

Van Gaal mengambil masa 4 musim untuk membentuk skuad AZ Alkmaar yang kuat. Akhirnya pada musim 2008/09, beliau berjaya membentuk pasukan juara. AZ bermain 4-4-2, lebih gemar bertahan menyerap tekanan serangan pihak lawan sebelum menggunakan hantaran jauh Stijn Schaars, yang beroperasi di hadapan 4 pemain pertahanan. Hantaran jauh tersebut akan melancarkan larian laju dari dua penyerang, Mousa Dembélé dan Mounir El Hamdaoui.

Baca: Bagaimana Formasi 4-4-2 Diamond Berfungsi

Van Gaal memanggil kejuaraan liga ketika itu sebagai ‘hasil seni kesayangannya’. Beliau telah menikmati kejayaan dan kebangkitan karier berdasarkan falsafah serangan balas. Tanpa beliau sedar, kejayaan ini mempunyai kesan kepada falsafah bola sepaknya.

AZ Alkmaar 2005 - Football tactics and formations

Tidak dapat dinafikan, jika beliau tidak kehilangan duit simpanannya dalam skandal skim-Ponzi Bernie Madoff beliau mungkin akan kekal di AZ. Jadi apabila Bayern menawarkan kontrak, situasi kewangan van Gaal yang teruk memaksanya untuk berpindah ke Munich. Di sana, beliau terus melupakan sistem 4-3-3/3-4-3 dan terus menggunakan 4-2-3-1. Dalam formasi tersebut, van Gaal menggunakan seorang holding midfielder (Mark van Bommel) untuk memberikan sekuriti kepada Bayern Munchen. Penggunaan holding midfielder ini sendiri sudah bercanggah dari falsafah beliau semasa 90-an. Beliau sipecat selepas 21 bulan, bukan kerana keputusan di atas padang yang teruk, sebaliknya kerana beliau banyak bertikam lidah di luar padang.

Van Gaal yang mengambil alih Holland pada 2012 bukanlah van Gaal sama yang meletak jawatan sedekad sebelumnya. Ada elemen pragmatik (sanggup mengubah falsafah demi mencapai keputusan di padang) dalam dirinya. Beliau bukan lagi idealis sama seperti zaman 90-an dahulu. Beliau pernah menulis dalam bukunya Vision pada 2009:

“Kadang kala saya terlalu mahukan pasukan saya bermain cantik, daripada menang”

Tidak lagi. Van Gaal sudah berubah.

Ketika Belanda tewas 0-2 kepada Perancis pada Mac tahun lepas, Kevin Strootman – watak penting dalam midfield nya – mengalami kecederaan ligamen kaki. Dalam perlawanan itu juga, van Gaal mendapati pemain pertahanannya tidak dapat bertahan dalam situasi 1v1. Ini membuat beliau perlu memastikan pertahanan beliau sentiasa mempunyai lebihan satu pemain untuk mengukuhkan pertahanan. Beliau mendapat idea selepas menyaksikan musuhnya, Ronald Koeman – yang mengurus Feyenoord ketika itu – menggunakan 3 pertahanan tengah untuk mengalahkan PSV Eindhoven. Ini sesuatu yang mengejutkan. Van Gaal, pada usia 62, menggunakan formasi yang tidak pernah beliau gunakan sebelum ini.

Adakah sistem itu berjaya? Kemenangan 5-1 ke atas Sepanyol sememangnya mengagumkan, walaupun Sepanyol sedikit sebanyak menyumbang kepada kejatuhan mereka sendiri apabila David Silva gagal menyempurnakan peluang sebelum gol tandukan Robin van Persie. Kemudian, skuad van Gaal meraih kemenangan tipis menentang Australia, kemenangan tidak meyakinkan menentang Chile dan Mexico dan kemenangan penentuan penalti menentang Costa Rica sebelum tewas kepada Argentina.

Holland 2014 - Football tactics and formations

Dari satu sudut, van Gaal melangkaui jangkaan semua orang dengan membawa Belanda ke separuh akhir, mengubah nasib perlawanan ketika rehat cuaca panas menentang Mexico dan mempunyai keberanian untuk menukar penjaga gol sebelum penentuan penalti pada suku akhir. Dari satu sudut yang lain, selain dari satu kemenangan menakjubkan, persembahan Belanda pada perlawanan lain tidaklah begitu membanggakan. Ketika menentang Costa Rica, Belanda langsung tidak mendatangkan bahaya kepada pemain pertahanan Costa Rica.

Baca: Penalti: Perjudi Nasib Atau Hasil Kajian Yang Teliti

Satu kejayaan taktik yang tak dapat dinafikan dalam kempen Piala Dunia 2014 adalah penggunaan Arjen Robben sebagai penyerang kedua di belakang Robin van Persie untuk memanfaatkan kelajuannya ketika Belanda membuat serangan balas. Di Manchester United, van Gaal pada mulanya mahukan Angel di Maria bermain di posisi sama yang Robben main ketika Piala Dunia 2014. Bagaimanapun taktik itu gagal kerana untuk memastikan kesan bahaya di Maria, pasukan lawan perlu menyerang mereka dahulu sedangkan ketika menentang United, semua pasukan lebih gemar bermain lebih defensif.

Ini bermakna kegagalan van Gaal sudah dapat dijangka: menentang pasukan kuat, pelan serangan balas mereka berjalan lancar; tetapi jika mereka menentang pasukan yang defensif, United hanya mampu membuat hantaran-hantaran jauh kepada Marouane Fellaini.

Isu hantaran jauh United ini bukannya isu ringkas. Ya, apabila peminat bola sepak mengenang Wimbledon, Watford dan Cambridge yang gemar bermain dengan hantaran jauh, semua bersetuju hantaran jauh adalah toksik kepada bola sepak. Tetapi hantaran jauh membolehkan transisi laju antara bertahan kepada menyerang. Daripada 5 liga utama Eropah pada musim ini, hanya Wolfsburg yang membuat lebih banyak hantaran jauh daripada United dan di bawah United, adalah Bayern. 25 minit terakhir perlawanan menentang Arsenal pada Isnin lepas, United mungkin bersalah kerana terlalu mengharapkan hantaran jauh ke Fellaini, tetapi taktik sebegitu merupakan komponen utama falsafah bola sepak van Gaal yang mementingkan transisi laju dari bertahan kepada menyerang.

adadasd

Statistik menunjukkan United paling banyak melakukan hantaran belakang kepada penjaga gol di liga pada musim ini, dan kerap kali disalah tafsir sebagai terlalu defensif. tetapi van Gaal selalu menganggap penjaga golnya sebagai pemain pertahanan. Edwin van der Sar, yang bermain di bawah arahan van Gaal di Ajax, sangat yakin menggunakan kaki ketika bermain, manakala salah satu legasi van Gaal di Bayern adalah kebebasan yang diperolehi Manuel Neuer ketika bermain.

Apabila van Gaal bercakap mengenai falsafahnya, adakah beliau bercakap mengenai ideanya ketika 90-an atau pendekatan pragmatik beliau baru-baru ini? Seringkali United nampak terlalu berhati-hati ketika bermain, menunggu untuk menyerang balas pasukan yang tiada niat langsung untuk menyerang mereka. Van Gaal juga kelihatan sudah tidak panas baran seperti dulu. Beliau masih lagi cepat marah, tetapi kurang panas baran berbanding dahulu. Mungkin apinya semakin malap. Nampaknya, begitu juga dengan kebijaksanaannya.

Walaupun sudah banyak duit dilaburkan kepada United, ia tidak dilaburkan secara bijak – dan mungkin ia bukan salah van Gaal. Kehadiran dua penyerang yang berumur dan hilang sentihan gol hanya menyukarkan beliau. United mungkin mempunyai hanya satu pemain yang boleh bermain sebagai pertahanan tengah dan perancang tengah, iaitu Michael Carrick, yang sudah berusia 33 tahun dan berkemungkinan besar akan meninggalkan United. Masalah kecederaan juga menyumbang kepada kekalahan United pada Isnin lepas.

Baca: Bagaimana Pasukan Bola Sepak Paling Teruk Di Dunia Bangkit Dari Kekalahan 31-0

Van Gaal, seperti jurulatih yang lain, memerlukan masa untuk memperbetulkan keadaan di United. Cakap-cakap untuk menyingkirkan beliau adalah cakap orang yang tidak berpandangan jauh dan mereka mengabaikan masalah dalaman kelab dan struktur pasukan mereka selepas era-Ferguson. Tetapi semua ini tidak mengubah kenyataan bahawa musim ini adalah satu kegagalan buat United dan ia tidak melenyapkan sangkaan orang ramai yang van Gaal, sudah mula tidak yakin dengan falsafah sendiri dan tidak pasti apa falsafah bola sepaknya ketika ini.

 

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN